Wednesday, March 30, 2011

Kelayakan Olimpik & Piala Dunia : Tuah Undian Tetap Tidak Membawa Tuah Jika Tiada Tuah – Ghani Minhat


Debaran panjang untuk mengetahui siapa lawan skuad bolasepak Olimpik dan Piala Dunia terjawab hari ini. 

Pastinya ramai yang menarik nafas lega, Skuad Olimpik diundi menentang Lubnan, pasukan di tangga ke 169 dunia mengikut ranking baru FIFA, manakala skuad senior pula dihadiahkan pertemuan menentang pasukan di tangga ke 147 dunia, Taiwan. Ini boleh disifatkan tuah undian, apatah lagi berjaya mengelak beberapa nama besar  seperti Jepun, Arab Saudi, Iran, Australia mahupun Bahrain.

Kini, laluan untuk mencipta sejarah baru bolasepak tanah air terletak sepenuhnya di tangan K.Rajagobal dan Ong Kim Swee namun apakah benar cabaran Lubnan (Pusingan Kedua Kelayakan Olimpik) dan Taiwan (Pusingan Awal Kelayakan Piala Dunia) boleh dipandang enteng, pada ketika cabaran dihadirkan mana-mana pasukan pada tahap ini pastinya sukar diramal.

4 tahun lalu, Malaysia tersingkir di pusingan awal Kelayakan Piala Dunia, tewas secara aggregat 1-4 kepada Bahrain namun tiada harapan tinggi diletakkan ketika itu. 

Berbeza kali ini, status selaku Juara Piala AFF Suzuki serta peningkatan ditunjukkan baik skuad Olimpik, mahupun skuad Senior, menyaksikan harapan tinggi diletakkan jutaan peminat bolasepak tanah air sekaligus mengundang tekanan yang tidak sepatutnya.

Bagi Raja Bolasepak negara, Dato’ Ghani Minhat, status pasukan lawan sama ada pilihan ataupun underdog tidak membawa sebarang makna sekiranya kelemahan itu datangnya daripada pasukan kita sendiri. 

Ghani yang mewarnai arena bolasepak tanah air dengan aksi lincahnya pada 1950-an berpendapat siapapun lawan skuad negara, Olimpik mahupun Piala Dunia, jika semangat sepasukan dan patriotik tidak dapat ditonjolkan, lawan skuad kerdil seperti Kemboja sekalipun tidak mungkin boleh menang. 

Tambahnya, tiada istilah tuah undian sekiranya pasukan negara tidak memiliki tuah untuk mara lebih jauh.

Bagi bekas pemain tengah kebangsaan, Khalid Ali, beliau berpendapat Taiwan mungkin lawan yang mudah untuk dijinakkan skuad senior negara, namun  apabila bertemu Singapura di Pusingan Kedua, mereka perlu berada pada tahap ‘extra-ordinary’ dalam semua aspek, terutamanya kecergasan dan persediaan mental. 

Menurutnya kejayaan menjulang Piala AFF Suzuki tidak boleh dijadikan penanda aras kemampuan skuad senior negara, kerana ia hanyalah kejohanan membabitkan negara Asia Tenggara dan pada tahap pertandingan lebih besar, segala-galanya berbeza dan pemain harus mempunyai keyakinan tinggi, bukannya ‘over-confident’. 

Menyentuh mengenai skuad Olimpik, Khalid menegaskan adalah penting pemain-pemain muda dalam skuad Kim Swee mengekalkan prestasi mengagumkan ketika ini, tetapi jangan sekali-kali mengharapkan tuah nasib semata-mata.

Malah, beberapa bekas pemain kebangsaan lain seperti Zulkifli Ahmad, Karim Pin, Kamarulzaman Yusoff dan Bakri Ibni turut berpandangan sama justeru Rajagobal pastinya tidak mahu barisan pemainnya mengambil mudah pertemuan menentang Taiwan yang dijadual 29 Jun dan 3 Julai depan.

Adalah silap jika pasukan negara memilih untuk mempamer prestasi sama ketika menentang Vietnam pada separuh akhir Piala AFF Suzuki tahun lalu, di mana kita menang 2-0 di laman sendiri, dan aksi negatif di Hanoi hampir menyaksikan Malaysia berputih mata, sekadar seri 0-0, dan mara diiringi tuah.

Kepada skuad Senior dan Olimpik, selamat maju jaya dari Suara Sukan 1 Mas, Suara Sukan Anda.
  

No comments: