Thursday, May 31, 2012

Malaysia Ratah China Untuk Mara Ke Final

foto : www.duniasukan.com
Malaysia menampilkan aksi garang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, apabila menjadikan China mangsa amukan dengan mencatat kemenangan 89-0 pada aksi separuh akhir sebentar tadi, sekaligus menempah tiket ke aksi final Divisyen 2 Kejohanan Ragbi 5 Negara Asia HSBC yang berlangsung di sini.

Pasukan negara, bimbingan Hoon Boon Chee, nyata berada di kelas tersendiri dan kemenangan besar ini dilihat sebagai  justifikasi kepada kenyataan itu.

“Saya cukup gembira dengan kemenangan ini, memang saya yakin kita akan menang, tetapi saya tidak menjangka untuk menang dengan defisit begitu besar. Kita langsung tidak tahu cara permainan mereka, dan saya gembira pemain patuh pada gameplan dan strategi yang telah kita atur.

“Ini permulaan yang baik, dan saya pastinya harap pemain kekalkan momentum ini. Kredit kepada semua pemain yang telah beri komitmen penuh dan membuktikan kredibiliti mereka,” kata Boon Chee yang ditemui selepas perlawanan.

Beraksi di gelanggang sendiri, Malaysia yang turut diperkuatkan 3 pemain import dari Fiji, langsung tidak memberi ruang kepada China, lawan paling lemah dalam divisyen ini untuk mencatur strategi, sebaliknya mempamer corak permainan pantas untuk mendahului selesa 55-0 pada babak pertama.

Tatkala China umpama hilang punca dan dilihat bergelut menyesuaikan diri untuk memberi saingan, Malaysia menutup terus ruang kebangkitan buat negara tembok besar itu, apabila mempamer dominasi menyeluruh dengan menambah 34 mata di babak kedua, untuk kemenangan mutlak 89-0.

Malaysia akan menentang Thailand pada perlawanan akhir yang dijadual berlangsung Sabtu.
Thailand mara ke final selepas menewaskan seteru dari Asia Barat, Iran dengan kiraan 37-15.

Aksi 15 minit pertama tampak seimbang antara kedua-dua pasukan, dengan aksi berbalas serangan menyaksikan Thailand mendahului tipis 7-5. Perlawanan bagaimanapun bertambah rancak dengan Thailand meningkatkan tempo permainan dan berjaya menambah 10 mata hasil satu try, satu conversion dan satu penalty sebelum berakhir babak pertama untuk kedudukan 17-5.

Bersambung babak kedua, Iran cuba memberi saingan dan berjaya merapatkan kedudukan 10-17 menerusi try Iraj Abdi, namun Thailand yang melakukan 3 pertukaran selepas itu, mengukuhkan kedudukan 20-10 menerusi penalti yang disempurnakan Warongkorn Khamkoet sebelum menamatkan perlawanan dengan keputusan 37-15.

Aksi final pada Sabtu, pastinya menarik untuk diperkatakan, apatah lagi ianya ibarat ulangan final Divisyen Dua 2008, di mana Thailand ketika itu muncul juara dengan mencatat kemenangan 30-7 ke atas Malaysia – ketika itu di Bangkok.

Dalam pada itu, esok (Jumaat) akan berlangsung perlawanan membabitkan Divisyen 3, dengan Pakistan akan menentang Indonesia untuk penentuan tempat ketiga, manakala aksi final membabitkan Guam dan India.

Wednesday, May 30, 2012

India, Guam Tentukan Juara Divisyen 3


India menepati reputasinya selaku pasukan pilihan dari Divisyen 3, apabila mudah menjinakkan musuh tradisi, Pakistan, 34-5 dalam perlawanan berat sebelah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, seterusnya menempah tiket beraksi di final Divisyen 3 Kejohanan Ragbi 5 Negara Asia yang membuka tirainya hari ini.

Dominasi pasukan bimbingan Mitsutake Hagimoto terserlah sejak babak awal permainan, dengan corak permainan pantas dan aggresif menyukarkan Pakistan untuk mencari ruang memecah masuk melepasi garisan tengah padang.

Sebaliknya India bingkas memanfaatkan setiap peluang, dan mendahului selesa 22-0 di babak pertama.
Beraksi di bawah terik mentari tidak dinafikan sedikit menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan, dan India menambah 7 mata menerusi try Shokender Singh dan conversion Sethna Rohan 20 minit selepas permainan bersambung di babak kedua, untuk mendahului 29-0.

