Thursday, March 31, 2011

Malek Noor Kritikal, Dikejarkan Ke Hospital Ipoh


Perlawanan Bolasepak Amal YAKEB-MB Perak baru lima minit bermula, Dato’ Malek Noor yang diletakkan sebagai penjaga gol belum pun beraksi mahupun menyentuh bola walau sekali apabila beberapa rakan atlet berlari ke arah gawang gol untuk memberi bantuan kepadanya.

Sekali pandang, ia seolah beliau sekadar melawak tangannya tersangkut di jaring apatah lagi Malek memang dikenali sebagai seorang yang menghiburkan. 

Namun, tanggapan itu jauh meleset, beliau mengalami pening kepala dan keadaannya didapati lebih serius daripada dijangka, dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Bainun untuk rawatan lanjut, dan diberitakan diserang sakit jantung.
Rakan-Rakan Sabar Menanti Di Lobi Hospital Pantai

Dato' Mumtaz Jaafar, Pengerusi Eksekutif YAKEB


Pengerusi Eksekutif YAKEB, yang juga rakan baik Malek, Dato’ Paduka Mumtaz Jaafar bergegas ke hospital selepas menerima perkhabaran itu, sebelum rombongan YAKEB yang lain menyusul sejurus tamat perlawanan. Turut hadir, Menteri Besar Perak, Dato’ Sri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Keadaan Malek, bekas Mr.Universe dan Mr.Asia, dilaporkan agak kritikal dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Pantai Ipoh, sebelum dilaporkan sedikit stabil dengan Mumtaz dan Pengurus Keahlian YAKEB, Aminuddin Hassan memilih untuk menemani Malek di Hospital.

Sehingga ke jam 7 pagi ini, Mumtaz dan Aminuddin masih di Hospital, dengan keadaan Malek dilaporkan bertambah baik. Sama-sama kita doakan tiada apa yang buruk berlaku, dan Malek segera sembuh dan dibenarkan pulang.

No comments: