Monday, June 13, 2011

Masalah penglihatan kabur jejas Zulfahmi

Nasib malang menimpa penunggang sensasi Malaysia, Mohd Zulfahmi Khairuddin apabila masalah penglihatan kabur menjejaskan harapannya untuk meletakkan diri dalam saingan mengutip mata apabila berada di kedudukan ke- 18 di GP British Air Asia di Silverstone kelmarin.

Bintang muda, Zulfahmi yang melalui musim penuh pertamanya dalam kelas 125 cc, memulakan perlumbaan di barisan kelima, melayakkan diri di tempat ke-14 di grid tetapi keadaan sukar menjejaskannya ketika dia tercicir ke kedudukan ke- 25 pada pusingan keenam sebelum bangkit mengisi tempat ke- 18 pada pusingan kedua terakhir perlumbaan 17 pusingan itu.

Masalah dengan visor topi keledar, ditambah dengan hujan, angin dan suhu trek yang menjunam ke kurang 10 darjah celsius menjadikan keadaan sukar buat anak kelahiran Banting berusia 20 tahun yang menamatkan perlumbaan +2'25.969 belakang juara perlumbaan dan rakan seperjuangan Jonas Folger yang merakamkan 43'48.862 buat Red Bull Ajo MotorSport.

“Saya gembira dengan perlumbaan hari ini (kelmarin), pelarasan motosikal adalah yang tebaik. Hanya saya berdepan masalah dengan topi keledar sepanjang perlumbaan.

“Topi keledar dipenuhi kabus. Saya tidak boleh melihat dengan jelas. Cuaca berada di bawah 10 darjah celcius. Saya berharap untuk beraksi lebih baik di Assen (Belanda pada 25 Jun),” kata Zulfahmi yang kini mewakili Airasia-Sic-Ajo Motorsport.

Dari segi aspek positif, Zulfahmi tidak menunjukkan sebarang kesan kecederaan pergelangan tangan yang dialami di Catalunya sebelum hujung minggu ini yang menjejaskan harapannya mengutip mata.
Selepas enam pusingan, Zulfahmi kini di tempat ke-18 dengan 11 mata, jatuh satu anak tangga daripada Catalunya.

Ketua Eksekutif Operasi Litar Antarabangsa Sepang, Datuk Razlan Razali memfokuskan terhadap aspek positif.

“Fahmi tidak dapat memanfaatkan kedudukannya ke-14. Keadaan sukar menimpa dengan hujan, tiupan angin dan suhu trek kurang 10 darjah celsius.

“Ditambah dengan masalah visor kabur, Fahmi hanya mampu meraih tempat ke-18. Sudah tentu kami dan Fahmi kecewa tetapi ini adalah situasi luar biasa melihatkan keadaan cuaca drastik dan masalah yang menimpa visor yang menjejaskan tunggangannya.

“Ia bukan hujung minggu yang sia-sia kerana lebih penting di atas keadaan cuaca kering, Fahmi Berjaya memperbaiki catatan masanya dengan tujuh saat berbanding tahun lalu,” kata Razlan.

No comments: