Saingan
pusingan ketiga Sepaktakraw League (STL) Zon Utara melabuhkan tirai dengan pasukan
InstaPutra muncul juara dengan menewaskan Infratel ‘A’ pada perlawanan akhir
yang berlangsung di Stadium Tertutup Sultan Abdul Halim.
InstaPutra,
diperkuatkan tekong kebangsaan Fazil Asri, Anuar Samsudin dan Afifuddin Razali
mencatat kemenangan 21-13, 21-14 ke atas Infratel yang diwakili Fauzi Ibrahim,
Daud Muhamad dan Jamadi Mazlan untuk muncul juara sekaligus membawa pulang
hadiah wang tunai RM5,000.
Kemenangan
ini juga menyaksikan InstaPutra layak beraksi di pusingan Grand Finals Januari
depan, bersama-sama dengan Mazatech ‘A’ dan ATM ‘F’ yang muncul juara pusingan pertama
dan kedua di Terengganu (Zon Timur) pada 13 – 16 November lalu.
Manakala
Infratel selaku naib juara berpuas hati dengan hadiah wang tunai RM3,000 dan
layak beraksi di pusingan play-off bersama-sama Warisan AZ ‘A’ yang muncul
pemenang tempat ketiga selepas menewaskan ATM ‘J’ dan meraih RM1,000.
Pada perlawanan penentuan tempat
ketiga yang berlangsung tiga set, Warisan AZ dibarisi dua bekas pemain
kebangsaan, Nazirul Ikram dan Zul Effendi Sumari serta Fadzlihaimi Jamaludin tewas
13-21 pada set pertama tetapi bangkit menang dua set berikutnya 21-19 dan 21-12.
Hadiah kepada pemenang
disampaikan oleh Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Dato’ Haji
Ahmad Ismail yang hadir menyaksikan perlawanan bersama-sama Naib Presiden III
PSM, Dato’ Mohd Yusof Ismail, Pengarah Majlis Sukan
Negeri Kedah, Muhammad Mahazi Ibrahim dan Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah, Aminudin Omar.
Terdahulu
pada perlawanan separuh akhir, percaturan berani jurulatih InstaPutra, Muhamad
Saffar merehatkan tekong berpengalaman, Fazil Asri dan membariskan Faiz Roslan
sebagai tekong utama hampir membawa padah apabila InstaPutra mencicirkan
beberapa mata mudah sebelum kemasukan Fazil membantu mereka mencatat kemenangan
21-18, 21-12.
Infratel
‘A’ pula menewaskan ATM ‘J’, juga menerusi ‘straight set’ 21-14, 21-15.
STL yang diperkenalkan buat
julang kalinya sebagai usaha merevolusikan arena sepak takraw tempatan
dilancarkan secara rasminya oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin
pada 7 November lalu. Selepas Kuala Terengganu, dua lagi pusingan berlangsung
di Kedah pada 22, 23, 29 dan 30, disusuli Johor dan Melaka sebelum Grand Finals
berlangsung di Kuala Lumpur.
Keputusan:
Suku Akhir: InstaPutra mng
AMZ Sports ‘A’ 2-0 (21-11, 21-13); Infratel ‘A’ mng PSNP 2-1 (21-14, 17-21,
21-18); Warisan AZ ‘A’ mng ATM ‘G’ 2-1 (21-12, 11-21, 21-18); ATM ‘J’ mng
IL-MPSJ 2-1 (15-21, 21-12, 22-20)
Separuh Akhir: InstaPutra
mng Warisan AZ ‘A’ 2-0 (21-18, 21-12) & Infratel ‘A’ mng ATM ‘J’ 2-0
(21-14, 21-15)
Tempat Ke-3 : Warisan AZ
‘A’ mng ATM ‘J’ 2-1 (13-21, 21-19, 21-12)
Akhir : InstaPutra mng
Infratel ‘A’ 2-0 (21-13, 21-14)
No comments:
Post a Comment