Tuesday, March 6, 2012

FAM Kecewa Dengan Penjelasan Chris Eaton

Menerusi satu kenyataan media bertarikh 5 Mac 2012, Persatuan Bolasepak Malaysia meluahkan rasa kecewa di atas penjelasan Pegawai Keselematan FIFA, Chris Eaton, tentang dakwaan pegawainya turut terlibat di dalam skandal Bookie. Berikut kenyataan dari Jabatan Media FAM.


Pegawai Keselamatan FIFA, Chris Eaton bersama dua orang pegawainya telah mengadakan perjumpaan dengan Jawatankuasa Integriti Persatuan Bolasepak Malaysia di Wisma FAM hari ini. 


Tujuan perjumpaan ini diadakan adalah bagi mendapat penjelasan dari Chris Eaton mengenai kenyataannya yang disiarkan oleh akhbar Straits Times di Singapura pada 16 Februari 2012 lalu, yang mendakwa bahawa ada di kalangan pegawai pendtadbiran FAM terlibat dalam gejala mengatur perlawanan. 


Bagaimanapun, FAM kecewa kerana Chris Eaton tidak memberi maklumat mahupun bukti bagi menjelaskan kenyataannya itu sebagaimana yang diharapkan, sebaliknya hanya sekadar menyatakan bahawa kenyataan itu dibuat berdasarkan dakwaaan oleh pihak tertentu dan penyiasatan masih dijalankan oleh FIFA. Beliau tidak menjelaskan tentang dakwaan itu mahupun mengenai pihak yang membuat dakwaan yang dimaksudkan. 


Chris Eaton mengambil kesempatan perjumpaan singkat hari ini untuk memaklumkan bahawa beliau akan meninggalkan FIFA dan bertugas dengan sebuah agensi lain di Qatar tidak lama lagi.


Jawatankuasa Integriti FAM dipengerusikan oleh Tan Sri Aseh Che Mat. Turut hadir dalam perjumpaan hari ini ialah wakil Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Tuan Haji Shamshun Mohd Jamil dan wakil Polis Diraja Malaysia, DSP Tan. 


Dua pegawai yang mengiringi Chris Eaton ialah Terry Steans dan Michael Pride.

No comments: