Saturday, November 15, 2014

Sirkit pertama penanda aras

Pusingan pertama saingan SepakTakraw League (STL) yang menutup tirai pada Jumaat akan menjadi penanda aras untuk menjadikan saingan STL lebih kompetitif dan mencabar.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Dato’ Haji Ahmad Ismail berpendapat STL telah berjaya menyediakan platform di dalam menepati hasrat untuk merevolusikan arena sepak takraw negara menerusi penganjuran Pusingan Pertama – pusingan pembuka tirai yang berlangsung dengan jayanya di Stadium Tertutup Negeri.     

Beliau yang meluangkan masa untuk menyaksikan perlawanan akhir berkata, “Ini baru permulaan, pusingan pertama dan kedua di Terengganu ini akan memberi banyak input kepada kita. Yang lemah kita baiki, yang mana baik kita tambah baik. Sekarang kita sudah mula menghidangkan permainan kepada orang ramai, saya percaya pertandingan-pertandingan yang akan berlangsung selepas ini, bermula dengan Pusingan Kedua, dan seterusnya di Kedah, Johor dan Melaka akan lebih mencabar.”


Tambahnya, usaha untuk memperkenalkan dan membangunkan sepak takraw di peringkat akar umbi akan dipergiat secara serius dengan STL dilihat sebagai kaedah terbaik untuk memastikan sukan tradisi ini lebih dekat dengan masyarakat namun terdapat beberapa kekangan yang perlu diatasi terlebih dahulu.

“Asalnya kita cadang satu gelanggang iaitu di Titiwangsa, tetapi kerana kita mahu pastikan pembangunan akar umbi tidak terabai, lebih dekat dengan rakyat kita bawa ke negeri-negeri. Sekarang kita ada 4+1 negeri (anjurkan STL), tahun depan kita akan tukar ataupun perbanyakkan.

“Sedikit masalah yang kita hadapi apabila mahu membawa STL ke negeri lain, gelanggang yang tidak bersesuaian dengan kehendak yang ditetapkan ASV, kecerahan lampu limpah yang perlu sekurang-kurangnya 1200 ke 1500 lux. Kalau semua negeri boleh sediakan kemudahan tesebut, saya bagi jaminan bahawa kita bersedia untuk bawa STL ke seluruh negara,” katanya.

Dato’ Ahmad yang berazam untuk turun menyaksikan sendiri setiap pusingan STL turut melaungkan keyakinan betapa STL akan mampu mengetengahkan bakat-bakat yang selama ini terpendam selain membantu mengecilkan jurang di antara pemain-pemain akademi, kelab dan negeri dengan yang bertaraf kebangsaan.    

“Lihat final Pusingan Pertama, kita perlu akui pemain yang ada dalam skuad kebangsaan tetap adalah yang terbaik. Wujud jurang antara mereka tetapi saya percaya STL menyediakan ruang untuk mengecilkan jurang tersebut. Kita nak wujudkan satu kumpulan besar pemain yang bagus, yang sama taraf dengan pemain kebangsaan ataupun mungkin menjadi lebih baik dari mereka.” 

“Menjadi tanggungjawab saya sebagai presiden untuk sentiasa turun padang dan kita akan memantau aksi pemain-pemain yang mengambil bahagian dengan bantuan panel pemantau yang kita lantik terdiri dari 12 orang kesemuanya,” jelasnya.

Pada aksi akhir Pusingan Pertama STL, regu Mazatech ‘A’ yang diperkuatkan dua pemain kebangsaan, Izurin Refin dan Kamal Alfiza Shafie serta pemain sepak takraw negeri, Muzhaffar Zamir, mengetepikan tentangan ATM ‘A’ dengan keputusan 21-15, 21-19.

Aksi ‘round robin’ bagi Pusingan Kedua STL berlangsung pada Sabtu, dengan 16 lagi regu bersaing untuk merebut 8 slot beraksi di suku akhir. Kesemua aksi kalah mati termasuk perlawanan akhir akan berlangsung pada Ahad sekaligus memuktamadkan pemenang bagi dua pusingan awal di Terengganu.


Regu yang muncul juara pada Ahad, akan memenangi wang tunai RM5,000 dan mengiringi Mazatech ‘A’ untuk beraksi di pusingan Grand Finals. 

No comments: