Sunday, January 6, 2013

ATM langkah kanan, julang Piala Sumbangsih

Entry pertama untuk tahun 2013, insyaAllah akan saya pastikan blog ini kembali segar seperti awal kewujudannya, it's just a matter of time. Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baru 2013 kepada semua pembaca blog ini. 

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencipta satu lagi sejarah gemilang dalam kalendar bolasepak mereka apabila menundukkan juara treble, Kelantan di Stadium Shah Alam untuk menjuarai Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama sekaligus membuka tirai Liga Malaysia 2013 dengan langkah kanan.

foto : Suara Sukan/239 Media
Ianya memerlukan penentuan sepakan penalti untuk memisahkan kedua-dua pasukan selepas aksi 90 minit perlawanan berkesudahan dengan keputusan 1-1 – The Red Warriors terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-56, sebelum sepakan percuma cantik Irwan Fadly Idrus menyamakan kedudukan buat ATM lima minit sebelum permainan tamat.

Ketika kedudukan terikat 3-3 pada penentuan sepakan penalti, Rizal Fahmi menyaksikan sepakannya mengegar palang, percubaan R.Surendran diselamatkan Mohd Syazwan Yusof manakala Daudsu Jamaludin pula mengegar tiang gol sebelum Bruno Sebastian Martelotto, pemain yang menjaringkan salah satu gol ketika membantu MPPJ Selangor muncul juara Piala Sumbangsih 2004, menyempurnakan sepakan penalti terakhir untuk kemenangan 4-3 sekaligus menghampakan Kelantan buat tahun kedua berturut-turut.

Kemenangan juga menyaksikan ATM berjaya membalas dendam kekalahan 2-3 kepada Kelantan di pentas final Piala Malaysia Oktober lalu dan kini mengorak langkah untuk mencipta lebih gemilang dalam penampilan sulung di kancah Liga Super yang akan membuka tirai pada 8 Januari.

“Pemain saya telah menunjukkan semangat melawan yang sangat tinggi, kami mungkin boleh menang tanpa perlu tunggu penentuan penalti. Apapun, Kelantan juga telah beraksi baik dan saya percaya keputusan perlawanan ini tidak menandakan kekuatan atau kelemahan sebenar kedua-dua pasukan. Ia satu suntikan semangat dan menambah inspirasi kami untuk mencabar secara serius baki 3 kejuaraan dan saya percaya pasukan ini ada kredibiliti untuk melakukan lebih baik.” – B.Sathianathan -  

Suara Sukan/239 Media
“Ini permulaan yang baik buat kami, pastinya satu kemenangan moral buat pasukan menjelang perlawanan pertama Liga Super. Untuk menundukkan juara treble, walaupun hanya menerusi penalti sudah cukup bagus dan ini hanyalah permulaan. Saya yakin kemenangan akan membangkitkan lagi semangat rakan sepasukan dan kami mahu kehadiran kami di Liga Super dirasai.” – Rezal Zambery Yahya -  

“Saya kecewa dengan kekalahan ini, kami tidak menyempurnakan peluang dan leka di saat akhir. Tetapi ia seharusnya menjadi pembuka laluan untuk satu lagi musim yang cemerlang buat kami. Tahun lalu, kami bermula dengan tewas Piala Sumbangsih kepada Negeri Sembilan tetapi berakhir dengan mendakap tiga piala utama di peringkat domestik. Kami akan bangkit tanpa mencari alasan atau menyalahkan mana-mana pemain. Semua pemain menunjukkan komitmen tinggi, dan saya juga gembira dengan prestasi Syazwan. Dia penjaga gol muda berpotensi tinggi, dia bertambah yakin perlawanan demi perlawanan. Kini, saya memiliki tiga penjaga gol yang hebat untuk saingan musim 2013.” – Bojan Hodak -  

“Pasukan ini masih dalam proses mencari persefahaman dan keserasian, ia akan mengambil sedikit masa. Masih ada ruang untuk memperbaiki kelemahan dan kita perlu belajar dari pengalaman lalu. Setiap pasukan yang menentang Kelantan akan memberi aksi lebih dari 100%, itu cukup untuk membuktikan betapa Kelantan adalah pasukan yang mahu ditewaskan mana-mana lawan. Tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana saya percaya kita akan temui semula rentak permainan sebenar tepat pada waktunya.” – Badri Radzi –

Kesebelasan Utama :

Kelantan : Syazwan Yusof, Daudsu Jamaludin, Obinna Nwaneri, Rizal Fahmi Rosid, Nik Shahrul Azim, Shakir Shaari, Badri Razi, Norfarhan Mohd, Zairo Anuar Zailani (K.Nanthakumar), Indra Putra Mahyuddin (Zamri Ramli), Keita Mandjou

ATM : Farizal Harun, K.Reuben, Amiridzwan Taj Tajudin (Marlon Alex James), Shukor Adan, Irwan Fadzly Idrus, Rezal Zambery Yahya, Fitri Omar, Fainizam Nordin (Syazuan Hazani, R.Surendran), Venice Alphi Danny Kaya, Bruno Sebastian Martelotto, Hairuddin Omar

1 comment:

Nikman Kemaman said...

tahniah atm dan kelantan jangan berputus asa..



http://beritasini.blogspot.com/2013/01/5-gambar-video-misi-atm-balas-dendam.html