Kehadiran Tengku Haji Shakirinal’ Amin
Shah, anakanda kepada Tengku Panglima Diraja Selangor, ketika perlawanan
membabitkan bekas pemain-pemain Selangor di Padang SUK pada Ahad lalu mencuri
tumpuan ramai sekaligus menambahkan kehangatan spekulasi betapa bola sepak
Selangor bakal mengalami transformasi besar-besaran menjelang penswastaan Liga
Malaysia tidak lama lagi.
Kelibat Tengku Shakirinal atau sinonim
dengan panggilan Tengku Nana sudah beberapa kali diperhatikan bersama lagenda-lagenda
bola sepak yang pernah menaikkan imej Selangor suatu masa dahulu, tetapi kali
ini beliau bukan sahaja hadir sebagai penonton, tetapi turut mempamer bisanya
di atas padang dengan mewakili pasukan kuning Selangor.
Salah seorang bekas pemain Selangor dan
kebangsaan yang bertanggungjawab mengelolakan perlawanan tersebut bersama
rakan-rakannya berkata : “Kehadiran Tengku Nana tiada kena mengena dengan
pengambil alihan mana-mana pasukan. Beliau berada di sini kerana minatnya
terhadap bola sepak, Tengku adalah penyokong nombor satu Selangor sejak zaman
dahulu.
“Sebagai bekas pemain Selangor, kami teruja
untuk mengalukan kehadiran Tengku di sini, beliau seorang yang berjiwa bola dan
sangat prihatin tentang bola sepak negeri ini. Selebihnya tiada apa-apa
spekulasi perlu ditimbulkan,” katanya.
Bola sepak Malaysia sebelum ini menyaksikan
penglibatan Diraja dalam pengurusan pasukan Pahang, dan terbaru Johor Darul
Takzim yang diambil alih Tengku Mahkota Johor dalam usaha memacu pasukan
bertanding ke era lebih professional, dan seandainya Tengku Nana juga
menunjukkan minat sama, maka ia adalah sesuatu yang digalakkan dalam usaha
mengembalikan martabat bola sepak Selangor.
No comments:
Post a Comment