Ketua Jurulatih Angkatan Tentera
Malaysia, B.Sathianathan percaya tiada tekanan yang menghimpit barisan
pemainnya menjelang baki 5 perlawanan yang boleh diibaratkan seperti final
selepas membimbing skuadnya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Felda United
pada aksi yang berlangsung di bawah terik mentari di Stadium Majlis Perbandaran
Petaling Jaya.
Aksi
menentang Felda merupakan perlawanan sebelah petang terakhir buat ATM dan lima
perlawanan selepas ini kesemuanya akan berlangsung pada waktu malam justeru
Sathianathan berharap ia akan memberi kelebihan buat pasukannya untuk
mengekalkan rentak konsisten.
Gol tandukan kapten pasukan,
Hairuddin Omar berpunca daripada sepakan percuma Rezal Zambry Yahya pada minit
kesembilan sudah memadai untuk menghadiahkan ATM tiga mata berharga seterusnya
kekal dalam pemburuan kejuaraan liga musim ini, masih ketinggalan satu mata di
belakang Lions XII yang mengukuhkan cengkaman hasil kemenangan 3-0 ke atas
T-Team.
foto :bharian |
Sathianathan berpendapat
pemainnya telah menampilkan aksi cukup komited meskipun tidak berada pada tahap
prestasi terbaik dan tidak mahu meletakkan sasaran tinggi pada ketika
pencapaian berada di kedudukan kedua sudah cukup untuk dibanggakan.
“Tiada sebarang tekanan untuk
kami mengejar kedudukan pertama, saya tidak pernah kata kami idam untuk muncul
juara tetapi jika ia hadir, kami tidak akan melepaskan peluang itu. Memang kita
sedang berusaha ke arah itu tetapi jika berkesudahan di tangga ketiga
sekalipun, saya tidak akan kecewa,” kata Sathianathan.
Tambahnya lagi : “Sejak awal
dahulu saya sudah tegaskan kedudukan tiga teratas adalah pencapaian yang sudah
cukup baik, kami hanya perlu kekal di kedudukan ini kerana secara kasarnya
pasukan ini adalah dibentuk daripada skuad juara Liga Perdana musim lalu jadi
ia mengujakan melihat skuad ini mengorak langkah ke depan.”
Begitupun, kemenangan kesepuluh
ATM musim ini tidak hadir dengan mudah apabila Felda yang turun membawa misi
keluar dari zon penyingkiran dilihat liat untuk dijinakkan malah beberapa kali
mengancam gawang kawalan Farizal Harun – termasuklah menerusi percubaan minit
akhir Leonel Preux yang terkena tiang.
Mengulas mengenai kemenangan
penting ini, Sathianathan berkata : “Ia kemenangan yang sukar, kami menjaringkan
gol awal tetapi sukar untuk kami beraksi di bawah cuaca panas terik seperti
ini. Kami bernasib baik pada sebahagian besar perlawanan kerana Felda gagal
menyempurnakan peluang mereka.
“Tetapi apa yang lebih penting
pemain saya berjaya menyesuaikan diri dan menunjukkan persefahaman mantap
walaupun tanpa beberapa pemain utama. Kita beraksi tanpa Marlon (cedera lutut)
dan Hairuddin menggalas tanggungjawab sebagai penyerang di samping peluang yang
saya berikan kepada Nizarudin Yusoff.
“Ia sudah tentu lebih bagus jika
Marlon beraksi, kami mungkin tampil lebih kuat. Dia bukan sekadar pemain yang
baik atau sederhana, tetapi seorang pemain yang hebat, dia adalah role model
pasukan ini. Apabila dia beraksi, rakan sepasukan lebih yakin. Dia akan kembali
pada perlawanan akan datang, diharap kami akan bertambah baik.
“Dari aspek disiplin, saya
gembira untuk melihat pemain telah mengkoordinasi dan menyusun pertahanan
dengan baik, meminimakan kesilapan. Shukor (Adan) dan Irwan (Fadzli) telah
menjalankan tanggungjawab dengan cukup bagus.”
No comments:
Post a Comment