Friday, September 20, 2013

Jumpa Sime Darby ibarat final buat ATM

Memerlukan seri untuk melangkah ke peringkat kalah mati saingan Piala Malaysia buat musim kedua berturut-turut, tidak timbul isu Angkatan Tentera Malaysia beraksi ala kadar dalam memastikan satu mata menentang Sime Darby pada perlawanan terakhir Kumpulan A Sabtu ini.

Sebaliknya, barisan bimbingan B Sathianathan akan turun di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dengan misi meraih tiga mata penuh yang bakal memastikan tempat mereka selaku juara kumpulan untuk menempah tempat dengan naib juara Kumpulan D.

Dengan Kumpulan D masih lagi terbuka, ATM berdepan cabaran sukar daripada Sarawak, Lions XII, Perak dan Kedah yang memasuki pusingan akhir perlawanan dengan kesemua empat pasukan masih dalam perebutan dua tiket ke suku akhir.

Kemenangan ke atas Selangor Selasa lalu seharusnya menjamin tempat ke suku akhir, namun kegagalan untuk mengelakkan diri daripada dibolosi buat perlawanan kelima berturut-turut menyaksikan finalis musim lalu terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1.


Kini dengan peluang kedua diberikan buat The Gladiators, tidak mahu disia-siakan anak buah Sathia yang bertekad untud memuktamadkan isu itu di Selayang, Sabtu ini.

Selain itu, terdapat misi balas dendam yang mahu dilangsaikan berikutan kekalahan 3-4 pada aksi pembukaan yang menyaksikan ATM ketinggalan 1-4 kepada naib juara Liga Perdana itu pada satu ketika sebelum bangkit dengan dua gol.

“Kami akan turun dengan misi memburu kemenangan. Kami tidak boleh mengharapkan seri kerana tidak tahu apa yang akan berlaku dalam perlawanan Johor menentang Selangor.

“Kita tidak tahu sama ada Johor akan mendapat kemenangan besar ke atas Selangor. Seandainya ia berlaku, kami akan tersingkir sekiranya tewas kepada Sime Darby.

“Perlawanan menentang Sime Darby umpama final buat kami. Kami perlu menampilkan aksi yang lebih baik berbanding yang ditunjukkan menentang Selangor tempoh hari,” katanya.

Tambah Sathia, dia terpaksa merombak sekali lagi barisan pertahanannya berikutan kecederaan otot koyak yang menimpa pemain muda, Safwan Hasyim pada sesi latihan pagi tadi. Tempatnya di bahagian kanan bakal diisi K Reuben yang kembali membarisi kesebelasan utama selepas membuat kemunculan pada babak kedua menentang Selangor.


Kepulangan tonggak pertahanan Harimau Muda itu yang membantu barisan bawah 23 kebangsaan itu menjulang Pestabola Merdeka minggu lalu dijangka memberikan kestabilan pada bahagian bawah ATM yang kini pincang dengan ketiadaan bek tengah, Irwan Fadzli Idrus yang masih belum pulih daripada kecederaan lutut.

No comments: