Monday, February 20, 2012

Anugerah SAM-100Plus-KBS : Zulfadli Dinobat Atlet Remaja Terbaik


Juara badminton remaja dunia, Zulfadli Zulkifli hari ini dinobatkan sebagai pemenang sulung Anugerah Atlet Remaja Terbaik 2011 SAM-100Plus-KBS anjuran Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM).

Zulfadli, 18 tahun, mencipta sejarah apabila muncul pemain Malaysia pertama memenangi acara perseorangan lelaki di Kejohanan Badminton Remaja Dunia Taiwan tahun lalu, dengan mengejutkan pilihan utama yang juga juara bertahan, Victor Axelsen dari Denmark 21-18, 9-21, 21-19 pada aksi final yang berlanjutan hingga 51 minit itu.

Sebelum itu pada April, Zulfadli turut muncul pemain Malaysia pertama meraih Kejuaraan Remaja Asia di Lucknow, India.

Zulfadli yang merupakan pemenang Sirkit Remaja Kebangsaan 100Plus tahun lalu, akan menerima anugerah tersebut secara rasmi beserta insentif RM3,000 pada majlis Anugerah SAM-100Plus-KBS yang dijadual berlangsung pada Ahad depan, 26 Februari di PJ Hilton.

Menyentuh mengenai majlis ini, Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa yang juga BOSS Astro Arena berkata penganjur pada tahun ini memperkenalkan dua anugerah baru iaitu ‘Best Comeback Athlete’ dan ‘Most Dynamic Association’ .

Anugerah ‘Comeback Athlete’ katanya sebagai pengiktirafan kepada atlet yang mencipta kejayaan gemilang dalam karier selepas mengalami kejatuhan prestasi mendadak sama ada disebabkan faktor kecederaan, faktor usia mahupun faktor lain, manakala ‘Most Dynamic Association’ pula sebagai mengiktiraf persatuan yang mempunyai program akar umbi dan pembangunan yang kukuh, dapat melahirkan bakat-bakat baru dan dapat menjadi ROLE MODEL kepada persatuan lain.

Tidak ketinggalan, anugerah Atlet Terbaik 2011 di mana 11 calon telah disenaraipendek dan pemenangnya adalah menerusi undian yang dilakukan Ahli SAM. Calon-calonnya adalah Datuk Lee Chong Wei (Badminton), Datuk Nicol David (Skuash), Pandalela Rinong (Terjun), Jupha Somnet, Fatehah Mustapha (Berbasikal), Nur Suryani Taibi (Menembak), Jacqueline Jenelee, Adrian Ang (Boling), Aaliyah Yoong (Water-Ski), Kevan Cheah (Wushu) dan pasukan memanah Recurve Lelaki.

Pemenang akan membawa pulang RM10,000 dan trofi Kristal.

Ahli SAM turut berpeluang untuk merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM45,000 menerusi 6 kategori anugerah kewartawanan yang dipertandingkan – Laporan Berita Terbaik (Cetak & Eletronik), Ulasan Terbaik (Cetak & Eletronik), Laporan Khas Terbaik dan Fotografi Terbaik. 

Pemenang Keseluruhan (Anugerah Utama) akan dipilih daripada senarai 6 pemenang tersebut dan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 serta trofi kristal, manakala pemenang setiap kategori akan meraih hadiah wang tunai RM3,000.

5 artikel yang disenaraipendek untuk setiap kategori pula mendapat RM500.

Majlis akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek.

2 comments:

Anonymous said...

zulkifli patut diberi peluang mewakili msia dlm piala thomas

Anonymous said...

eh silap...zulfadli..zulkifli bapak die ehhe