Wednesday, November 12, 2014

ANAK DIDIK HAN JIAN KETUAI KEMARAAN

Dilihat sebagai platform untuk mencari dan mengetengahkan bakat-bakat baru dari kalangan remaja, Piala Axiata Junior menampilkan kumpulan pertama lapan pemain berbakatnya – empat lelaki dan empat wanita, yang muncul juara di peringkat negeri masing-masing selepas berakhirnya proses pemilihan minggu lalu.

Mendahului senarai, Wong Kin Pan, 15, yang mengatasi tentangan sengit daripada Abu Ubaidah pada perlawanan akhir kategori lelaki peringkat negeri Selangor di Akademi Badminton Michael di Puchong, Ahad lalu.  

Pelajar tingkatan empat Sekolah Antarabangsa Seri Sempurna di Cheras itu, yang mana gerak permainannya agak mirip dengan bintang badminton China, Chen Long, merakamkan kemenangan 21-13, 21-16 ke atas Abu Ubaidah dalam masa 40 minit menerusi ‘drop shots’ mengelirukan selain permainan jaring cukup baik untuk mara ke Pusingan Akhir Kebangsaan di Stadium Kuala Lumpur BA di Cheras pada 4 Disember.

Bakal menyertai Wong di Stadium KLBA bulan depan adalah pelajar SMJK Katholik, Petaling Jaya, Chen Ai Yin yang meraih 8A pada PMR tahun lalu. Pelajar berusia 16 tahun itu tidak berdepan masalah besar untuk menewaskan Martina Leong Wei Chen menerusi kemenangan 21-9, 21-4.

Kin Pan (kiri) dan Ai Yen
“Ia perlawanan yang sukar di set yang pertama, tetapi saya mengekalkan ketenangan dan cuba untuk kurangkan kesilapan,” kata Wong, anak didik Juara Dunia 1985 dari China, Han Jian yang merupakan ketua jurulatih di Akademi Badminton Setia di Cheras. Han Jian juga merupakan ketua jurulatih ketika Malaysia memenangi Piala Thomas di Kuala Lumpur pada 1992.

“Saya telah berlatih di bawah panel kejurulatihan diketuai Han Jian dan hari ini saya cukup gembira dengan kemenangan pada aksi final ini. Saya berharap untuk mengekalkan prestasi saya ini apabila beraksi di Grand Finals,” tambahnya.  

Di Kelantan, Mohammad Akram Mohd Razi, 16, dan Tuan Nur Aina Nazirah Tuan Daud, 13, muncul juara masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita di Pusat Sukan Shape Up di Pengkalan Chepa 2, Kota Bharu.

Mohammad Akram dari SMK Putera di Kota Bharu mengalahkan Chan Wei Lun pada aksi akhir manakala Tuan Nur Aina, pelajar SMK Agama (1) Nurul Ittifak, Pasir Putih, menundukkan Ruhul Atifah Roslan.

Muhammad Shahfuan Mat Desa dan Hafizah Adila Hasran, kedua-duanya berusia 14 tahun, pula akan mewakili Terengganu pada Pusingan Akhir selepas muncul juara dalam kategori mereka manakala cabaran Pahang akan diketuai Nabeel Azriq Nazri, pemain berusia 13 tahun yang menewaskan Sam Victor, lawan yang dua tahun lebih tua daripadanya pada aksi akhir kategori lelaki. 

Skrip yang sama terhasil dalam aksi kategori wanita apabila Wong Jia Meng, 13, dari SMK Air Putih, Kuantan menampilkan aksi cukup bertenaga untuk menewaskan Izzati Nur Nadiah pada perlawanan akhir yang berlangsung di Kelab Raket Kilas Kilat di Bandar Indera Mahkota.

Kesemua juara dan naib juara di peringkat Negeri menerima RM500 di atas usaha mereka manakala sekolah yang mereka wakili turut menerima RM300 sebagai token penghargaan.

Terbuka kepada pelajar sekolah menengah, lelaki dan wanita berusia di antara 13 ke 16 tahun, Pemilihan Piala Axiata Junior akan berlangsung pula di Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan pada Sabtu dan Ahad ini. 

Pemain yang menyerlah di peringkat pemilihan awal akan bersaing untuk muncul juara peringkat negeri, dan kemudiannya merebut gelaran juara Piala Axiata Junior peringkat kebangsaan, sekaligus membuka laluan untuk bergelar bintang masa depan arena badminton tanah air.

Bekas pemain kebangsaan, Cheah Soon Kit, yang berpasangan dengan Yap Kim Hock untuk memenangi pingat perak acara beregu lelaki di Sukan Olimpik Atlanta 1996, bersama-sama panel penilainya akan memilih 12 pemain lelaki dan 12 pemain wanita pada pengakhiran pusingan awal untuk beraksi di Peringkat Akhir Kebangsaan. 

Wednesday, November 5, 2014

KLHC Terus Gah, Import Korea Perkuat Cabaran THT

Dengan catatan dua kemenangan dalam dua perlawanan, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dan Pasukan Hoki Terengganu (THT) pantas meletakkan diri sebagai pasukan pilihan awal dalam kancah saingan Liga Hoki TNB-MHL musim ini.
   
Meskipun terpaksa berdepan saingan sengit yang disajikan Tenaga Nasional Berhad (TNB), THT tetap berjaya membawa pulang tiga mata dengan kemenangan 2-1.  

Jurulatih THT, Sarjit Singh mengakui pasukannya mungkin beraksi dibayangi sedikit perasaan ‘terlebih yakin’ pada perlawanan tersebut selepas membelasah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 7-0 pada perlawanan pertama.

Selain itu, Sarjit turut meratapi hakikat betapa skuadnya agak pincang  : “Kami tidak dapat senaraikan barisan pemain terbaik kerana kami hanya mempunyai 14 pemain. Malek (Engku Abd Malek) tersisih kerana cedera manakala lima pemain import kami dari Korea Selatan belum tiba minggu lepas.”

Begitupun, Sarjit mengesahkan lima pemain Korea itu - Kang Moon Kyu,  Seo Jong Ho, Kang Moon Kweon, Bae Jeong Seok, dan Jang Jong Hyun, sudahpun menyertai rakan sepasukan lain dalam sesi latihan dan akan diturunkan  ketika THT turun menentang Maybank pada Jumaat.  

Seo Jong Ho
“Mereka bersedia untuk diturunkan beraksi pada Jumaat, itu adalah apa yang boleh saya katakan dengan pasti.” tambahnya.

Sementara itu, kehebatan juara bertahan, KLHC pula dilihat cukup sukar untuk digugat dari perlawanan ke perlawanan.  Selepas kemenangan 5-3 ke atas TNB pada perlawanan Piala Sumbangsih, pasukan itu kemudiannya mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas Maybank pada Ahad lalu.  

“Kami turun pada perlawanan itu (menentang Maybank) dengan hasrat mengutip tiga mata tetapi kami tidak jangkakan dapat mencatat kemenangan mudah. Kami bernasib baik untuk mendapat gol awal dan ia membuka ruang untuk kami terus memberi tekanan kepada mereka,” kata jurulatih KLHC, M. Dhaarma Raj.

Bercakap mengenai lawan mereka pada Jumaat ini, Sapura HC, Dhaarma berkata : “Walaupun kami akan menentang THT pada Ahad depan, kami akan pergi dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Buat masa ini, fokus kami adalah Sapura, ia sudah tentu satu perlawanan yang sukar.”

Dalam satu lagi perlawanan pada Jumaat, TNB akan turun menentang UniKL, dengan kedua-dua pasukan masih mencari kemenangan pertama mereka dalam saingan liga musim ini. 

Jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, berkata : “Secara keseluruhan saya merasakan kami telah beraksi dengan baik ketika menentang THT Ahad lalu. Ia perlawanan yang sengit dan kami memiliki banyak peluang yang baik, saya gembira dengan prestasi pemain-pemain saya. Seperkara yang perlu kami tingkatkan adalah sentuhan penyudah di depan gol yang dilihat masih tumpul.”

Selepas mengalami kekalahan memalukan 0-7 pada perlawanan pembukaan, UniKL tampil lebih meyakinkan ketika menentang Sapura. Mereka tidak bernasib baik untuk membawa pulang satu mata apabila menghadiahkan pukulan penalti pada lewat permainan yang membawa kepada kekalahan 2-1.

“Ianya persembahan yang jauh lebih baik dan bertenaga (menentang Sapura) berbanding perlawanan sebelumnya. Kami beraksi dengan lebih keyakinan dan akan terus menunjukkan aksi lebih baik apabila berdepan TNB nanti,” jelas jurulatih UniKL, Arul Selvaraj.

Jadual Perlawanan:


Jumaat: Sapura lwn KLHC (6.0ptg, Padang 1); UniKL lwn TNB (6.0pm, Padang 2); Maybank lwn Terengganu Hockey Team (8.0malam, Padang 2). Semua perlawanan akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Saturday, August 9, 2014

Tengku Nana sedia bawa transformasi dalam FAS

Transformasi menyeluruh perlu dilakukan di dalam Persatuan Bolasepak Selangor jika mahu kembali mengangkat martabat mereka bukan sahaja selaku gergasi bola sepak tanah air malahan di peringkat serantau, dan Tengku Haji Shakirinal’ Amin Sulaiman Shah bersedia untuk membawa pembaharuan itu andai diberi peluang untuk merealisasikannya.

Anakanda Tengku Panglima Diraja Selangor yang dikenali dengan panggilan Tengku Nana ini diketahui merupakan peminat setia skuad Gergasi Merah Kuning dan mula menunjukkan minat serius terhadap perkembangan bola sepak pasukan itu sejak bermula saingan musim 2014.

Dan kini beliau menterjemahkan kesungguhannya ke satu fasa lebih tinggi apabila bersedia menapak masuk untuk berada di dalam FAS sekiranya diberi peluang apabila berlangsungnya Kongress FAS tidak lama lagi.



Tanpa mahu memperkecilkan usaha yang telah dibuat individu-individu di dalam FAS, Tengku Nana berpendapat sudah tiba masanya bola sepak Selangor dipacu pengurusan professional yang efektif, energetik dan efisyen agar mereka tidak terus kekal di takuk lama, seterusnya mengembalikan era kegemilangan dan kecemerlangan sebagai pasukan paling berjaya dalam arena bola sepak tanah air.

"Demi kegemilangan dan kecemerlangan pasukan Selangor, dan strategi pengurusan yang lebih profesional dan efisyen, saya sanggup bekerjasama serta menggalas tanggungjawab dan amanah jika diberi peluang. Insha Allah."

Antara agenda utama yang pastinya berada dalam fokus Tengku Nana adalah memperkemaskan dan menyusun semula program pembangunan bola sepak Selangor – dari skuad senior hinggalah ke junior dengan menjulang seberapa banyak kejuaraan.

Tidak ketinggalan mengeratkan hubungan baik bersama ahli gabungan di semua peringkat, penelitian terhadap penganjuran bola sepak liga daerah, dan paling penting membina keyakinan di kalangan penaja untuk terlibat bersama bola sepak Selangor.

Tengku Nana tidak mahu mengambil sikap semata-mata mahu membidas atau menyalahkan sesiapa di atas kegagalan untuk mengulangi pencapaian dan reputasi lampau, sebaliknya mahu memikul tanggungjawab dan amanah demi memartabatkan bola sepak Selangor yang cukup disayanginya dan kini bersedia untuk menapak membawa angin perubahan demi sebuah kebangkitan. 

Harimau Malaya 'ditaji' Tajikistan

Sebelum game, Harimau Malaya sedia taji Tajikistan. Selepas game, Harimau Malaya ditaji Tajikistan. skrip lama buat skuad kebangsaan meskipun di bawah pengendali baru. Tidak banyak perubahan dilakukan Dollah Salleh pada tugasan pertamanya selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan dan meskipun melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama, ia tidak banyak membantu bekas pengendali Selangor, Pahang dan PDRM itu untuk mencatat keputusan yang membanggakan. 

lebih banyak perubahan diharap daripada gandingan Dollah dan Sudarsono. 
Berikut laporan perlawanan yang dikongsi dari Utusan. 

Ujian pertama menghasilkan mimpi ngeri buat Dollah Salleh apabila Harimau Malaya dibelasah 1-4 oleh lawan yang berada di ranking ke-124 dunia, Tajikistan dalam aksi persahabatan di Stadium Respublikanskiy M.V. Frunze, Dushanbe semalam.

Kekalahan itu bermakna rekod bersih Malaysia di peringkat antarabangsa akhirnya lebur tahun ini.
Sejak awal permainan, rentak Harimau Malaya yang menduduki ranking ke-151 dunia begitu tempang terutama di bahagian tengah, dan beraksi di atas padang tiruan menambahkan kesukaran buat mereka terutama untuk mengawal bola.

Meletakkan Mohd. Badhri Mohd. Radzi untuk memacu di kawasan tengah, selain R. Gopinathan serta S. Chanturu mengemudi bahagian sayap, eksperimen yang dilakukan oleh Dollah bagaikan menemui kesilapan apabila penguasaan bola lebih banyak memihak tuan rumah.

Malah, Farizal Marlias yang menjadi pilihan Dollah sebagai penjaga gol utama beraksi di bawah tahap sebenar, selain dua ayam tambatan Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali tidak menghasilkan persembahan terbaik.

Farizal bagaimanapun berjaya menyelamatkan sepakan penalti Nuriddin Davranov pada awal babak kedua.
Dargon Ergashev menghasilkan gol pertama pasukan tuan rumah pada minit ke-15 sebelum Khurshed Makhmudov menambah dua gol pada minit ke 35 dan 51 dan Davranov menghasilkan gol keempat pada minit ke-53.

Harimau Malaya yang sekali-sekala mengasak mendapat gol sagu hati menerusi sepakan penalti Mohd. Amri Yahyah setelah Safee dijatuhkan pada penghujung babak pertama.

Malaysia mempunyai kesempatan terbaik menerusi serangan balas Gopinathan yang berjaya meloloskan diri di sebelah kiri namun hantaran silangnya gagal disambut oleh Safee sebelum dikeluarkan oleh pertahanan Tajikistan. Situasi semakin sukar buat Harimau Malaya apabila Tajikistan memperoleh jaringan kedua pada minit ke-35 apabila sepakan jarak jauh Ergashev gagal diselamatkan oleh Farizal.

Namun, sebelum babak pertama berakhir, Harimau Malaya mendapat sedikit kelegaan apabila pengadil menganugerahkan sepakan penalti selepas penyerang Johor Darul Ta'zim, Safee dikasari dan Mohd. Amri Yahyah tidak menghadapi masalah untuk menjaringkan gol.

Namun, Tajikistan pula mendapat sepakan penalti pada awal babak kedua apabila bola didakwa mengenai tangan Mohd. Aidil Zafuan namun Farizal dapat menyelamatkan sepakan penalti yang diambil Nuriddin Davronov.

Bagaimanapun, harapan untuk melihat skuad negara bangkit bagai terkulai layu apabila tuan rumah kembali melebarkan jurang apabila bola yang ditampan Farizal mudah disepak masuk oleh Dargon pada minit ke-51 untuk gol ketiga tuan rumah.

Harimau Malaya terus menderita apabila dua minit kemudian Davronov menebus kegagalannya menyempurnakan penalti dengan menjaringkan gol terakhir perlawanan, setelah melepasi kerapuhan benteng negara.

Walaupun Dollah melakukan beberapa pertukaran pemain dengan membawa masuk Baddrol Bakhtiar, Azamuddin Akil dan Safiq Rahim, tiada perubahan ketara dapat disaksikan pada corak permainan Harimau Malaya dengan pertahanan Tajikistan kelihatan begitu kebal buat bahagian hadapan skuad negara.

Wednesday, May 7, 2014

Tengku Shakirinal Minat Bola Malaysia

Adakah bola sepak Liga Malaysia akan menyaksikan satu lagi penglibatan dari kerabat Diraja? Begitulah perkhabaran yang mula bertiup membabitkan pasukan paling berjaya dalam arena bola sepak tanah air, Selangor yang dikatakan menarik minat anakanda Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Haji Shakirinal’ Amin Sulaiman Shah.

Tengku Shakirinal’ atau Tengku Nana, didefinisikan sebagai seorang yang berjiwa bola dan mula menunjukkan minat yang lebih terhadap perkembangan pasukan kesayangannya itu sejak kebelakangan ini, dengan kelibatnya turut disaksikan ketika pertemuan Selangor menentang Hanoi T&T di Stadium Shah Alam pada 1 April lalu.






Jika benar, Selangor akan menjadi pasukan Liga Malaysia ketiga mendapat sentuhan kerabat untuk memacu mereka ke arah penswastaan selepas Pahang yang dipimpin Presidennya Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, manakala Johor dipimpin Tunku Ismail Idris. 

Sebagai peminat setia pasukan Merah Kuning sejak zaman kegemilangannya dahulu, visi Tengku Nana sudah tentunya mahu melihat Selangor mengembalikan reputasi mereka sebagai gergasi bola sepak tanah air, selain mengekalkan status sebagai ‘pencipta lagenda’.

Selangor diketahui pernah melahirkan ramai lagenda bola sepak sejak dari zaman Allahyarham Tan Sri Ghani Minhat, Allahyarham Mokhtar Dahari hinggalah ke era Malek Rahman, Azman Adnan dan Dollah Salleh justeru peminat bola sepak Selangor juga pastinya tertarik untuk melihat pembaharuan yang dibawa Tengku Nana andai spekulasi ini menjadi kenyataan.