Saturday, May 4, 2013

Venice : Gol tandukan pertama sepanjang karier


Artikel disumbangkan Harris Rajahdin yang juga pemegang saham Suara Sukan, beliau merupakan bekas wartawan Berita Harian yang kini Pegawai PR di Universiti Malaya selain berkhidmat bersama Jabatan Media ATM yang dikendalikan Shekhinah PR.

SARJAN Venice Elphi Danny Kaya memilih detik tepat untuk menamatkan kemarau jaringannya musim ini apabila menanduk masuk gol dalam kemenangan 1-0 ke atas T-Team pada perlawanan yang dilangsungkan petang semalam di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Lebih menarik, jaringan itu adalah yang pertama dihasilkan menerusi tandukan oleh pemain yang lebih dikenali dengan kepantasan di bahagiansayap.

Pemain berusia 28 tahun kelahiran Kuching itu meledakkan tiga gol pada pentas Liga Perdana musim lalu tetapi berdepan kesukaran untuk menemui sentuhannnya di depan gawang sehingga semalam.

Ketika ATM berdepan kebuntuan untuk menembusi kekebalan kubu T-Team, kemasukan Venice menggantikan S.Thinagaran mencetuskan impak serta merta apabila menyambung sepakan penjuru Christie Jayaseelan pada minit ke-66.


foto : MediaATM
“Ia adalah gol tandukan saya yang pertama buat diri saya sepanjang beraksi bersama ATM. Saya pun tidak mengetahui mengapa ia mengambil masa begitu lama buat saya untuk menamatkan kemarau jaringan musim ini,” katanya.

“Diharapkan saya dapat terus menjaringkan gol pada perlawanan akan datang,” kata pemain kacukan Iban-Bidayuh itu.

Kemenangan tipis itu melonjakkan The Gladiators ke tempat kedua, dipisahkan hanya satu mata dengan pendahulu saingan, Lions XII yang beraksi kurang satu perlawanan.

Bagi pengendali B.Sathiananthan, jumlah jaringan tidak begitu penting buat pasukannya yang terpaksa menangani kesukaran beraksi di bawah cuaca panas terik.

“Jumlah jaringan tidak penting, apa yang penting adalah tiga mata memandangkan kami sudah lama tidak beraksi dalam keadaan cuaca panas terik seperti ini,” katanya.

No comments: