Artikel ini telah diterbitkan dalam Majalah Kakibola pertengahan Disember.
Malaysia gagal dalam misi mempertahankan Piala AFF Suzuki
apabila gol jaringan penyerang sensasi, Teerasil Dangda dan pemain pertahanan,
Theerathon Bunmathan memadai untuk memberikan Thailand kemenangan 2-0 sekaligus
menyingkirkan skuad negara kendalian Datuk K.Rajagobal dengan aggregat 3-1.
Thailand akan menentang Singapura pada aksi final yang
dijadual berlangsung dua pusingan pada 19 dan 22 Disember depan sekaligus
mengulangi pertemuan final edisi 2007 yang mana dimenangi Singapura dengan
keputusan aggregat 3-2 – kedua-dua pasukan mencari gelaran keempat di kejohanan
ini.
Menentang tuan rumah di Stadium Supachalasai, skuad negara
hanya perlu menyalahkan diri sendiri di atas kegagalan menyaingi tempo
permainan pantas Thailand dan hakikatnya sepanjang 90 minit permainan tidak
keterlaluan andai dikatakan pasukan negara ibarat diajar bermain bolasepak oleh
skuad bimbingan Winfried Shafer yang mendominasi sepenuhnya perlawanan.
Mungkin ada yang mengaitkan kad merah tidak berasas
dilayangkan pengadil dari Korea, Lee Min Hun kepada Fadhli Shas pada penghujung
babak pertama sebagai permulaan episod duka sang harimau, tetapi pada
hakikatnya bermain dengan 11 pemain sekalipun belum tentu kita dapat memberikan
saingan yang lebih bermakna dengan mengambil kira kualiti permainan yang
ditunjukkan.
Barisan tengah dikemudi kapten pasukan sekali lagi hilang
punca, tiada hantaran tepat, tiada pencetus kreativiti, gagal memanfaatkan
sebaiknya kekuatan di posisi sayap, gemuruh apabila memegang bola, cenderung
kehilangan bola dengan mudah dan lebih malang pada situasi terdesak di mana
kita wajib mencari gol tempat lawan, ada pemain lebih gemar mahu menonjolkan
skil individu yang tidak berapa menjadi berbanding menunjukkan semangat sepasukan.
Selain dua percubaan yang tersasar dalam tempoh 10 minit
pertama, serta percubaan leret sepakan percuma Aidil Zafuan, jentera serangan skuad
negara diterajui Norsharul Idlan tidak langsung mengancam gawang Thailand
kawalan Kawin Thamsatchanan, tidak bernafsu mencari gol yang boleh menyemarakkan
semangat, malah kemasukan Safee Sali di babak kedua sekalipun tidak berupaya
mengubah situasi.
Berbeza dengan Thailand, menerusi permainan bertunjangkan
kredibiliti barisan kejurulatihan dari Jerman, mereka tenang mengawal
permainan, bijak mengatur serangan dari tengah, memanfaatkan kelincahan pemain
perancang, Datsakorn Thonglao yang kerap melakukan hantaran berbahaya yang
membelah barisan pertahanan skuad negara.
Rajagobal juga lambat bertindak apabila berterusan
mengharapkan pemain anak emasnya, Amar Rohidan untuk menampung ketiadaan Fadhli
di barisan pertahanan - pemain itu kemudiannya ‘membalas’ kepercayaan Raja
apabila menjadi punca kepada terhasilnya gol pertama jaringan Dangda pada minit
ke-62 dan selang tiga minit kemudian Theerathon menoktahkan terus sisa
kebangkitan skuad negara menerusi sepakan deras yang mengegar gawang Farizal
Marlias.
Kekalahan ini juga bermakna Raja gagal dalam misi utamanya
bagi tahun 2012 - selepas bereksperimen untuk tempoh dua tahun lamanya dengan
memperjudikan ranking pasukan kebangsaan, ini pastinya bukan hasil yang
diharapkan jutaan penyokong Harimau Malaya serta Persatuan Bolasepak Malaysia
sendiri.
Adalah tidak masuk akal untuk mengatakan kemaraan ke
separuh akhir adalah pencapaian yang sudah cukup bagus apatah lagi kita
merupakan juara di rantau ini bagi setiap kejohanan utama sejak tahun 2009 –
bermula dengan kejayaan memenangi pingat emas Sukan Sea 2009, diikuti menjuarai
kali pertama Piala AFF Suzuki pada 2010 dan tahun berikutnya berjaya
mempertahankan pingat emas Sukan Sea di Indonesia.
Jadi, dengan reputasi hebat ini, apakah relevan dikatakan
layak ke separuh akhir sudah cukup bagus? Siapa yang harus bertanggungjawab?
Singapura atasi
Azkals
Dalam aksi yang berlangsung terdahulu, Singapura
mengetepikan aksi berani skuad Filipina dengan aggregat 1-0 menerusi jaringan
tunggal Khairul Amri sekaligus menafikan hasrat Azkals untuk mencipta kejutan
mara ke final buat kali pertama.
Bagi Singapura, ini adalah penampilan keempat mereka di
pentas final dan menariknya mereka tidak pernah tewas dalam tiga aksi final
terdahulu.
1 comment:
Hi thanks for sharing this.
Post a Comment