Juara badminton remaja dunia, Zulfadli Zulkifli hari ini dinobatkan
sebagai pemenang sulung Anugerah Atlet Remaja Terbaik 2011 SAM-100Plus-KBS
anjuran Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM).
Zulfadli, 18 tahun, mencipta sejarah apabila muncul pemain
Malaysia pertama memenangi acara perseorangan lelaki di Kejohanan Badminton
Remaja Dunia Taiwan tahun lalu, dengan mengejutkan pilihan utama yang juga
juara bertahan, Victor Axelsen dari Denmark 21-18, 9-21, 21-19 pada aksi final
yang berlanjutan hingga 51 minit itu.
Sebelum itu pada April, Zulfadli turut muncul pemain
Malaysia pertama meraih Kejuaraan Remaja Asia di Lucknow, India.
Zulfadli yang merupakan pemenang Sirkit Remaja Kebangsaan
100Plus tahun lalu, akan menerima anugerah tersebut secara rasmi beserta
insentif RM3,000 pada majlis Anugerah SAM-100Plus-KBS yang dijadual berlangsung
pada Ahad depan, 26 Februari di PJ Hilton.
Menyentuh mengenai majlis ini, Presiden SAM, Ahmad Khawari
Isa yang juga BOSS Astro Arena berkata penganjur pada tahun ini memperkenalkan
dua anugerah baru iaitu ‘Best Comeback Athlete’ dan ‘Most Dynamic Association’ .
Anugerah ‘Comeback Athlete’ katanya sebagai pengiktirafan kepada
atlet yang mencipta kejayaan gemilang dalam karier selepas mengalami kejatuhan
prestasi mendadak sama ada disebabkan faktor kecederaan, faktor usia mahupun
faktor lain, manakala ‘Most Dynamic Association’ pula sebagai mengiktiraf
persatuan yang mempunyai program akar umbi dan pembangunan yang kukuh, dapat
melahirkan bakat-bakat baru dan dapat menjadi ROLE MODEL kepada persatuan lain.
Tidak ketinggalan, anugerah Atlet Terbaik 2011 di mana 11
calon telah disenaraipendek dan pemenangnya adalah menerusi undian yang
dilakukan Ahli SAM. Calon-calonnya adalah Datuk Lee Chong Wei (Badminton),
Datuk Nicol David (Skuash), Pandalela Rinong (Terjun), Jupha Somnet, Fatehah
Mustapha (Berbasikal), Nur Suryani Taibi (Menembak), Jacqueline Jenelee, Adrian
Ang (Boling), Aaliyah Yoong (Water-Ski), Kevan Cheah (Wushu) dan pasukan
memanah Recurve Lelaki.
Pemenang akan membawa pulang RM10,000 dan trofi Kristal.
Ahli SAM turut berpeluang untuk merebut hadiah wang tunai
keseluruhan berjumlah RM45,000 menerusi 6 kategori anugerah kewartawanan yang
dipertandingkan – Laporan Berita Terbaik (Cetak & Eletronik), Ulasan
Terbaik (Cetak & Eletronik), Laporan Khas Terbaik dan Fotografi Terbaik.
Pemenang Keseluruhan (Anugerah Utama) akan dipilih daripada senarai 6 pemenang
tersebut dan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 serta trofi kristal,
manakala pemenang setiap kategori akan meraih hadiah wang tunai RM3,000.
5 artikel yang disenaraipendek untuk setiap kategori pula
mendapat RM500.
Majlis akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan,
Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek.
2 comments:
zulkifli patut diberi peluang mewakili msia dlm piala thomas
eh silap...zulfadli..zulkifli bapak die ehhe
Post a Comment