Pautan Suara Sukan

Monday, September 30, 2013

Sathia yakin ATM akan bangkit

Andainya berpandukan sejarah, kekalahan 0-1 kepada Lions XII malam tadi seharusnya tidak terlalu menggusarkan pengendali Angkatan Tentera Malaysia, B Sathianathan.

Dalam aksi timbal balik pertama yang dilangsungkan di Stadium Jalan Besar, tandukan Madhu Mohana hasil sepakan penjuru Shahfiq Ghani pada minit ke-40 menjadi pemisah kedua-dua pasukan sebelum kembali beradu di gelanggang Jumaat ini.

Melihatkan pengalaman ATM sebelum ini di padang sintetik yang berakhir dengan kekecewaan  1-3, kekalahan tipis itu dianggap seperti ‘kemenangan’ buat Sathia yang mahu anak buahnya memanfaatkan kelebihan di tempat sendiri dalam misi menyingkirkan pasukan dari tambak seberang Johor itu buat musim kedua berturut-turut.

Masih segar di ingatan perlawanan mendebarkan dan dramatik pada malam Oktober tahun lalu yang menyaksikan ATM bangkit daripada ketinggalan 1-2 secara agregat untuk mengheret perlawanan ke aksi tambahan sebelum mara menerusi penentuan penalti.

Ketika itu, kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Jalan Besar sebelum Agu Casmir mengejutkan penyokong tuan rumah di timbal balik kedua di Selayang menerusi jaringan pada babak pertama. Tersentak, ATM menggandakan asakan dengan kesungguhan mereka membuahkan hasil apabila tangkal azimat, Marlon Alex James menanduk masuk gol pada masa kecederaan.

Bisa sentuhan Marlon ditagih ATM.
Meskipun gagal menjaringkan gol buat pertama kalinya dalam kempen Piala Malaysia ini, Sathia tetap yakin dengan kemampuan naib juara musim lalu itu untuk menemui gawang Jumaat ini berdasarkan jumlah 15 gol dalam semua 6 perlawanan pada peringkat kumpulan.

“Ini adalah perlawanan pertama yang menyaksikan kami gagal menjaringkan gol. Tetapi saya tidak bimbang kerana yakin mereka akan dapat menjaringkan gol pada timbal balik Jumaat ini.

“Kekalahan ini adalah seperti ‘kemenangan’ buat kami kerana kami hanya bolos satu gol di sana berbanding pertemuan sebelum ini yang berakhir dengan kekalahan 1-3.

“Apa yang lebih menggembirakan saya, adalah tiada pemain yang mengalami kecederaan, jadi kami menurunkan kesebelasan utama bagi perlawanan akan datang. Namun, Irwan Fadzli (Idrus) masih belum pulih daripada kecederaannya, jadi Taj (Amiridzwan) akan terus mengisi posisinya di pertahanan kanan,” tambah Sathia.


Melihatkan percaturan matematik, ATM perlu menang perlawanan di Selayang dengan keputusan 2-0 untuk menjamin kemaraan. Seandainya bolos sekali lagi, finalis musim lalu itu perlu menang dengan kelebihan tiga gol untuk menafikan kelebihan jaringan di tempat lawan.

No comments:

Post a Comment