Thursday, December 6, 2012

Harimau mengaum, Thailand halangan terbesar Rajagobal


Malaysia bangkit mengetepikan permulaan sumbang dek kekalahan berat 0-3 kepada Singapura dengan dua kemenangan bergaya ke atas Laos dan Indonesia untuk mengesahkan kemaraan ke semifinal selaku naib juara Kumpulan B, namun halangan terbesar Malaysia dalam misi mempertahankan Piala AFF Suzuki tidak lain tidak bukan adalah juara tiga kali, Thailand.


Kegagalan menjuarai Kumpulan B di sebalik kelebihan beraksi di tempat sendiri serta status selaku juara bertahan, bermakna Malaysia gagal mengelak pertembungan menentang gergasi Asia Tenggara itu yang kini di ranking nombor 1 AFF - Thailand menjuarai Kumpulan A dengan muncul satu-satunya pasukan yang meraih mata maksimum apabila memenangi kesemua tiga perlawanan menentang Myanmar, Filipina dan Vietnam sekaligus membayangkan hasrat merampas semula kejuaraan yang kali terakhir mereka julang 10 tahun lalu, iaitu pada 2002.

Tetapi persoalan ketika ini bukan mengenai persiapan Thailand, sebaliknya skuad kebangsaan kendalian Datuk K.Rajagobal – setelah dikritik hebat peminat, pemerhati dan para penganalisis sukan berikutan kepincangan dalam persiapan menghadapi kejohanan dwitahunan ini termasuk seri menentang Bangladesh dan Hong Kong, harus diakui tidak banyak harapan diletakkan ke atas mereka walaupun sekadar untuk mara melepasi halangan peringkat kumpulan.

Skuad negara tidak menyerlahkan potensi sebenar dan sekadar beraksi di bawah par, malah Rajagobal sendiri selepas dua tahun kejayaan menjulang Piala AFF buat kali pertama, masih tidak mempunyai barisan impian dan tercari-cari keserasian dan formula ampuh untuk mengembalikan reputasi Harimau yang tercalar hebat dek kejatuhan ranking dunia - justeru tidak hairanlah apabila mereka berterusan menjadi sasaran kritikan peminat yang kecewa dengan situasi tersebut.

Laungan ‘Raja, apa kau dah buat’ lantang kedengaran dinyanyikan Ultras Malaya ketika skuad kebangsaan diperbudakkan Shahril Ishak dan rakan sepasukannya berusia 42 tahun, Aleksandar Duric sehinggakan Rajagobal memilih untuk mempersalahkan penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat sebagai punca kekalahan itu.

Malah permulaan perlahan ketika menentang Laos juga hampir memakan diri jika tidak kerana aksi lebih bertenaga di babak kedua yang membolehkan kita menang menerusi jaringan sepakan percuma Safiq Rahim, Safee Sali, Wan Zack Haikal dan Khyril Muhaimeen Zambry sebelum meneruskan ngauman garang itu ketika menyingkirkan finalis dua tahun lalu, Indonesia 2-0 menerusi gol jaringan Azamudin Akil dan Mahali Jasuli.

Namun, dilihat dari perspektif berbeza – kemenangan ke atas Laos tidaklah boleh dibanggakan, sejak sebelum sepak mula kita memang sudah dijangka tidak akan bermasalah untuk menjinakkan Laos apatah lagi mereka merupakan pasukan paling kerdil di dalam kumpulan, hakikat bahawa mereka berjaya mengikat Indonesia 2-2 tidak mencerminkan kekuatan mereka kerana Indonesia sendiri, sejak 2010 bergelut dengan pelbagai kemelut dalam arena bolasepak mereka.

Pengharaman Liga Super Indonesia menyaksikan mereka kehilangan majoriti pemain berpengaruh dan berpengalaman, terpaksa membariskan rata-ratanya pemain mentah dari Liga Perdana Indonesia dan jika bukan kerana tradisi, pertemuan menentang Indonesia tidaklah begitu hebat untuk diperkatakan apatah lagi daripada sebuah pasukan jagoan Asia Tenggara, mereka kini berada di ranking lebih rendah berbanding Malaysia.

Kini, sasaran awal Rajagobal untuk membawa pasukan negara ke semifinal sudah tercapai dan setidak-tidaknya pengendali berusia 56 tahun berjaya menutup mulut pengkritik buat masa ini – cuma persoalannya bagi sebuah negara yang turun dengan reputasi selaku juara bertahan, dan pemenang pingat emas Sukan Sea di dua edisi lalu 2009 dan 2011, apakah sasaran semifinal merupakan sasaran terbaik yang boleh diletakkan?

Apapun, ini bukan masanya untuk kita mengkritik dan menyelar Rajagobal mahupun pasukan kebangsaan yang kita sayangi kerana para pemain memerlukan sokongan padu kita seluruh rakyat Malaysia dan peminat bolasepak tempatan untuk turut bersama mereka ketika aksi timbal balik semifinal mendebarkan menentang pilihan utama kejohanan itu pada 9 dan 13 Disember nanti.

No comments: