Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menutup tirai
saingan SepakTakraw League (STL) edisi Timur dengan cukup bergaya apabila tiga
regu mereka menamatkan aksi Pusingan Kedua STL di kedudukan tiga teratas.
ATM ‘F’ muncul juara dengan menewaskan ATM ‘D’
untuk mengiringi juara pusingan pertama, Mazatech ‘A’ beraksi di pusingan Grand
Finals seterusnya membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 manakala ATM ‘E’
mengesahkan satu slot di pusingan play-off menjadi milik mereka setelah
memenangi perlawanan penentuan tempat ketiga.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di
Stadium Tertutup Negeri, kedua-dua regu mengetepikan sentimen ‘rakan sepasukan’
apabila menampilkan aksi sengit berkualiti yang berlanjutan ke set penentuan.
Regu ATM ‘F’ yang dibarisi Nazmi Najib,
Shakirin Nasir dan Muhaimi Che Bongsu menang set pertama 21-19, namun ATM ‘D’
yang diwakili ‘feeder’ kebangsaan, Arif Mohamad, Noorazwari Ishak dan Adwad
Ahmad bangkit menang set kedua 21-14 sebelum ATM ‘F’ mengesahkan kejuaraan
menerusi kemenangan 21-16 di set penentuan .
Pada perlawanan penentuan tempat ketiga, ATM
‘E’ menewaskan Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK) ‘D’ dengan keputusan
21-15, 21-19.
Kecemerlangan ditunjukkan kesemua regu ATM
bimbingan Aswadi Abdullah, menutup kecewa kekalahan regu ATM ‘A’ yang tewas
kepada Mazatech ‘A’ pada perlawanan akhir pusingan pertama 14 November lalu dan
Aswadi mengintai kecemerlangan berterusan dari pemainnya.
“Kami gembira untuk menjadi antara dua johan
terawal yang layak ke Grand Final, pemain-pemain menunjukkan komitmen dan
kualiti mereka tetapi kami tidak akan berhenti di sini. Kita sudah pun melihat
jauh ke depan untuk persiapkan pasukan untuk menghadapi play-off dan Grand
Final pada Januari. Kita juga akan terus memberi cabaran di sirkit Kedah, Johor
dan Melaka.
Tambahnya, “Kami tidak memandang mudah
saingan STL ini, kerana ini antara platform yang kita lihat sebagai persiapan
terbaik untuk menghadapi Piala Emas Khir Johari 2015.”
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia,
Dato’ Ahmad Ismail, yang sekali lagi turun padang untuk menyaksikan perlawanan
akhir, sebelum ini melaungkan keyakinan betapa penganjuran dua pusingan pertama
di Terengganu secara jayanya ini bakal menjadi penanda aras untuk penganjuran
STL yang lebih mencabar selepas ini.
STL 2014/2015 yang membuka tirai pada 13
November lalu, menyaksikan dua pusingan berlangsung di Kuala Terengganu dengan
16 regu mengambil bahagian pada setiap pusingan.
Mazatech ‘A’ yang diwakili dua pemain
kebangsaan, Izurin Refin dan Kamal
Alfiza Shafie serta pemain sepak takraw negeri, Muzhaffar Zamir muncul juara
pusingan pertama STL apabila mengetepikan tentangan ATM ‘A’ dengan keputusan
21-15, 21-19 pada perlawanan akhir.
Selepas ini, STL akan berlangsung dua
pusingan di Kedah pada (22, 23, 29 dan 30 November) diikuti Johor (13, 14, 20
dan 21 Disember) dan Melaka (27 & 28 Disember, 3 & 4 Januari) sebelum
berlangsungnya pusingan Grand Finals pada Januari 2015.
Lapan pasukan yang muncul johan setiap
pusingan mara secara automatik ke pusingan Grand Finals manakala 8 pasukan yang
menamatkan saingan sebagai naib johan serta pemenang tempat ketiga
masing-masing akan layak beraksi di pusingan play-off bagi merebut baki slot
beraksi di Grand Finals.
Keputusan
Pusingan Pertama :
AKHIR : MAZATECH ‘A’ mng ATM ‘A’ 2-0 (21-15, 21-19)
TEMPAT KETIGA : ATM
‘C’ mng GASTAK ‘B’ 2-1 (14-21, 21-15, 21-19)
Keputusan
Pusingan Kedua:
AKHIR : ATM ‘F’ mng ATM ‘D’ 2-1 (21-19, 14-21,
21-16)
TEMPAT KETIGA : ATM
‘E’ mng GASTAK ‘D’ 2-0 (21-15, 21-19)
No comments:
Post a Comment