Sunday, June 19, 2011

Putus Ligamen Bahu, Akmal Terkilan, Janji Gegar Piala Malaysia


Ketika bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli terbaring kesakitan gara-gara mengalami kecederaan ketika perlawanan antara Kelantan dan Perak 14 Jun lalu, ramai yang mungkin beranggapan kecederaan Akmal itu tidaklah seserius mana, atau berpendapat itu hanyalah helah untuk mendapatkan perhatian pengadil, apatah lagi susulan daripada gerakan itu jugalah Kelantan beroleh sepakan penalti.

Dia kemudiannya dikejarkan ke hospital, dan tiada sebarang UPDATE diterima selepas itu, hinggalah diberitakan mengalami kecederaan bahu serius dan terpaksa berehat panjang hanya 3 hari selepas itu.

Dalam sessi temuramah bersama Suara Sukan sehari sebelum perlawanan, Akmal menasihatkan bekas rakan sepasukannya di Kelantan bangkit melupakan kekecewaan tewas di final Piala FA, dan fokus kepada saingan Liga Super (baca di sini), namun apakah nasib yang dialami Akmal Rizal akibat dibentes Zairul Fitri Ishak mendapat simpati bekas rakan sepasukannya, atau bekas penyokongnya? 

Kalau di Liga Eropah, Aldo Duscher yang mematahkan kaki David Beckham (2002), Martin Taylor yang mematahkan kaki Eduardo (2009) dan Ryan Shawcross yang mematahkan kaki Aaron Ramsey (2010), kesemuanya insiden tidak sengaja dan mereka memohon maaf, malah sempat bertanya khabar ‘mangsa’ mereka, namun apakah situasi itu berlaku di Liga Malaysia?

SS bertanya kerana tidak tahu apakah situasi itu juga berlaku di Malaysia, di mana pemain yang menjadi punca seseorang pemain lain itu cedera sama ada sengaja atau tidak, memohon maaf dan bertanya khabar kepada pemain yang cedera itu, bukan mahu membuat kesimpulan ianya tidak berlaku di Liga Malaysia. 

Baguslah jika semangat kesukanan itu ada dalam diri setiap pemain, bukannya salahpun bertanya khabar, atau memohon maaf walaupun anda tidak sengaja. Kalau Zairul belum berbuat demikian, eloklah hantar jambangan bunga, atau SMS bertanya khabar, ini boleh mengeratkan hubungan antara anda berdua.

Berbalik kepada cerita Akmal, dia yang dihubungi SS, berkata kecederaan dialaminya cukup teruk, di mana ligament bahunya putus, dan akan dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Ipoh petang ini sebelum dibedah pada pagi Isnin.

Nyata Akmal begitu terkilan kecederaan ini berlaku di saat begitu getir di mana pasukannya amat memerlukan khidmatnya untuk mengetuai jentera serangan menjelang perlawanan terakhir liga, menentang Selangor di Ipoh.

“rasa sedih tak dapat nak bantu pasukan untuk perlawanan terakhir tapi Alhamdulillah doktor bagitau dalam 4 minggu dah dapat jalani latihan ringan, insyaAllah Piala Malaysia nanti saya akan kembali untuk julang Perak kembali..”, tegasnya.

Akmal, yang berhijrah ke Perak musim ini selepas menabur bakti di Kelantan musim lalu, ketika ini merupakan penjaring terbanyak pasukannya dengan 13 gol, iaitu 9 gol dalam Liga Super, dan 4 gol dalam saingan Piala FA. 

Kepada Akmal, SS doakan anda segera pulih dan kembali beraksi membantu cabaran Perak dalam saingan Liga Malaysia.

2 comments:

kasimselamat said...

ya, adat orang melayu sepatutnya begitu, bertanya khabar dan selalu memohon maaf walaupun tidak sengaja. perhubungan baik sesama insan adalah digalakan inikan pula kawan sepermainan. harap Zairul Fitri menghubungi Akmal Rizal. GKG

ibun_jogho said...

Mudah2an Akmal cpt smbuh. Stlh Perak khilangan Razali Umar, kni Perak tpksa ktepikan sketika Akmal.