Memerlukan seri untuk
melangkah ke peringkat kalah mati saingan Piala Malaysia buat musim kedua
berturut-turut, tidak timbul isu Angkatan Tentera Malaysia beraksi ala kadar
dalam memastikan satu mata menentang Sime Darby pada perlawanan terakhir
Kumpulan A Sabtu ini.
Sebaliknya, barisan
bimbingan B Sathianathan akan turun di Stadium Majlis Perbandaran Selayang
dengan misi meraih tiga mata penuh yang bakal memastikan tempat mereka selaku
juara kumpulan untuk menempah tempat dengan naib juara Kumpulan D.
Dengan Kumpulan D masih
lagi terbuka, ATM berdepan cabaran sukar daripada Sarawak, Lions XII, Perak dan
Kedah yang memasuki pusingan akhir perlawanan dengan kesemua empat pasukan
masih dalam perebutan dua tiket ke suku akhir.
Kemenangan ke atas
Selangor Selasa lalu seharusnya menjamin tempat ke suku akhir, namun kegagalan
untuk mengelakkan diri daripada dibolosi buat perlawanan kelima berturut-turut
menyaksikan finalis musim lalu terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1.
Kini dengan peluang kedua
diberikan buat The Gladiators, tidak mahu disia-siakan anak buah Sathia yang
bertekad untud memuktamadkan isu itu di Selayang, Sabtu ini.
Selain itu, terdapat misi
balas dendam yang mahu dilangsaikan berikutan kekalahan 3-4 pada aksi pembukaan
yang menyaksikan ATM ketinggalan 1-4 kepada naib juara Liga Perdana itu pada
satu ketika sebelum bangkit dengan dua gol.
“Kami akan turun dengan
misi memburu kemenangan. Kami tidak boleh mengharapkan seri kerana tidak tahu
apa yang akan berlaku dalam perlawanan Johor menentang Selangor.
“Kita tidak tahu sama ada
Johor akan mendapat kemenangan besar ke atas Selangor. Seandainya ia berlaku,
kami akan tersingkir sekiranya tewas kepada Sime Darby.
“Perlawanan menentang Sime
Darby umpama final buat kami. Kami perlu menampilkan aksi yang lebih baik
berbanding yang ditunjukkan menentang Selangor tempoh hari,” katanya.
Tambah Sathia, dia
terpaksa merombak sekali lagi barisan pertahanannya berikutan kecederaan otot
koyak yang menimpa pemain muda, Safwan Hasyim pada sesi latihan pagi tadi.
Tempatnya di bahagian kanan bakal diisi K Reuben yang kembali membarisi
kesebelasan utama selepas membuat kemunculan pada babak kedua menentang
Selangor.
Kepulangan tonggak
pertahanan Harimau Muda itu yang membantu barisan bawah 23 kebangsaan itu
menjulang Pestabola Merdeka minggu lalu dijangka memberikan kestabilan pada
bahagian bawah ATM yang kini pincang dengan ketiadaan bek tengah, Irwan Fadzli
Idrus yang masih belum pulih daripada kecederaan lutut.
No comments:
Post a Comment