Saturday, October 19, 2013

Ayuh, bangkit The Gladiators!!

Artikel sumbangan Harris Rajahdin untuk Media ATM. 

Mereka pernah melakukannya sebelum ini, dan kini Angkatan Tentera Malaysia perlu melakukannya sekali lagi seandainya mahu mengulangi penampilan pada final musim ini.

Begitulah senario yang dihadapi barisan anak buah B Sathianathan yang memilih laluanberliku dalam misi untuk mengulangi kemaraan ke pentas akhir Piala Malaysia yang dilakar selepas penantian 46 tahun.

Tanpa pertahanan tengah, Amiridzwan Taj Tajudin yang digantung berikutan layangan kad merah ketika separuh akhir menentang Lions XII, dimanfaatkan sepenuhnya oleh juara bertahan musim lalu merobek bahagian tengah dengan meledakkan dua jaringan tempat lawan berharga dalam laluan meraih kejayaan 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang semalam.

Ketiadaan Amiridzwan dirasai. Foto Shekhinah PR
Malang terus menimpa The Gladiators susulan ketiadaan Norfazly Alias yang terpaksa dikeluarkan berikutan kecederaan peha yang hampir pasti mengenepikannya bagi timbal balik kedua di Kota Bharu seminggu kemudian, menjurus jaringan kedua The Red Warriors menerusi Norfarhan Muhammad pada minit ke-79.

Bertandang ke Stadium Sultan Mohd IV Jumaat depan pastinya menjanjikan ujian getir tanpa perlu memburu defisit dua gol dan ketiadaan dua tonggak pertahanan tengah, namun itulah yang perlu dihadapi ketua pasukan, Hairuddin Omar dan rakan-rakan selepas gawang mereka dibolosi pada minit ke-15 oleh kapten The Red Warriors, Badhri Radzi.

Pemain sayap kanan, Christie Jayaseelan mengotakan janjinya untuk mencipta magis apabila bijak memanfaatkan kesilapan Azizi Matt Rose, memperdayakan Shakir Saari sebelum merembat kencang dengan kaki kanan melepasi jangkauan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-15.

ATM masih berpeluang. Gambar Shekhinah PR
Namun, keadaan pastinya berbeza seandainya memanfaatkan pelbagai peluang yang terhidang dengan kecemerlangan Ejai di gawang menyelamatkan percubaan Indra Putra Mahayuddin pada penghujung permainan memastikan dua gol menjadi buruan pada timbal balik kedua.

Meskipun sukar, ia bukan misi yang mustahil melihatkan ATM pernah meraih kejayaan 3-1 di sana pada kempen Liga Super, seminggu selepas tewas 2-3 di Stadium Paroi pada penamat saingan pusingan pertama liga.

Lebih manis, kemenangan itu menamatkan rekod tanpa kalah 42 perlawanan Kelantan di gelanggang keramat mereka dengan Sathia mengharapkan persembahan sama daripada anak buahnya pada pertemuan akan datang ini.

“Ia pastinya sukar, tambahan dengan ketiadaan Fazly yang hampir pasti tidak sempat pulih berikutan kecederaan peha.

“Namun, saya yakin dengan kemampuan mereka untuk menang di sana seperti yang ditunjukkan sebelum ini. Kami memiliki banyak peluang tetapi gagal memanfaatkannya. Kami menguasai permainan tetapi pada 10 minit terakhir, kami kehilangan fokus dan membenarkan lawan menjaringkan gol,” kata bekas pengendali Kelantan itu.


No comments: