Thursday, January 17, 2013

ATM teruskan rentak cemerlang

Artikel sumbangan Harris Rajahdin, bekas wartawan Berita Harian, yang kini merupakan pegawai media ATM.

PENDATANG baru, Angkatan Tentera Malaysia meneruskan rentak cemerlang pada penampilan musim sulung mereka di Liga Super apabila meraih kemenangan kedua berturut-turut, kali ini 3-0 ke atas T-Team di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam kelmarin.

Kejayaan itu yang menyusul selepas kemenangan pertama, 3-1 ke atas PKNS, Sabtu lalu itu kini meletakkan juara Liga Perdana itu mengekori seteru musim lalu, Pahang yang mendahului carta dengan sembilan mata.

Dipisahkan tiga mata, ATM mengumpul enam mata bersama-sama Selangor dan Lions XII dengan ATM berada di tempat kedua berdasarkan perbezaan jaringan lebih baik berbanding kedua-dua pasukan itu.

Tanpa Hai-O yang masih dibelenggu kecederaan peha serta bintang sensasi muda, Affize Faisal Mamat dan Christie Jayaseelan, pengendali B Satiananthan memilih untuk menurunkan penjaring hatrik pertama musim ini, Marlon Alex James sebagai penyerang tunggal.

Namun, penyerang tinggi lampai St Vincent & Grenadines yang menggegar gawang lawannya 34 kali musim lalu tidak keseorangan di bahagian depan, dibantu pemain Piala Presiden yang dinaikkan ke skuad utama, Syazuan Hazani di sayap kanan dan Venice Delphi Danny Kaya di bahagian kiri.

Satia terus meletakkan kepercayaannya dengan barisan hampir sama yang meraih mata pertama pada kempen baru ini dengan hanya menggantikan Affize yang beraksi cemerlang minggu lalu dengan Syazuan berikutan masalah keracunan makanan yang melanda bekas bintang Harimau Muda A itu.

Tanpa jaringan pada babak pertama, tonggak tengah, Shukor Adan meletakkan ATM di depan untuk jaringan pertamanya sebaik memasuki babak pertama.

Rezal Zambery turut meledakkan gol sulungnya pada minit ke-65 sebelum Marlon, wira hatrik minggu lalu melengkapkan malam derita buat T-Team tiga minit sebelum tamat.

“Kecederaan Hai-O tidak serius dan saya mengharapkan dia akan pulih dalam masa terdekat ini. Affize tidak dapat beraksi kerana masalah keracunan makanan manakala Christie pula dijangka pulih pada Februari depan,” kata Satia.

“Perlawanan seterusnya adalah menentang Johor (Darul Takzim) Jumaat di gelanggang lawan. Ia adalah ujian besar buat kami dengan mereka memiliki pemain yang hebat dan penyokong yang ramai.

“Sungguh pun ramai memperkatakan bahawa mereka masih belum menemui tahap prestasi terbaik, mereka mencapai keputusan yang baik kelmarin apabila seri di Kelantan di tempat lawan. Tidak ramai pasukan yang mampu melakukan sedemikian ke atas Kelantan yang begitu kebal di tempat sendiri sepanjang musim lalu.

No comments: