Wednesday, July 3, 2013

Selangor, Wilayah ke suku akhir

Selangor dan Wilayah Persekutuan muncul dua pasukan pertama menempah tiket beraksi di suku akhir pertandingan futsal Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 selepas mudah membelasah lawan masing-masing pada perlawanan kedua di KSL Sports Puchong.

Selangor membenam cabaran Sabah dengan keputusan 8-1 sebagai susulan kepada kejayaan menewaskan Perak 3-0 pada hari pertama untuk menerajui Kumpulan A, tatkala Wilayah Persekutuan bergaya membelasah Perlis 10-0 untuk unggul sebagai pendahulu Kumpulan B.

Jurulatih Selangor, Noraidiazhar Sulaiman tidak mahu pemainnya terbuai dengan pencapaian cemerlang yang ditunjukkan setakat ini sebaliknya kekal fokus menjelang pertemuan menentang Johor pada perlawanan terakhir kumpulan, pada Khamis.

Foto : DuniaFutsal.my
“Kemenangan ini  memang satu kemenangan besar, tetapi saya tidak melihat ia alasan untuk kita mendabik dada. Walaupun kita menampilkan permainan lebih impresif berbanding semalam, kita perlu ingat perjalanan masih jauh, kita baru layak ke suku akhir dan pemain perlu kekalkan konsentrasi.

“Gol yang kita lepaskan boleh dielak jika pemain tidak leka pada saat akhir, jadi saya tidak mahu kesilapan ini berulang ketika menentang Johor dan berharap semua pemain menunjukkan komitmen tinggi sehinggalah perjuangan kita selesai,” katanya. 

Meskipun berjaya mengikat juara bertahan, Johor 3-3 pada perlawanan pembukaan, Sabah nyata tiada jawapan kepada aksi mantap, kemas dan tersusun skuad merah kuning yang memperlihatkan perwatakan garang untuk mendahului 8-0 menerusi jaringan Hazizi Mansor, Muhamad Effiezal Kamarudin, Azrin Hezry Zainol, Zulfadzli Zainal Azam, Lim Hsien Wei dan Daniel Raj Dhairianathan.  

Gol jaringan Ridzwan Bakri sekadar saguhati buat mereka dan kini mereka berdepan misi wajib menang ke atas Perak pada Khamis selain mengharapkan Johor akan tewas di tangan Selangor jika mahu mara ke kelompok lapan terakhir.

“Peluang masih ada, saya yakin saingan masih terbuka walaupun ia mungkin di tangan kami. Kami tetap perlu berharap keputusan satu lagi perlawanan menyebelahi kami selain kami sendiri perlu mencatat kemenangan besar. Kita akan lakukan terbaik dan sekurang-kurangnya boleh mara selaku salah satu pasukan tangga ketiga terbaik,” ujar jurulatih Sabah, Rosli Hassan.

Bagi Wilayah Persekutuan pula, kemenangan 10-0 ke atas Perlis adalah kemenangan kedua selepas terdahulu mereka membelasah Pulau Pinang 7-3 pada Selasa sekaligus menepati ramalan sebagai salah sebuah pasukan yang perlu diberi perhatian pada edisi kali ini.

Foto : DuniaFutsal.my
Jurulatih Wilayah, Qusmaini Nor memuji kerjasama sepasukan yang ditunjukkan pemainnya : “Pendekatan kita adalah dari satu perlawanan ke satu perlawanan, kekuatan utama pasukan saya mereka menunjukkan kerjasama sepasukan tinggi. Tiada pemain yang tamak atau mahu menunjukkan skil individu, persefahaman sangat baik. Saya harap momentum ini akan kekal di sepanjang pertandingan berlangsung.”

Wilayah hanya perlu seri menentang Negeri Sembilan yang tewas kedua-dua perlawanan pada Khamis untuk mengesahkan kedudukan sebagai juara Kumpulan B.

No comments: