Pautan Suara Sukan

Tuesday, September 24, 2013

Ejai terkenang pengalaman manis singkirkan Lions XII

Artikel disumbangkan Harris Rajahdin bekas wartawan Berita Harian

Pertemuan suku akhir menentang Lions XII mengimbau kenangan manis buat penjaga gol Angkatan Tentera Malaysia, Mohd Farizal Harun yang bertindak cemerlang dalam penentuan sepakan penalti untuk membawa ATM ke final pertama Piala Malaysia sejak 1966.

Pada pertemuan separuh akhir menentang Lions XII yang berakhir 2-2 secara agregat selepas pertarungan 210 minit di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Ejai bertindak cemerlang menyelamatkan dua sepakan pada detik penentuan.

Farizal Harun, Foto : Shekhinah PR
Ketika pertembungan pertama berakhir dengan seri 1-1 di Stadium Jalan Besar, tuan rumah disentak dengan gol pendahuluan Agu Casmir pada babak pertama.

Penyerang tinggi lampai, Marlon Alex James muncul penyelamat apabila menanduk masuk gol penyamaan pada masa kecederaan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Masa tambahan gagal memisahkan kedua-dua pasukan dengan penentuan penalti menyaksikan Ejai menyelamatkan percubaan Saiful Esah dan Baihakki Khaizan sebelum sepakan Yasir Hanapi sekadar singgah di tiang kiriuntuk menamatkan penantian 46 tahun buat The Gladiators.

“Siapa boleh melupakan saat itu, dua aksi penyelamat saya dalam detik penentuan menentang Lions XII. Mana taknya, kejayaan itu membolehkan ATM menamatkan penantian beraksi dalam final Piala Malaysia sejak 46 tahun,” katanya.

“Sekiranya kami dapat mengulangi keputusan itu seperti di Jalan Besar tahun lalu, adalah cukup baik. Beraksi di Jalan Besar menghadirkan cabaran yang tersendiri dengan lantunan bola mengelirukan dan pergerakan bola yang pantas tetapi kami berharap dapat menanganinya dengan baik pada kali ini,” tambahnya.

Masih segar dalam ingatan kekalahan 1-3 pada penampilan sebelumnya di Jalan Besar dalam aksi liga, namun penjaga gawang ATM kelahiran Gemas itu bertekad untuk menghalang gawangnya dibocori seterusnya menamatkan rentetan bolos enam perlawanan berturut-turut.


“Coach (B Sathianathan) ada timbulkan perkara ini. Dia kata ATM memiliki kemampuan untuk menjaringkan banyak gol tetapi bolos dengan jumlah jaringan besar. Kalau boleh, kami tak mahu bolos dalam pertemuan menentang Lions XII nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment