Sunday, October 27, 2013

Pahang sekat kebangkitan Sarawak

Separuh akhir kedua Piala Malaysia

Gol penyamaan Fauzi Roslan membantu Pahang mengikat Sarawak 1-1 seterusnya menyingkirkan jaguh dari Borneo itu dari saingan Piala Malaysia menerusi kemenangan agregat 4-2.

Foto : Dunia Sukan
Sarawak yang turun beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri gagal menepati ekspetasi peminat yang mahu melihat kegarangan sama seperti ketika membelasah Perak mahupun ketika menewaskan Sime Darby apabila kurang menyengat di barisan hadapan.

Robert Albert yang melakukan rombakan besar pada peringkat pertama di Darul Makmur tempoh hari, kembali kepada taktikal dan kesebelasan asalnya apabila membariskan semula Joseph Kalang yang kembali dari pengantungan perlawanan, manakala di pertahanan Ronny Harun kembali bergandingan dengan Hairol Mokhtar.

Hanya Zamri Morshidi direhatkan dan tempatnya diambil oleh Joseph Kalang, manakala Ashri Chuchu melebar di sayap kiri tatkala Muamar Salibasic juga kembali ke posisi asalnya selaku backup striker - setelah beberapa kali mengacah menerusi Joseph Kalang khususnya, dengan salah satu percubaan mengegar palang gol, Sarawak memecah kebuntuan menerusi tandukan Bobby Gonzales yang menyambut hantaran JKT.

Namun, ketumpulan sentuhan penyudah termasuk kegagalan Salibasic dan Bobby menyempurnakan beberapa peluang terhidang membawa padah apabila Pahang yang memasukkan Fauzi untuk menggantikan Matias Conti menyamakan kedudukan menerusi sentuhan pertama pemain itu, tidak sampai seminit dimasukkan.

Nyata ia kemenangan yang berhak buat Pahang, mereka mara ke final buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun selepas kali terakhir melakukannya pada 1997, dan bagi Sarawak, perlu diakui, rezeki bukan di pihak mereka selepas melakukan yang terbaik untuk sampai ke tahap ini. 

No comments: