Pautan Suara Sukan

Sunday, September 29, 2013

Kelantan tempah laluan berliku

Juara bertahan Kelantan menempah laluan berliku di dalam usaha mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia
yang dimenangi musim lalu apabila menampilkan antara aksi terburuk musim ini dalam kekalahan 2-4 kepada Johor Darul Takzim pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Larkin.

Deretan aksi longlai barisan pertahanan di babak pertama dihukum sebaiknya JDT menerusi jaringan Jasazrin Jamaludin, Norsharul Idlan Talaha dan Safiq Rahim sebelum sepakan percuma cantik Leonel Nunez memastikan tuan rumah membawa bekalan selesa dua gol untuk bertandang ke Kota Bharu.

Positifnya bagi Kelantan, dua gol di tempat lawan jaringan Indra Putra dan Obinna Nwaneri memberikan sedikit harapan buat mereka untuk menterbalikkan keputusan perlawanan namun apa yang dikhuatiri ramai ketika ini adalah kepincangan barisan pertahanan yang gagal berfungsi dengan baik meskipun ketika beraksi di Kota Bharu.

Perlawanan lain menyaksikan Lions XII membawa bekalan tipis ke Selayang hasil kemenangan 1-0 ke atas ATM manakala Sarawak kini memiliki kelebihan untuk mara selepas mengikat Sime Darby 0-0 di gelanggang mereka - pada aksi berlangsung terdahulu pada 27 September, Pahang menewaskan PKNS 3-2 dengan Matias Conti menjaringkan hatrik.


No comments:

Post a Comment