Pautan Suara Sukan

Tuesday, September 3, 2013

Berjuanglah berteraskan semangat kenegaraan

Tidak cukup sekadar mempunyai nama besar dan berprofil tinggi, sebaliknya ia perlu diterjemahkan menerusi aksi setaraf reputasi yang dimiliki  – itulah harapan peminat bolasepak tempatan terhadap dua bintang muda skuad bawah 23 tahun kebangsaan, Nazmi Faiz Mansor dan Wan Zack Haikal yang disebut akan menjadi sandaran Ong Kim Swee di Kejohanan Pestabola Merdeka yang berlangsung bulan depan.

Mungkin agak keterlaluan untuk meletakkan tekanan tinggi di bahu dua pemain ini semata-mata, tetapi pantas mencipta nama selaku aset bolasepak negara masa kini, ekspetasi adalah cukup tinggi betapa Nazmi yang pernah ‘berguru’ Portugal dan Wan Zack yang kini beraksi di Liga Jepun bersama FC Ryukyu, mampu menyerlahkan kelas sebenar mereka.



Legenda bolasepak negara, Datuk Santokh Singh yang begitu kebal mengemudi barisan pertahanan negara suatu masa dahulu berkata, tidak ada gunanya mereka berkelana begitu jauh jika tidak berupaya untuk menyumbang di saat kudrat mereka ditagih untuk memberi aksi terbaik.

“Pasukan ini sangat mahal harganya. Skuad ini berlatih di Slovakia, ada pemain pergi Portugal, ada pemain main di Jepun. Kalau ini semua diambil kira, kita tiada pilihan lain selain menjuarai kejohanan Pestabola. Pemain seperti Nazmi, Wan Zack, Wan Zaharulnizam perlu buktikan, mereka adalah lain dari yang lain kerana berpeluang mengembangkan potensi ke negara luar.

“Mereka tidak harus melihat ini sebagai satu tekanan, tetapi melihat ianya sebagai pembakar semangat, sebagai satu inspirasi. Dulu saya juga diletakkan harapan tinggi apabila turun beraksi, saya tidak rasa tertekan tetapi saya anggap ia sebagai pembakar semangat dan apabila menyanyikan lagu Negaraku sebelum sepak mula, satu aura patriotisme meresap dalam diri.

“Sebagai pemain, kita tidak mahu negara kita dimalukan di gelanggang sendiri, semangat ini perlu ada dalam diri semua pemain, dulu-dulu mana kami ada pergi berlatih empat-lima bulan di luar negara, yang penting semangat kenegaraan,” kata Santokh mengenang memori lalu.


Santokh juga berharap pemain yang menggalas tanggungjawab nanti tidak mensesiakan kepercayaan yang diberi jurulatih : “Walaupun kita petik beberapa nama seperti Nazmi, Wan Zack, kita perlu ingat bolasepak adalah permainan berpasukan. Tidak cukup meletak harapan ke atas satu pemain jika rakan-rakan tidak memberi sokongan. Jadi, bersatulah sebagai satu pasukan, balas kepercayaan yang diberi.”

Untuk kejohanan kali ini, Kim Swee dijangka dapat mempertaruhkan barisan terbaik kerana selain barisan Harimau Muda sedia ada yang dibarisi pemain tonggak seperti Irfan Fazail, Zaharulnizam, Wan Zack, A. Tamil Arasu dan Gary Steven Robbat, Kim Swee turut dapat menggunakan khidmat pemain seperti Junior Eldstal, Nik Shahrul Azim dan Zubir Azmi yang mendapat pelepasan Datuk K.Rajagobal.


Malah, penyerang meningkat naik kelahiran Sekolah Sukan Bukit Jalil, D.Saarvindran juga pastinya mempunyai sesuatu untuk dibuktikan selepas menyerlah ketika Sukan Universiade Dunia, pada Julai lalu.

No comments:

Post a Comment