Meskipun try dilakukan Ahmed Fiaz berjaya memecah kebuntuan mata buat Pakistan, ia tidak memadai untuk menghalang India mencatat kemenangan dengan keputusan akhir 34-5.

Pengurus pasukan India, Vikram Datta memuji semangat juang tinggi para pemainnya dan menyifatkan keyakinan tinggi sebagai pendorong utama kemenangan pasukannya pada hari ini.

“Beza mata mungkin agak besar, tapi ia bukan kemenangan mudah. Anda boleh lihat ada pemain hampir pitam, ada yang berdarah, ada yang cedera, jadi ia adalah hard-fought victory. Pemain saya melakukan yang terbaik untuk mencapai kemenangan ini, dan mereka adalah wira.

“Kemenangan ini menguatkan lagi keyakinan pasukan kami untuk turun di aksi final Jumaat nanti, kami akan pulang dengan kejayaan,” ujar Vikram yang ditemui selepas perlawanan.

Lawan India pada aksi final nanti, adalah Guam yang menewaskan Indonesia 38-17 dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung terdahulu di padang sama.

Namun, kemenangan yang dicari tidak hadir dengan mudah buat anak buah Willie Herataka, apabila mereka yang mendahului 19-3 pada satu ketika diberi tentangan hebat oleh Indonesia yang menghambat merapatkan kedudukan 17-19, ketika permainan memasuki 10 minit terakhir babak pertama.

Namun, try disempurnakan Paul Eustaquio dan conversion Gerard Aguon membolehkan Guam menambah 7 lagi mata dan mendahului 26-17 di babak pertama.

Hasrat Indonesia untuk bangkit di babak kedua, bagaimanapun tidak kesampaian dengan Guam mempamer dominasi menyeluruh dan menambah lagi 12 mata untuk keputusan akhir, 38-17.

“Ya, pada satu ketika tekanan itu memuncak. Kami adalah pilihan dan kami mendahului selesa, kemudian mereka (Indonesia) merapatkan mata kepada hanya dua sahaja. Tamat babak pertama, saya nasihatkan pemain saya untuk main tanpa tekanan, kurangkan kesilapan, jangan terlalu ghairah, dan mereka lakukannya. Ia kemenangan yang cukup bermakna, dan kini kami perlukan sedikit rehat,” ujar Herataka.

Aksi final antara India dan Guam akan berlangsung jam 4.30 petang Jumaat, 1 Jun.

Dalam pada itu, esok (31 Mei) akan menyaksikan bermulanya saingan peringkat separuh akhir bagi Divisyen , dengan Thailand akan menentang Iran (2.30 petang) dan tuan rumah, Malaysia akan menentang China (4.30 petang). Kesemua perlawanan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.  

Saturday, May 26, 2012

Faktor Pengalaman Bantu Fuad Catat Masa Terpantas

Ahmad Fuad
Faktor pengalaman memberi kelebihan buat Ahmad Fuad Baharudin untuk melakukan catatan terpantas sesi ujian masa kategori CP130 pada pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 di Bandar Mahkota Banting, Selangor, hari ini.

Beraksi di litar yang pertama kali berada dalam kalendar perlumbaan Cub Prix, pelumba Faito motobert Racing itu mencipta catatan terpantas 54.704 saat meninggalkan rakan sepasukan, Ahmad Fazrul Sham di kedudukan kedua, 54.957s manakala juara pusingan pertama di Batu Kawan, Mohd Zaqhwan Zaidi (pachie Yuzy Honda Racing) di tempat ketiga dengan catatan 55.061s. 

Menurut pelumba berusia 33 tahun itu, "Walaupun berjaya mencatat masa terpantas, saya tidak mahu terlalu gembira memandangkan sasaran sebenar saya adalah untuk mencatat masa terpantas pada sesi Superpole esok supaya dapat memulakan perlumbaan sebenar di barisan hadapan. Malah jika dibandingkan dengan sesi latihan bebas, saya rasa beberapa kelemahan masih boleh diperbaiki terutama di sektor 1 untuk membolehkan saya mencatat masa lebih pantas."

Arkib Cub Prix, Fuad (26)
Mengulas mengenai venue perlumbaan, Ahmad Fuad berkata, "Saya memang suka beraksi di litar baru seperti ini kerana dari sini kita dapat melihat tahap keupayaan  sebenar setiap pelumba. Mungkin faktor pengalaman saya selama kira-kira 15 tahun dalam arena CubPrix ini banyak membantu saya untuk memahami litar dengan lebih cepat. Namun begitu, saya tidak mahu terlalu yakin memandangkan apa sahaja boleh berlaku sewaktu perlumbaan nanti. Berbanding untuk mengejar gelaran juara, saya hanya meletakkan sasaran untuk mengutip seberapa banyak mata bagi membantu mengukuhkan kedudukan pasukan kami sebagai pendahulu keseluruhan. Jika menang, ia adalah bonus untuk saya di samping turut dapat membantu untuk saya terus berada di kelompok tiga pelumba teratas dalam senarai individu keseluruhan," jelas juara Expert 2002 dan 2009 itu. 

Dalam kategori CP115, selepas mempamerkan prestasi cemerlang dengan memenangi perlumbaan Pusingan 3 di Kangar, Mohd Amirul Ariff Musa sekali lagi tampil dengan aksi terbaik apabila muncul pelumba terpantas ujian masa dengan catatan 55.706s. 

Mohd Iskandar Raduan (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) berada di kedudukan kedua dengan catatan 55.959s manakala Mohd Azhar Abdul Jalil (Motul Yamaha YY Pang) ketiga, 56.067s. 

Amirul (tengah)
Amirul yang masih segar dengan kejayaan muncul naib juara kategori Underbone 115cc Kejuaraan Motodikal Asia PETRONAS di Sepang baru-baru ini menjelaskan, "Prestasi saya pada peringkat awal musim ini menunjukkan banyak peningkatan berbanding musim lepas termasuklah dengan kejayaan memenangi perlumbaan di Kangar. Kerja keras kami sepasukan dan jua para penaja mula menunjukkan hasil yang memuaskan. Saya berharap agar pencapaian sebegini akan berterusan pada perlumbaan di sini dan juga akan datang," jelas pelumba berusia 21 tahun ini sambil meletakkan sasaran untuk sekali lagi menjejakkan kaki di atas podium. 

Pendahulu keseluruhan kategori Wira Mohd Hafiz Nor Azman (Team mos Track ProYamaha Racing) terus mempamerkan prestasi cemerlang apabila menamatkan sesi ujian masa sebagai pelumba terpantas, dengan catatan 56.350s mengatasi dua pencabar utama, Tengku Amirul Haffirudin (Motul Yamaha YY Pang Racing) dan Fakhrusy Syakirin Rostam (AAP Mazoil Armstrong), masing-masing dengan catatan 56.662s dan 56.751s.

Mengulas mengenai catatan hari ini, Hafiz berkata, "Catatan masa yang dilakukan hari ini agak baik dan saya sangat berpuas hati dengannya. Tambahan pula ia jauh lebih baik berbanding catatan ketika sesi latihan bebas di sebelah pagi apabila saya sekadar melakukan 57.550s. Saya berharap dapat meneruskan prestasi seperti hari ini pada perlumbaan sebenar esok untuk terus melebarkan kedudukan saya sebagai pendahulu," jelas pelumba berusia 16 tahun itu. 

Keputusan Ujian Masa 

CP130
1. Ahmad Fuad Baharudin (Yamaha) 54.704s
2. Ahmad Fazrul Sham (Yamaha) 54.957s
3. Mohd Zaqhwan Zaidi (Honda) 55.061s
4. Mohd Affendi Rosli (Honda) 55.198s
5. Norizman Ismail (Honda) 55.490s

CP115
1. Mohd Amirul Ariff Musa (Honda) 55.706s
2. Mohd Iskandar Raduan (Yamaha) 55.959s
3. Mohd Azhar Abdul Jalil (Yamaha) 56.067s
4. Ahmad abdul Kadir (Yamaha) 56.082s
5. Shahril Izzuwan Mohd Noor (Yamaha) 56.117s

WIRA
1. Mohd Hafiz Nor Azman (Yamaha) 56.350s
2. Tengku Amirul Haffirudin (Yamaha) 56.662s
3. Fakhrusy Syakirin Rostam (Honda) 56.751s
4. Che Ku Amriq Asyraff (Yamaha) 56.964s
5. Mohd Hafizudin Azahar (Yamaha) 57.204s

Maklumat lanjut sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau layari laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di www.malaysiancubprix.com

Malaysia Senarai Barisan Terkuat Termasuk 3 Import



Menjelang Kejohanan Ragbi 5 Negara Asia (Divisyen 2 & 3), jurulatih ragbi negara, Boon Hoon Chee, mengumumkan senarai 24 pemain, termasuk tiga pemain import dari Fiji yang diberi kepercayaan untuk mengalas cabaran di kejohanan yang akan membuka tirai pada 30 Mei itu.

Hoon Chee, yang mengakui berdepan tugas sukar memilih 24 pemain itu dari senarai awal 35 pemain, berpendapat semua pemain telah diberi peluang sama rata untuk memikat panel kejurulatihan ketika perlawanan persahabatan menentang Pilihan Kelab Diraja Selangor (RSC), yang juga bertindak sebagai sessi terakhir pemilihan pemain pada Khamis lalu.  

Perlawanan itu yang merupakan perlawanan pertama skuad ragbi negara sejak menjalani latihan pusat sejak 14 Mei lalu, turut memberi ruang kepada Boon Chee untuk mengenalpasti dan memperbaiki sebarang kesilapan di dalam pasukannya, ketika tinggal hanya beberapa hari sebelum berlangsung perlawanan separuh akhir menentang China.


Hoon Chee turut mengariskan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dan keserasian antara pemain, sebagai dua faktor yang menguatkan keyakinannya bahawa Malaysia mampu menewaskan China seterusnya layak ke final, meskipun tidak mempunyai gambaran jelas mengenai kekuatan dan kelemahan pasukan lawan itu, Boon Chee optimis pemainnya berupaya menandingi China dari segenap aspek dan seterusnya mengesahkan tiket beraksi di final.

“Saya pasti China tidak akan memberi laluan mudah, mereka akan beri tentangan sengit, sebab kita sama-sama nak merebut tiket final, sama-sama mahu layak ke Divisyen 1, tetapi dengan kelebihan yang kita miliki, saya cukup yakin dengan peluang kita, saya boleh kata ianya 60-40. Kita tidak tahu kekuatan sebenar mereka, yang saya tahu pemain mereka agak besar, tetapi kita boleh menandingi mereka,” ujar Hoon Chee.

Dalam pada itu, Kini Rasasolosolo dari Fiji, yang sudah 7 tahun beraksi bersama pasukan negara berkata motivasi di kem negara ketika ini cukup tinggi, dan melaungkan keyakinan Malaysia akan menamatkan saingan Divisyen 2 selaku juara.

Kini Rasasolosolo
“Kita pernah menewaskan mereka sebelum ini, jadi tidak ada sebab kita tidak dapat mengulanginya, pemain semua cukup komited dan tidak sabar menanti kejohanan bermula. Keserasian dan persefahaman antara pemain juga berada di tahap terbaik, kawan-kawan saya ada yang sudah 8 atau 9 tahun bersama pasukan, jadi sepatutnya kita tiada masalah, Malaysia boleh muncul juara,”.  

Senarai penuh skuad yang akan membawa cabaran di A5N :

Ketua Jurulatih : Hoon Boon Chee
Pengurus : Suhaimi Zainudin

Pemain : Mohd Shahir Ahsraf Rusli (Kapten), Md Khuzaidi Abdullah, Azman Osman, Badrul Musa, Amadis Chong, K.Dineswaran, Helbarth Jemlit, Khairul Nizar Shamsudin, Kini Rososolosolo, Megat Zubaidi Buang, Mohamad Amin Jamaludin, Mohamad Nazeer Nesharah, Farid Syazwan Abu Bakar, Mohd Hafizh Zainal, Zulkifli Azmi, Nizard Mohd Noor, Razif Zainol Abidin, Shafiq Marican Ariffin, Muhammad Fazrin Noor Zaid, Nathaneal Tan Aik Ming, Ras Suhael Nur Rahim Razbi, Ras Hurairah Razbi, Timoci Nacocula, Veliameveto Tuinivanua


Thursday, May 24, 2012

Isu Shukri, Pukulan Libas Buat FAM!

Masih ingatkah anda, beberapa bulan lalu, seorang pegawai dari FIFA, Chris Eaton mendakwa ada pegawai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang terlibat di dalam gejala mengatur perlawanan membabitkan saingan Liga Malaysia? FAM tanpa menyiasat lebih lanjut, meminta pegawai itu dan FIFA memohon maaf di atas tuduhan tersebut yang disifatkan tidak berasas.

Hari ini, kecoh memperkatakan seorang pengadil dari Malaysia, Shukri Nor yang mana majikannya adalah FAM, didakwa di sebuah Mahkamah Singapura bersama seorang bekas pemain kebangsaan yang kini bergelar ahli perniagaan, S.S Thana Segar atas tuduhan bersetuju menerima suapan  RM15,000 untuk mengatur perlawanan Liga Super, membabitkan Lions XII menentang Sarawak.

Shukri dan Thana Segar, didakwa melakukan kesalahan itu, di sebuah bilik hotel di Pulau Pinang pada 19 Mei lalu, namun difahamkan dia ditahan Anggota Biro Siasatan Amalan Rasuah Singapura sebelum bermulanya perlawanan antara kedua-dua pasukan, yang berkesudahan Lions menang 3-0, dan tempatnya dalam perlawanan itu diambil alih Wan Ahmad Tarmizi.

Shukri, 47 tahun, boleh dikatakan antara pengadil paling berpengalaman di Malaysia dan perkembangan ini nyata cukup memalukan di saat pemain dari Malaysia semakin menjadi sebutan di luar negara. Ini nasib baik kantoi sebelum perlawanan berlangsung, yang tak terkantoi entah berapa banyak lah lagi? sungguh kasihan peminat bolasepak tempatan, hadir ke stadium bersemangat tinggi memberi sokongan kepada pasukan kesayangan, rupanya keputusan sudah diatur. What a shame!!

Apa yang berlaku, pastinya dilihat sebagai satu lagi tamparan hebat buat FAM, beria-ria menyuruh FIFA meminta maaf kini sudah HAMPIR dapat dibuktikan dan terpercik ke muka sendiri (walaupun kita sebagai rakyat Malaysia akan berharap dakwaan tersebut tidak benar), apakah penjelasan FAM tentang perkara ini, adakah mereka kini dalam situasi menjilat ludah sendiri?

Dalam satu kenyataan kepada Bernama, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk Astaman Abdul Aziz berkata FAM akan menunggu keputusan perbicaraan mahkamah Singapura sebelum mengambil tindakan lanjut – katanya ini sebagai menghormati undang-undang negara tersebut.

Manakala dalam satu kenyataan ringkas kepada media, FAM mengucapkan tahniah kepada CPIB di atas tindakan badan itu menahan dan mendakwa pihak yang terlibat dengan gejala bookie. Menurut kenyataan itu lagi, FAM sentiasa memandang berat isu rasuah bolasepak dan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk memerangi gejala ini. Cubaan untuk mendapatkan komen orang kuat FAM, Datuk Azuddin Ahmad bagaimanapun tidak berhasil, dilaporkan dia berada di Hungary ketika ini.

Mahkamah membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin dengan bayaran $50,000 sebelum kes itu disebut semula 31 Mei nanti, dan jika sabit kesalahan mereka boleh didenda sehingga $100,000 atau 5 tahun penjara atau kedua-duanya mengikut undang-undang Singapura.

Apa yang akan FAM pula lakukan? Saya masih ingat janji Datuk Astaman ketika saya bertemu beliau dua tahun lepas, ketika beliau dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa pengadil, struktur gaji para pengadil adalah perkara pertama yang akan dinilai agar mereka mendapat bayaran setimpal perkhidmatan yang diberi. So, apa jadi?

Kritikan terhadap mutu pengadilan juga perlu diteliti secara serius, bukannya cepat melatah menjatuhkan hukuman, ini komen sikit terus nak menghukum sedangkan kualiti pengadilan itu mungkin juga berkait rapat dengan gejala mengatur perlawanan. Setakat pakai baju tertera logo INTEGRITI dan berikrar beria-ria kononnya TELUS AMANAH, mana cukup? Kenapa tidak selama ini apabila menerima laporan atau aduan, sama ada secara terus atau melalui saluran lain, FAM jalankan siasatan untuk kenal pasti puncanya? 

Sebaliknya FAM hanya sibuk menghukum, inikah yang mereka katakan sebagai bekerjasama memerangi rasuah – iaitu dengan menjatuhkan hukum kepada orang yang menyuarakan rasa tidak puas hati? Tengoklah, Persatuan Bolasepak Singapura telah menjalankan tanggungjawab memerangi rasuah dengan berkesan, setinggi ucapan tahniah buat FAS! FAM harus malu dengan FAS. Tak malu ke ucap tahniah kpd badan induk negara jiran, terang-terang nampak diorang lagi telus dan berintegriti.