Berpeluang untuk turut sama mengulas mengenai aksi semifinal Piala FA dalam rancangan Sepak Mula terbitan RTM, saya agak tertarik untuk membincangkan mengenai aksi antara Kelantan dan Terengganu tetapi tidak berkesempatan untuk mengulas lebih panjang kerana tumpuan lebih terarah kepada pertembungan antara Pahang dan JDT pada malam hari.
Kesimpulan mudah yang boleh dibuat, Kelantan sangat bernasib baik untuk mara manakala Terengganu pula harus menyalahkan diri sendiri di atas kegagalan mempertahankan kelebihan serta kegagalan pemain mengawal emosi di saat yang begitu getir justeru menjadi punca tersingkirnya mereka dari saingan.
Tidak salah andai saya katakan kekalahan Terengganu semalam adalah berpunca daripada 'one minute crazy action' daripada pemain import, Effa Owona yang sebelum itu mungkin layak diangkat sebagai hero selepas meledak gol ketiga - tindakannya memprotes dan memaki hamun pengadil walhal dia tahu dia sudahpun memiliki layangan kad kuning nyata tindakan bodoh, dan padahnya dia dilayangkan kad merah.
foto : dunia sukan |
Susulan daripada sepakan percuma itulah, hantaran Badri Razi ke dalam kotak penalti singgah di kepala Fakri dan disudahkan oleh Obinna Nwaneri - gol yang mengheret perlawanan ke masa tambahan sedangkan kem Terengganu sudah bersiap sedia meraikan kemenangan.
Situasinya mungkin berbeza andai Owona merelakan sahaja sepakan percuma diambil ketika pengadil meniup wisel kerana saya tindakan itulah yang mengubah arah hantaran bola daripada Piya.
Penilaian jujur yang turut dikongsi oleh rakan saya, Wan Nazrul, pengulas RTM, ianya silap jika dikatakan Terengganu beraksi lebih baik tetapi sebenarnya Kelantan yang tidak beraksi dengan baik.
Untuk 90 minit permainan, Kelantan tidak menunjukkan aggresif-ness, permainan mereka tidak seperti sedang beraksi di separuh akhir, seolah-olah bermain di perlawanan pemanas badan, rentak sumbang dan tempo permainan yang sangat perlahan, hantaran yang tidak tepat.
Jangan kata ia adalah disebabkan kesukaran beraksi di bawah terik mentari, kerana pandangan daripada ramai bekas pemain yang pernah mewakili skuad kebangsaan, Selangor, Johor, Kelantan dan Pahang yang kesemuanya berpengalaman bermain di waktu petang/malam - mereka mengakui ia sedikit berbeza tetapi tidak boleh dijadikan alasan kerana berlatih setiap hari di bawah terik mentari.
Sebelum perlawanan, Bojan lebih gemar untuk mendabik dada mengatakan 'percaturan bodoh'nya di Larkin membuahkan hasil, dia sangat berbangga kerana dapat menutup seketika kritikan dan meskipun mengeluarkan kenyataan 'kami tidak memandang rendah Terengganu', dia seperti tidak yakin Terengganu boleh bangkit sehingga boleh menjaringkan tiga gol.
Daripada habiskan masa bercakap mengenai percaturan bodoh, lebih baik dia fikirkan percaturan bijak untuk mengekang kebangkitan Terengganu tetapi itulah masalah pengendali dari Croatia ini.
Kepincangan taktikalnya terbukti apabila dia menyenaraikan Faiz Subri, Zairo Anuar Zailani, Badri Razi, Norfarhan Mohamad dan Indra Putra kesemuanya di dalam kesebelasan utama sekaligus memadatkan barisan tengah sedangkan salah seorang daripada mereka tidak kisahlah siapapun boleh diletakkan di bench untuk memberi ruang kepada Dickson Nwakaeme beraksi.
Sama ada formasinya adalah 4-5-1 atau 4-6-0, tetapi ia tidak dilihat sebagai percaturan yang bijak kerana pada ketika mereka sedar Terengganu akan melakukan sedaya mungkin untuk bangkit, adalah perlu seorang penyerang tulen yang tajam di depan gol untuk memadam kelebihan gol di tempat lawan yang dimiliki Terengganu.
Tindakan merehatkan Fakri Saarani dilihat sangat tepat, tetapi Dickson sepatutnya dibariskan di kesebelasan utama kerana dia adalah pemain yang boleh mengancam pertahanan Terengganu - saya setuju dengan kata-kata Rasdi Jumaat dan Azman Adnan bahawa Kelantan terlalu mengharapkan Dickson untuk melakukan magik dan hanya memasukkannya apabila terdesak.
Terengganu pula seperti di Kota Bharu, menjaringkan gol awal yang membangkitkan semangat justeru apabila kedudukan sudah menjadi 2-0, Kelantan sudah menekan butang panik tetapi malangnya tiada URGENCY yang ditunjukkan untuk bangkit.
Kemenangan di Kota Bharu penyelamat Kelantan. Foto : Dunia Sukan |
90 minit permainan Kelantan tidak mencipta peluang berbahaya kecuali beberapa gerakan Dickson selepas dimasukkan, dan gol yang hadir selepas minit kelima masa kecederaan menyelamatkan Bojan yang sudahpun diberi teguran agar menepati KPI yang ditetapkan.
Beraksi menentang 9 pemain Terengganu di masa tambahan, barulah Kelantan dilihat bernafsu melancarkan serangan - mungkin sebab memiliki kelebihan 2 pemain dan pemain Terengganu sudah keletihan - begitupun, tetap Terengganu yang dilihat lebih bersungguh manakala Kelantan sekali lagi mengharapkan gol minit akhir Dickson untuk mara ke final buat kali ketiga berturut-turut.
Tatkala Shamirza boleh dipuji prestasinya, agak mengecewakan untuk melihat prestasi Khairul Fahmi Che Mat sejak akhir-akhir ini, tidak mustahil Norazlan Razali akan mengambil alih posisi penjaga gol nombor satu negara tetapi tidak wajar Apek dipersalahkan 100% apabila Bojan tidak mahu merehatkan pemain ini - dia adalah satu-satunya pemain yang beraksi setiap perlawanan tanpa rehat, mental terjejas memberi kesan kepada prestasi.
Apabila merehatkan pemain, Bojan perlu melihat secara menyeluruh bukannya dua tiga pemain semata-mata, penjaga gol juga manusia bukannya robot - apakah Kelantan tidak mempunyai penjaga gol simpanan atau Bojan tidak yakin dengan pemain yang dia miliki? Zaman Peter Butler, Dato' M.Karathu, B.Sathianathan semuanya pernah memberi ruang kepada penjaga gol muda.
Apapun, kini saingan akan berehat panjang, harapnya tempoh rehat dapat dimanfaatkan sebaiknya semua pasukan yang bersaing.
Best performer Terengganu : Shamirza, Ashaari & Hasmizan
Best performer Kelantan : Daudsu, Indra Putra & Dickson
Apa yang diutarakan adalah ulasan peribadi saya, mungkin ada yang bersetuju, mungkin ada yang tidak. Sebarang pandangan dialukan.
1 comment:
Setuju dgn penulis....silap jika mengatakan player T'ganu main dengan lebih baik, sebenarnya player Kelantan yang tidak bermain dengan baik!!!! Sekiranya player T'ganu main dengan lebih baik mereka x dikenakn kad merah!!! Dan sekiranya player Kelantan main dengan baik mereka x akan membenarkan T'ganu mendahului 4-0 sehingga hampir tamat ms kecederaan. Sakit hati tengok bila Fakri dapat bola, bola x kn ke mana....klau org lain yg dpt sudah pasti dapat mnghasilkan gol!!!. Itulah bolasepak.... walau sudah leading dan hampir meraikan kemenangan, jika nasib tidak brpihak kepada kta, x boleh nk buat apa. Alhamdulillah nasib menyelahi Kelantan...apapn Thniah kpd Klantan dan syabas kepada T'ganu!!!
Post a Comment