foto : Ahmad Junaidi |
Kealpaan barisan pertahanan dalam tempoh 3 minit terakhir
memisahkan Malaysia daripada mengulangi sejarah 37 tahun lalu, apabila kelab
Liga Perdana Inggeris, Arsenal bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk
mencatat kemenangan 2-1 ke atas skuad Malaysia kendalian Datuk K.Rajagobal di
Stadium Nasional Bukit Jalil.
Malaysia, yang tewas 0-4 kepada lawan sama tahun lalu tampil
sebagai sebuah pasukan berbeza kali ini, dengan aksi dan penguasaan bola yang
lebih meyakinkan, lebih banyak mencipta gerakan dan peluang, justeru tidak
hairanlah pengurus Arsenal, Arsene Wenger sendiri menyatakan rasa kagumnya
terhadap peningkatan ditunjukkan Harimau Malaya.
Malah, Wenger juga memuji aksi beberapa pemain terutamanya
Gary Steven Robbat dan penjaga gol, Farizal Marlias.
“Pasukan yang kami tentang malam ini jauh meningkat
berbanding tahun lalu, saya harus memuji kawan saya (Rajagobal) atas
peningkatan ini, mereka menyukarkan kami, dan saya agak tertarik untuk melihat
aksi beberapa pemain, antaranya nombor 15 (Gary), nombor 8 (Safiq), nombor 16
(Kunalan) agak lincah dan pastinya penjaga gol (Farizal) yang cukup cemerlang
(fantastic) malam ini.
foto : Ahmad Junaidi |
“Apapun, bagi saya keputusan perlawanan tidaklah terlalu
penting pada aksi pra-musim, yang penting adalah persefahaman dan keserasian
yang dapat dipupuk, itu yang saya tekankan kepada pemain saya, saya menurunkan
barisan berbeza di setiap babak permainan, adunan pemain berpengalaman dan muda
sebagai pendedahan kepada pemain muda kami. Musim EPL cukup panjang, mereka
perlu bersedia beraksi bila-bila masa diperlukan andai ada perkara luar dugaan
berlaku, contohnya seperti kecederaan pemain utama,” ujar Wenger pada sidang
media selepas perlawanan.
Manakala bagi Rajagobal, beliau cukup gembira dengan prestasi
para pemainnya.
“Apabila menentang pasukan seperti Arsenal, sebuah kelab
gergasi, kita mampu menjaringkan gol dan hampir menewaskan mereka, ia pastinya
perlu dipuji. Pemain saya telah melakukan yang terbaik, dan tiada apa untuk
dimalukan dengan kekalahan ini, walaupun saya akui sedikit kecewa untuk tewas selepas
mendahului pada saat yang begitu getir.
Mengenai komen Wenger tentang Gary Steven, Rajagobal berkata
: “Ya, Wenger ada bertanya kepada saya pemain ini cukup bagus kenapa tidak
masukkan dia awal-awal, tetapi saya berkata ia adalah perancangan taktikal,
lagipun saya mahu beri peluang kepada semua pemain membuktikan sesuatu. Saya
turunkan Shakir Shaari di posisi Gary untuk melihat keberkesanan dia, tetapi
dia baru sahaja mewakili Kelantan menentang QPR dan kelihatan penat, justeru
saya menggantikan dia dan Gary membalas kepercayaan saya.”
Pada perlawanan itu, Malaysia mengejutkan Arsenal menerusi
gol pembukaan pemain pertahanan kiri, Azmi Muslim dari jarak hampir 30 meter
yang mengegar gawang kawalan Vito Mannone pada masa kecederaan babak pertama.
foto : Dunia Sukan |
Arsenal yang beraksi sambil lewa sebelum itu, menggandakan
usaha mencari gol penyamaan di babak kedua, namun semua usaha mereka menemui
jalan buntu, sama ada disebabkan keutuhan pertahanan diterajui S.Subramaniam
dan Aidil Zafuan mahupun kecemerlangan Farizal mengagalkan beberapa percubaan
berbahaya.
Keputusan Rajagobal mengeluarkan Azmi dan meletakkan
penyerang, Rozaimi Rahman di posisi bek kiri menjadi titik tolak kebangkitan
Arsenal yang memanfaatkan kepincangan di sebelah kiri untuk mencipta gol
penyamaan menerusi Thomas Eisfeld pada minit ke-87, dan selang dua minit
kemudian Chuks Aneke menjaringkan gol kemenangan The Gunners sekaligus
menyentap hasrat Malaysia mencipta kejutan.
foto : Dunia Sukan |
Sementara itu, gandingan penyerang utama – Norsharul Idlan
dan Safee Sali – terus hambar dengan kedua-dua pemain itu dilihat masih
bergelut untuk kembali menemui prestasi sebenar mereka. Safee, di sebalik
berjaya menguji Manonne 3 kali, mempamer sentuhan kecundang setiap kali
mendapat bola, manakala Norsharul masih terbawa-bawa aksi tidak meyakinkannya
sejak pulih dari kecederaan jangka panjang.
1 comment:
masuk amar rohidan trus kena 2 gol hahaha
Post a Comment