Isteri YAB Perdana Menteri, juga Penaung Yayasan Kebajikan
Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Paduka Seri Rosmah Mansor mahu Yayasan itu yang
ditubuhkan sejak 4 tahun lalu, terus berada di landasan tepat dalam membela nasib
dan menjaga hal ehwal kebajikan para ahlinya, yang terdiri daripada atlet dan bekas
atlet kebangsaan.
Beliau yang menerima kunjungan hormat barisan kepimpinan
baru diketuai Pengerusi Yakeb, Datuk Jamil Salleh buat kali pertama di Sri
Perdana minggu lalu, menyatakan rasa bangga terhadap apa yang telah
dilaksanakan Datuk Jamil sejak mengambil alih teraju kepimpinan daripada Dato’
Paduka Mumtaz Jaffar sejak Oktober lalu, dan mahu momentum yang sedia tercipta
ini berkekalan agar Yakeb terus kekal relevan dalam mencapai matlamat
penubuhannya.
Dalam pertemuan yang lebih berupa kepada Program Suai Kenal juga
‘ice-breaking’ antara beliau sebagai Penaung dan Ahli Lembaga Pengarah Yakeb
itu, Rosmah telah diperkenalkan kepada barisan kepimpinan Yakeb yang terdiri
daripada kombinasi peneraju badan sukan negara dan juga bekas atlet yang pernah
mengharumkan nama negara oleh Datuk Jamil.
Datuk Jamil juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan
setinggi penghargaan dan terima kasih kepada DS Rosmah, di atas keprihatinan
yang ditunjukkan kepada bekas atlet apabila sudi kembali sebagai Penaung Yakeb,
yang mana membuktikan komitmen dan sokongan berterusan beliau kepada bekas
atlet tidak pernah sekalipun pudar.
DS Rosmah kemudiannya menerima penjelasan terperinci
daripada Datuk Jamil tentang gambaran sebenar kedudukan Yayasan serta
perancangan yang telah dicapai sewaktu Mesyuarat Ahli Lembaga tempoh hari,
selain memaklumkan halatuju Yakeb di bawah pentadbiran baru yang mana lebih
menumpukan kepada aspek kebajikan.
Datuk Jamil turut memaklumkan kepada DS Rosmah tentang
perjalanan Program Yakeb bagi tahun 2012, dan tidak ketinggalan setiap
pandangan dan cadangan yang diutarakan menerusi sessi dialog bersama bekas
atlet pada setiap kali Program Turun Padang Yakeb.
DS Rosmah, nyata teruja dengan perkembangan semasa Yakeb, dan
menasihatkan mereka agar bekerja penuh keikhlasan dan berdedikasi, selain
menjaga imej dan nama baik Yakeb.
Maklumbalas positif yang diterima, pastinya menyuntik semangat
Ahli Lembaga Pengarah untuk terus bekerja keras bagi meneruskan tradisi kecemerlangan
di Yakeb, khususnya di dalam membela nasib bekas atlet.
No comments:
Post a Comment