Wednesday, March 14, 2012

Nusa Mahsuri Sambut Baik Cadangan Yakeb


Kelab Badminton professional tanah air, Nusa Mahsuri menyambut baik cadangan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) yang ingin membantu bekas atlet yang berkelayakan untuk berkhidmat sebagai  tenaga pengajar di sekolah-sekolah, Institusi Pengajian Tinggi, agensi swasta mahupun agensi kerajaan yang memerlukan khidmat mereka.

Ketua Jurulatih NMBC, Datuk Misbun Sidek berkata tidak menjadi masalah bagi pihaknya untuk menyokong usaha Yakeb ini, kerana ia secara tidak langsung dapat membekalkan platform kepada para jurulatih lulusan kelab itu menurunkan ilmu dan selok-belok permainan yang telah mereka pelajari – sepertimana dilaksanakan melalui Program Sukan Teras. 


“Saya melihat cadangan Yakeb ini sangat baik untuk menaikkan industri sukan Malaysia, kita sekarang banyak populasi, kelompok pemain terlalu ramai di satu-satu pusat latihan tetapi tidak dapat dipecahkan kerana kurang tenaga pengajar. Kalau ia boleh dilakukan, dan jurulatih 2-3 orang diserap di setiap pusat latihan, di tiap-tiap daerah, saya percaya kita akan dapat kelompok pemain yang lebih besar,” katanya kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan.

Misbun ditemui pada Majlis Penutup Klinik Kejurulatihan Asas Badminton Siri Pertama yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Belia dan Sukan, yang juga Pengerusi Yakeb, Datuk Jamil Salleh di Institut Penilaian Negara, pada Ahad.

Pada majlis tersebut, Jamil berkata Yakeb akan mengeluarkan surat sokongan untuk mencadangkan ahlinya yang terdiri daripada bekas atlet negara agar diberi keutamaan untuk dilantik sebagai jurulatih di mana-mana agensi yang berminat mendapatkan khidmat jurulatih, sebagai menghargai pengorbanan mereka di dalam mengharumkan nama negara apatah lagi tidak kesemua atlet yang bersara daripada arena sukan dijanjikan kerja atau pendapatan tetap.

Bagi Penasihat NMBC, Jalani Sidek, beliau melihat perkara ini sebagai suatu yang positif, di mana ia juga boleh membantu para jurulatih yang datang dari pelbagai latar belakang mencari pendapatan tambahan.


“NMBC boleh bekerjasama dengan Yakeb, bekas atlet yang ingin berkhidmat sebagai jurulatih, mereka tidak tahu bagaimana hendak promosikan diri, Yakeb boleh membantu. Sebagai contoh, sekolah, universiti atau agensi swasta yang inginkan khidmat jurulatih untuk program mereka, hanya perlu pergi ke laman web Yakeb, kita (NMBC) akan sediakan satu senarai dan mereka boleh pilih dari situ. Kita ada kelompok jurulatih yang boleh membantu dari peringkat sekolah hinggalah nasional. Inilah yang kita ingin lakukan, cikgu-cikgu umpamanya dapat cari pendapatan tambahan..” ujar Jalani.

Sementara itu, bercakap mengenai Klinik Kejurulatihan ini yang memasuki Siri Kedua bagi tahun 2012 selepas ia diadakan di Sabah minggu lalu, Presiden NMBC, Roslin Hashim berkata sambutan dan penyertaan yang diterima cukup menggalakkan.

“Ini sebenarnya yang kedua, kita ada masalah dengan tarikh, jadi kita buat di Sabah dulu, melalui klinik ini kita ajar mereka merangkumi semua aspek, dari asas, teori, senam cergas, motivasi, kaedah dan modul mengajar, serta teknik-teknik dan kemahiran kejurulatihan, shuttle drill dan sebagainya. Kita akan terus salurkan ilmu dan akan juga anjurkan Kem Bakat. Sambutan amat menggalakkan tapi kita amat kekurangan tenaga pengajar, lebih kurang 10 orang sahaja, jadi kita ambil terhad.” – Roslin Hashim.

Klinik Kejurulatihan Asas Badminton NMBC merupakan program yang dirangka khas untuk memberi tunjuk ajar kepada jurulatih-jurulatih tempatan dan mereka yang berminat menceburi bidang kejurulatihan hasil kerjasama NMBC bersama KBS, dan Institut Sukan Negara.  

No comments: