Monday, March 23, 2015

ISTAF Superseries menjengah ke bumi Korea

Selepas sambutan gemilang terhadap ISTAF SuperSeries MALAYSIA 2014/15, Melaka, Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF), dan Persatuan Sepaktakraw Korea (KSTA) baru-baru ini telah membuat keputusan untuk menganjurkan pertandingan ISTAF Super yang seterusnya di Gunsan City yang terletak di Wilayah Jeollabuk-do, Korea Selatan.

Setiausaha Kehormat ISTAF, Dato’ Abdul Halim Kader, Ketua Pegawai Operasi Asia Sports Ventures (ASV), Venu Ramadass bersama-sama wakil dari ASV telah bertemu delegasi dari KSTA dan Persatuan Sepaktakraw Jeonbuk di Gunsan City, Korea untuk majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU).

Delegasi tersebut turut mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Gunsan City, Moon Dong-Shin dan Gabenor Jeollabuk-do, Song Ha-Jin untuk menanda tangan bersama perjanjian MOU tersebut.



Moon menjanjikan sokongan penuh buat Persatuan Sepaktakraw Jeonbuk dalam menganjurkan kejohanan berprestij ini, manakala Gabenor Song menyatakan harapan agar kekayaan nilai dan budaya Korea di wilayahnya iaitu di mana kejohanan diadakan dapat diketengahkan dan ditunjukkan kepada dunia luar.

Pada majlis menandatangani MOU, Presiden KSTA Ko Seok-Ku, mengumumkan bahawa saingan pusingan ketiga ISTAF SuperSeries 2014/15 akan berlangsung di  Wolmyeong Arena, Gunsan City dari 23 - 26 April 2015.

Ketua Pegawai Operasi ASV, Venu Ramadass, memaklumkan ini adalah kali pertama Korea menjadi tuan rumah pertandingan ISTAF SuperSeries.

“Asia Sports Ventures teruja untuk menjalinkan kerjasama ini dengan KSTA. Dengan susun atur serba baru, kami berharap dapat bekerjasama erat dengan Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) untuk memastikan agar kami dapat untuk mengekalkan standard bertaraf dunia yang telah kami tetapkan selama ini di dalam menganjurkan pertandingan ISTAF SuperSeries,” ujar Ramadass, sejurus selepas pengesahan mengenai ISTAF SuperSeries KOREA 2014/15 Gunsan City, Jeollabuk-do.

Dato’ Abdul Halim Kader menyambut baik langkah membawa ISTAF SuperSeries ke luar Asia Tenggara.

“Selepas menganjurkan ISTAF SuperSeries di New Delhi pada musim terdahulu, ia bukan suatu yang mengejutkan apabila kami membawa ISTAF SuperSeries ke bahagian lain di Asia. Ianya menarik untuk peminat mahupun pemain, dengan kita berharap dapat memperkenalkan 

Sepaktakraw ke wilayah-wilayah baru, dan kami berbangga untuk menyatakan Korea hanyalah negara kedua dari luar Asia Tenggara yang akan menganjurkan ISTAF SuperSeries,” kata Dato’ Abdul Halim, ketika diminta mengulas mengenai ISTAF SuperSeries KOREA 2014/15.

“Korea begitu teruja untuk menganjurkan sebuah pertandingan besar selepas beraksi cemerlang di Sukan Asia Incheon 2014,” tambahnya.  

Presiden KSTA Ko Seok-Ku, berkata : “Kami cukup gembira untuk memeterai perjanjian baru ini dengan ISTAF. Pertandingan ISTAF SuperSeries menyediakan platform yang cukup signifikan untuk perkongsian pengalaman dan kemahiran di antara para pemain, selain mengukuhkan komunikasi di kalangan pelbagai persekutuan sepaktakraw yang terlibat, dalam pada kami menyokong usaha ISTAF untuk membangunkan sukan ini.”

Tambah Ko: “Walaupun Korea tidak terlibat dengan Sukan Asia Tenggara (SEA) 2015, kebanyakan pasukan yang mengambil bahagian akan beraksi di temasya itu, dan kami akan bekerja keras untuk menyediakan kemudahan fasiliti terbaik, serta sebuah pertandingan yang hebat untuk menguji semangat melawan mereka, dalam masa sama menterjemahkan aksi berkualiti tinggi untuk peminat kami di sini di Korea.”  


Pasukan sepaktakraw lelaki Korea memperbaiki kedudukan dengan melonjak dua anak tangga untuk berada di ranking kelima dalam carta mata ISTAF SuperSeries 2014/15 sejak awal tahun ini. Dengan kelebihan selaku tuan rumah dan sokongan padu peminat di gelanggang sendiri, mereka sudah tentunya berada di kedudukan terbaik untuk mencabar kejuaraan di ISTAF SuperSeries KOREA 2014/15 Gunsan City, Jeollabuk-do. 

Friday, March 20, 2015

Liga FAM : Katang sedia meledak!

Setelah meledak jaringan pertamanya musim ini untuk Real Mulia FC, keyakinan Wan Mohd Aliff Wan Jasmi untuk mengembalikan sentuhan jaringan seterusnya bergelar penyerang prolifik saingan Piala FAM semakin memuncak.

Wan Aliff atau lebih popular dengan panggilan Katang, menolak masuk hantaran Haikal Nazri pada perlawanan menentang Hanelang FC yang berkesudahan 1-1 pada 15 Mac lalu selepas berputih mata mensesiakan beberapa perlawanan peluang keemasan pada perlawanan pembuka tirai menentang Sungai Ara FC seminggu sebelumnya.

Katang membuka akaun jaringan musim ini ketika menentang Hanelang


Walaupun ketajaman sentuhan penyudahnya belum di tahap terbaik, Wan Aliff yang membawa bersama pengalaman beraksi bersama dua pasukan dari negeri kelahirannya – Terengganu dan T-Team serta beberapa pasukan lain seperti Sabah, Perlis, Melaka dan PBAPP semakin membara untuk membuktikan betapa dia masih relevan untuk dilabel peneraju jentera serangan.

“Saya tidak mengharungi musim yang baik sejak beberapa tahun lalu, naik turun prestasi adalah lumrah bagi seorang pemain bolasepak. Saya percaya RMFC sudah menyediakan satu laluan yang baik untuk saya dan saya perlu bekerja keras untuk membalas kepercayaan diberi. Ianya adalah dengan menjaringkan gol pada setiap perlawanan dan saya berharap gol pertama tempoh hari akan menjadi permulaan untuk mencapai hasrat itu,” jelas Wan Aliff.

Wan Aliff adalah produk Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu yang meraih hatrik pingat emas pada 2006 (Kedah), 2008 (Terengganu) dan Melaka (2010) selain membarisi skuad Piala Presiden Terengganu yang muncul juara pada 2006.

Katang produk SUKMA Terengganu. 


Bakat besarnya turut mendapat perhatian Datuk K.Rajagobal (pengendali skuad remaja kebangsaan) yang memanggilnya membarisi skuad B-20 kebangsaan pada 2005 – 2007.

Perjalanan Wan Aliff dalam Liga Malaysia bermula bersama PKNS FC pada 2007 sebelum dia kembali menabur bakti bersama skuad Liga Super Terengganu bimbingan Irfan Bakti dan merasai nikmat bergelar juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia 2011.

Nama : Wan Mohd Aliff Wan Jasmi
Asal : Felda Bukit Bading, Ajil, Terengganu
Tarikh lahir : 9 Januari 1988
Posisi : Penyerang
Status : Berkahwin (2 anak)
Perjalanan karier :
Piala Presiden Terengganu (2006)
SUKMA Terengganu (2006, 2008, 2010)
PKNS FC (2007/08)
Terengganu (2009 – 2011)
T-Team (2012)
Sabah (2013)

PBAPP (2014)

Thursday, January 15, 2015

Ash dedah punca tinggalkan TRW

Mendengar nama 'wonderkid' Ash Hameed sebagai pemain baru Real Mulia FC, pastinya menimbulkan tanda tanya di kalangan peminat pasukan Kelantan memandangkan pemain ini baru menandatangani kontrak bersama pasukan dari pantai timur itu dan diperkenalkan secara rasmi kepada peminat pada 1 Disember lalu.

Ada yang membuat andaian dia dipinjamkan tetapi pada hakikatnya Ash dan TRW sudahpun mencapai 'mutual termination' (persetujuan bersama untuk penamatan kontrak) dan pemain ini menyertai RMFC sebagai ejen bebas. 

Mengulas lanjut mengenai punca pemain yang dianggap George Boateng sebagai bintang masa depan ini meninggalkan TRW, ayah Ash, Shahul Hameed berkata, "Telah berlaku sedikit perselisihan antara Ash dan seorang pemain TRW yang mengundang pergaduhan kecil. Pergeseran antara rakan sepasukan di atas padang adalah perkara biasa, namun Ash masih lagi seorang remaja, berusia 17 tahun, pada saya cara dia diperlakukan adalah tidak betul." 



"Perkara ini telah mengundang campur tangan Boateng yang berkata perkara seperti ini tidak akan berulang. Tetapi saya merasakan tiada jaminan kejadian seperti ini tidak akan terjadi lagi apatah lagi pengurusan seolah tidak peka dengan kejadian ini. 

"Kami telah mengadakan perbincangan dengan KAFA untuk meminta dia dilepaskan. Walaupun keberatan pada awalnya, KAFA bersetuju dengan permintaan kami untuk dia dilepaskan atas persetujuan bersama. Perkara ini telah selesai dengan baik dan kami mengucapkan terima kasih kepada Kelantan kerana telah memberi Ash peluang menimba ilmu dan menyarung jersi Kelantan. 

"Ia satu kebanggaan buat kami kerana kami menghormati Kelantan sebagai sebuah pasukan elit, mempunyai pemain berkualiti dan kami mendoakan Kelantan akan terus berjaya. Semoga keputusan ini juga baik untuk perkembangan karier Ash. Mungkin belum masanya untuk dia beraksi dalam Liga Super tetapi dia akan menapak dari bawah dan memberikan yang terbaik untuk Real Mulia InshaAllah."

Saturday, December 20, 2014

Baru latihan ringan, rumput sudah tercabut ..

Tutup hampir setahun, habiskan duit juta-juta untuk pemulihan padang dan fasiliti stadium. Pakai baru satu game, rumput tercabut. Lepas tu tutup balik, bagi alasan takde cahaya la, glowlight, tube light, katanya kontraktor sama akan bertanggungjawab. Nak cover malu punya pasal Datuk Rozabil cakap KALAU Malaysia masuk final, padang Stadium Nasional Bukit Jalil boleh digunakan. Mungkin ketika menggunakan perkataan KALAU tu, beliau rasa Malaysia takkan layak ke final sebab masa tu dah kalah 2-1 dengan Vietnam di Shah Alam.

Nak buat macam mana, Malaysia menang mencipta kejutan, sah-sah beliau pun terkejut. Dan sekarang, atas janji yang dibuat dengan guna perkataan KALAU layak ke final tu, sekarang perlu ditunaikan. Tapi, skrip sama tetap berulang. Cerita sama tetap berlaku, belumpun apa-apa rumput sudahpun tercabut sana-sini.

Ini gambar yang dikongsi oleh kawan saya, Dayne Azmin, wartawan Utusan Malaysia. Katanya, Thailand baru buat light training, rumput sudah tercabut sana sini.

Secara peribadi, saya rasa game sepatutnya diteruskan sahaja di Shah Alam, bukannya bermain di Bukit Jalil semata-mata kerana janji yang dibuat untuk cover malu. Penganjur/AFF/FAM tidak perlu pun untuk bersetuju dengan cadangan bermain di Bukit Jalil, mahunya rumput melayang ke tempat duduk VIP siapa nak jawab?

p/s Dulu Barcelona hampir malukan kita sebab taknak main di Bukit Jalil, Shah Alam hadir sebagai penyelamat. Jangan Thailand kata taknak main sudah malam ni ...


 Foto : Dayne Azmin

Penambahan penggunaan pemain import, baik atau buruk?

Pada ketika kegagalan penyerang tempatan untuk merebut tempat dalam pasukan dek penyenaraian dua penyerang import oleh kebanyakan pasukan Liga-M masih menjadi perbualan hangat, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk membenarkan pasukan yang mempunyai 4 pemain import untuk menurunkan kesemua mereka secara serentak dalam satu perlawanan.

Sebelum ini pasukan Liga M yang mempunyai 4 pemain import, dibenar untuk membariskan 3 pemain secara serentak, dan keputusan terbaru ini dibuat atas alasan permintaan dari majoriti pasukan, selain untuk menjadikan Liga M lebih kompetitif.




Ini bermakna jika sebelum ini kita kehilangan banyak slot untuk penyerang tempatan sekaligus menjadikan mereka 'bench warmer' (pemanas bangku simpanan), selepas ini kita akan kehilangan satu lagi slot - sama ada di barisan pertahanan atau tengah.

Sebelum ini jika jurulatih kebangsaan sering merungut tentang tiadanya penyerang berwibawa sehingga perlu menyenaraikan Norshahrul Idlan, Safee Sali tanpa pilihan lain, selepas ini jangan terkejut andai Dollah Salleh merungut pula bahawa pasukan kebangsaan tiada pertahanan atau tengah yang bagus, sehingga terpaksa memanggil pemain-pemain veteran ke kem kebangsaan.

Mungkin ada yang berpandangan keputusan ini bagus, kerana boleh menambah persaingan dan boleh menjadikan pemain kita lebih bekerja keras untuk mencari tempat dalam kesebelasan - tetapi persoalan yang ingin saya lontarkan :

i) Bagi seorang pemain yang sudah sedia menerima gaji puluhan ribu, atau mencecah ratusan ribu, adakah dia kisah sama ada dapat atau tidak untuk beraksi dalam kesebelasan utama? Diturunkan atau tidak, dia akan kata "pemilihan pemain keputusan mutlak jurulatih, saya akur dengan keputusan jurulatih tetapi jika diturunkan, saya akan berikan aksi terbaik." - setakat ini saya belum pernah dengar pemain Liga M memberontak kerana tidak dapat beraksi dalam kesebelasan utama.

ii) Adakah betul dia akan melipatgandakan usaha untuk merebut tempat sedangkan dia berlatih macam mana sekalipun, gaji tetap dia dapat? Diturunkan atau tidak, coach impressed atau tidak dengan dia, itu cerita lain, kerana yang penting dia telah turun berlatih, tidak ponteng, telah menunjukkan disiplin sepertimana dituntut dan melakukan apa yang patut, hujung bulan dapat gaji. Sekali lagi, kita akan mendengar komen "saya telah memberi komitmen terbaik dalam latihan, saya harap akan diturunkan tetapi saya tidak kisah jika tidak diturunkan sekalipun, coach mungkin ada strategi lain dan saya ikut arahan jurulatih."  

iii) Adakah kalau betul dia bekerja keras, dia dijamin boleh mendapat tempat dalam pasukan? Ada jurulatih, pemain tempatan bagus macam mana sekalipun, import yang kurang bagus itu jugalah tetap menjadi pilihan mereka. Mungkin kerana gaji yang dibayar kepada import tu lagi mahal maka mereka tidak mahu pemain import bergoyang kaki, tetapi dalam masa sama mereka menjadikan pemain kita yang bergaji mahal duduk bergoyang kaki.

iv) Soalan cepu emas, katalah kalau semua pemain yang bekerja keras ini tidak mendapat tempat dalam pasukan, adakah Dollah Salleh masih akan memanggil mereka ke kem kebangsaan dengan alasan mereka telah bekerja keras selama ini biarpun tidak mendapat peluang untuk beraksi, jadi disebabkan kerja keras itu mereka perlu berada dalam pasukan kebangsaan, seperti mana Norshahrul Idlan, Safee Sali dalam skuad sekarang?    

Apakah akan 'lahir' seorang lagi Safee Sali & Matyo - pemain bergaji tinggi yang memanaskan bangku simpanan, tetapi tetap berjaya 'memikat' hati pengendali kebangsaan?

Dari sudut positif, kita perlu setuju betapa ia adalah usaha FAM untuk menambah tahap kompetitif saingan Liga M yang sekian lama berada dalam Gred D - jika usaha begini tidak diambil, sampai bila pun  liga kita tidak akan berubah dan pemain-pemain kita yang bergaji puluhan ribu pula akan terus mempamer prestasi tidak menepati gaji tinggi yang dibayar. FAM sudah tentunya sudah menilai semua aspek sebelum membuat keputusan ini, jadi kita harapkan ia akan memberi impak positif kepada liga kita, dan pemain kita.