Sunday, January 6, 2013

Martelotto : Belum lagi belang sebenar

Perancang berpengaruh Angkatan Tentera Malaysia, Bruno Sebastian Martelotto percaya kemenangan ke atas Kelantan pada aksi Piala Sultan Ahmad Shah merupakan permulaan kepada satu lagi musim cemerlang finalis Piala Malaysia 2012 itu dan menegaskan pencabar mereka dalam saingan Liga Super belum lagi dipertontonkan dengan aksi sebenar ATM yang beraksi di bawah prestasi sebenar ketika menewaskan juara treble itu.

foto : Ahmad Junaidi/365images

“Saya gembira kami membuka kalendar tahun 2013 dengan bergaya, ia sebenarnya aksi seimbang 50-50 dan walaupun hanya menang penalti saya percaya kami belum menampakkan aksi sebenar kami. Ketika final Piala Malaysia, kami bangkit dua kali selepas ketinggalan, dan ceritanya masih sama kali ini.

“Apabila mereka (Kelantan) menjaringkan gol, kami serlahkan perwatakan sebenar, mula menekan mereka dan memaksa mereka melakukan kesilapan. Jika rentak seperti ini boleh diteruskan, tiada siapa boleh sekat kami,” ujar pemain kelahiran Argentina yang menyempurnakan sepakan penalti terakhir yang menghadiahkan kemenangan kepada The Gladiators.

Tambahnya lagi : “Kami dianggap budak mentah dalam Liga Super, saya akui cabarannya adalah berbeza berbanding ketika menjuarai Liga Perdana, kami perlu berusaha keras. Menentang Lions seawal perlawanan pertama pastinya sangat sukar, tetapi pasukan ini memiliki semangat juang tinggi, semangat tidak mudah mengalah. Saya pasti anda semua telah melihatnya sendiri sejak tahun lalu.”

Menariknya, pada 2003, Martelotto membantu MPPJ Selangor muncul pasukan kelab pertama menjuarai Piala Malaysia dan setahun kemudian, dia sekali lagi cemerlang membantu pasukan itu muncul kelab pertama menjulang Piala Sumbangsih – ibarat pembawa tuah, pemain berusia 30 tahun itu menjadi antara tonggak B. Sathianathan dalam melakar gemilang bersama ATM menjuarai Liga Perdana dan terbaru, Piala Sumbangsih juga buat kali pertama.

“Kami tidak mahu terlalu terbuai dengan apa yang telah dicapai setakat ini sebaliknya akan terus meningkat dalam mencapai sasaran menjulang tiga piala. Saya sudah menjulang Piala Malaysia, Piala Sumbangsih dua kali, trofi Liga Perdana pada musim lalu, sekarang saya mahu menambah Piala FA dan Liga Super dalam koleksi saya dan mahu merealisasikannya bersama ATM.”

ATM akan membuka tirai Liga Super menentang naib juara musim lalu, Lions XII pada 9 Januari di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, sebelum bertandang ke Stadium Shah Alam untuk menentang PKNS Selangor pada 12 Januari, dan kembali ke Paroi melayan kunjungan T-Team pada 15 Januari. 

No comments: