Tuesday, January 10, 2012

Awas Perangkap Lin Dan, Chen Long


Dia mungkin membuka tirai 2012 dengan nota cemerlang sepertimana diinginkan – menundukkan musuh ketat, Lin Dan seterusnya mengungguli saingan Terbuka Korea Ahad lalu, namun bagi Datuk Lee Chong Wei MENYAMAI REKOD LAPAN KEJUARAAN Terbuka Malaysia milik lagenda badminton tanah air, Wong Peng Soon, ia bukan semudah disangka.

foto kredit : nst
Meskipun tidak berada di prestasi terbaiknya, Chong Wei masih mampu mengerah kudratnya untuk mengatasi badi jagoan China, The Super Lin Dan dalam pertarungan 3 set pada aksi final kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai US$75,000 itu, namun Lin Dan yang menarik diri di peringkat suku akhir Terbuka Malaysia tahun lalu, pastinya mempunyai strategi tersendiri untuk menyekat kejaguhan Chong Wei di tempat sendiri.

Apapun, adalah kesilapan besar jika tumpuan dan perhatian menjurus hanya kepada kelibat Lin Dan, tatkala seorang lagi pemain dari negara tembok besar itu, Chen Long, yang menarik diri seawal pusingan pertama Terbuka Korea, turut berada di dalam radar Chong Wei, dan pastinya mengintai peluang meneruskan dominasinya ke atas jaguh badminton tanah air itu.

Untuk rekod, Chong Wei tewas 3 daripada 4 perlawanan terakhir menentang Chen Long.

Di atas kertas, Chen Long dan Chong Wei berpotensi mengulangi pertembungan separuh akhir Terbuka Malaysia 2011, dan sekiranya berjaya melepasi halangan pemain nombor tiga dunia itu, Chong Wei dijangka sekali lagi berdepan seteru utamanya, Lin Dan, dengan juara Olimpik 2008 itu mencari kejuaraan Terbuka Malaysia yang pertama – namun usah dilupa HOBI atau TABIAT Lin Dan yang gemar menarik diri menyertai satu-satu kejohanan pada saat akhir, seterusnya mencetus mainan psikologi.

Kali terakhir pemain China muncul juara di Malaysia, adalah pada 2003, menerusi Chen Hong yang menewaskan Chong Wei, yang baru berusia 21 tahun ketika itu.

Tatkala gelaran kelapan Terbuka Malaysia akan mengiktiraf Chong Wei selaku pemain paling berjaya dalam sejarah kejohanan itu selepas Peng Soon, ia juga pastinya lebih bermakna sekiranya mampu dimenangi dengan menundukkan juara Olimpik itu, yang mana seterusnya akan menguatkan lagi keyakinan Chong Wei menjelang temasya Sukan Olimpik Ogos depan.

No comments: