Menjaringkan gol keempat
peribadinya untuk bergelar penjaring terbanyak Angkatan Tentera Malaysia
sedikit pun tidak mengundang kegembiraan buat Marlon Alex James.
Penyerang St Vincent &
Grenadines dari Kepulauan Carribbean itu jelas kecewa dengan kegagalan ATM untuk
memanfaatkan kelebihan pada babak pertama dan seterusnya meraih tiket awal ke
peringkat kalah mati Piala Malaysia.
Pemenang Kasut Emas itu
meletakkan finalis musim lalu itu di depan pada minit ke-37 apabila mudah
menampan masuk hantaran lintang S Thinagaran yang melepasi jangkauan Sharbinee
Allawee namun ia dinafikan oleh tandukan Fitri Shazwan pada minit ke-74 di
Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi.
Keputusan itu menyaksikan
ATM mengekalkan tampuk penguasaan di atas Kumpulan A dengan lapan mata
dipisahkan dengan Sime Darby menerusi perbezaan gol. The Gladiators kini hanya
perlu mengelakkan kekalahan dengan Sime Darby untuk mara ke pusingan suku akhir
buat musim kedua berturut-turut.
Kegagalan berbuat demikian
akan membuka laluan buat Johor yang perlu meraih kemenangan besar ke atas rekod
juara 32 kali, Selangor yang sudah tersingkir sambil mengharapkan keputusan
lain berpihak kepada mereka.
“Saya begitu kecewa malam ini.
Ini adalah perlawanan kelima kami dan kami masih gagal untuk mengekalkan ‘clean
sheet’ (bolos),” kata Marlon yang meledakkan 16 gol pada kempen Liga Super
musim ini.
“Saya tidak mahu
menyalahkan sesiapa tetapi saya begitu kecewa dengan persembahan malam ini.
Sepatutnya selepas lima perlawanan, kami sudah melayakkan diri,” tambahnya.
Penyerang tinggi lampai
itu turut mengkritik tempoh rehat
panjang Liga Malaysia musim ini yang sedikit sebanyak menjejaskan momentum
pasukan.
“Kalau di negara
lain, liga (kejohanan domestik) sudah
tamat selepas 8 atau 9 bulan. Kat sini, dah masuk dekat setahun pun tak habis
lagi.
“Mana nak habis kalau
hanya main lima perlawanan dalam dua bulan. Tetapi apa boleh buat, mereka yang
berkuasa (FAM) yang menentukan segala-galanya. Kami hanya mampu ikut saja,”
tambahnya.
No comments:
Post a Comment