Tuesday, January 1, 2013

Legend10 terima rawatan di KPJ Pakar Perdana

Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan berbesar hati untuk membantu legenda bolasepak kebangsaan dari Kelantan, Hashim Mustapha, yang telah menerima rawatan di Kota Bharu Medical Centre pada 24 Disember lalu, kerana mengalami jangkitan paru-paru, lelah, demam dan batuk. 

Beliau dibenarkan pulang pada 26 Disember dan telah menerima rawatan susulan di Hospital Pakar KPJ Perdana, Kota Bharu bermula 27 Disember - YAKEB mendoakan agar beliau yang sebelum ini merupakan penolong jurulatih skuad bolasepak Kelantan dan Jurulatih Piala Presiden Kelantan segera sembuh dan diberi kesihatan yang baik. 

Untuk rekod, nama Hashim bukanlah asing bagi peminat bolasepak tempatan khususnya di negeri kelahirannya - Hashim pernah meraih Anugerah Kasut Emas Liga Perdana bersama Kelatan sebanyak 3 kali, iaitu pada 1990 (15 gol), 1993 (13 gol) dan 1994 (29 gol).

Ketika muncul penjaring terbanyak pada 1994, beliau beraksi selama 90 minit dalam setiap 39 perlawanan – 30 perlawanan liga (ketika itu liga 16 pasukan), 3 perlawanan Piala FA dan 6 perlawanan Piala Malaysia tanpa terlepas walau satupun perlawanan sama ada digantikan, direhatkan, digantung atau mengalami kecederaan, rekod yang masih belum mampu diatasi mana-mana pemain.

Bersama skuad kebangsaan, Hashim memainkan peranan selaku tonggak utama ketika Malaysia meraih pingat perak Sukan Sea Indonesia 1987, di mana dia menjaringkan salah satu gol ketika menyingkirkan Thailand 2-0 di semifinal, dan kemudiannya tersenarai dalam skuad Sukan Asia Hiroshima 1994 di bawah bimbingan Claude Le Roy.

No comments: