Menentang Thailand, adalah ujian sebenar buat
Rajagobal dan pemainnya, ia juga akan menjadi kayu pengukur di dalam menilai
sejauh mana kekuatan pasukan ini yang dikatakan skuad impian yang mempunyai
potensi layak ke Piala Asia 2015 sepertimana sering digembar-gemburkan oleh
Raja.
Sama ada sedar tiada harapan tinggi boleh
diletakkan apabila turun menentang Thailand, atau mahu merendah diri, Rajagobal
memilih jalan selamat dengan berkata : “Lihat Thailand, mereka pasukan yang
sangat kuat. Kami sudah berada di separuh akhir, dan kita tidak rugi apa-apa.
Saya akan persiapkan pasukan seperti biasa dan kita akan hadapi mereka tanpa
terlalu memikirkan tentang menang atau kalah.”
Dan seolah-olah masih bersandarkan kepada
sejarah silam, Rajagobal berkata : “Mereka adalah pasukan yang kuat, mempunyai
kepantasan, bagus dari aspek teknikal, taktikal, tetapi itu bukan bermakna kami
akan takut. Dalam bolasepak apa sahaja boleh terjadi, lihat sahaja dua tahun
lepas. Adakah awak jangka kami akan muncul juara selepas dibelasah 5-1 pada
perlawanan pertama? Saya tahu apa taktik yang perlu diterap ketika menentang
Thailand, dan pemain saya akan membuktikannya di atas padang.”
Apapun, kita juga perlu mengakui skuad negara
tampil lebih impresif pada dua perlawanan selepas kekalahan kepada Singapura,
terutamanya pada kelibat Mahali yang mengambil alih posisi Bunyamin Umar, Wan
Zack Haikal dan Azamudin yang cemerlang di kedua-dua sayap, Zubir Azmi yang
menyisihkan Azmi Muslim serta Shakir Shaari yang mantap di posisi tengah
bertahannya.
Cuma, gandingan Norsharul Idlan Talaha dan Safee
sahaja yang agak membimbangkan ketika ini apabila terhasil hanya satu gol di antara
mereka meskipun digandingkan bersama dalam kesemua tiga perlawanan peringkat
kumpulan – sampai bila Raja akan terus menaruh kepercayaan dan bersabar pada
ketika dia juga memiliki penyerang meningkat naik, Ahmad Hazwan Bakri di dalam
pasukan?
Andai setiap kelemahan, terutamanya ketepatan
hantaran dan kekurangan idea serta kreativiti untuk mencipta gerak berbahaya dapat
diperbaiki selain kelebihan yang dimiliki di kedua-dua posisi sayap dapat
dimanfaatkan sebaiknya, tidak mustahil Malaysia dapat menyingkirkan Thailand
yang sebelum ini mara ke aksi final 2007 dan 2008.
No comments:
Post a Comment