Saya juga menulis tentang SUKMA.
Ketua kontijen
Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, Afandi Keli percaya pencapaian yang lebih baik
dari Kuala Lumpur 2011 dapat dicatat pada temasya kali ini oleh barisan atlet
negeri berkenaan.
Jika dua tahun
lalu Sarawak hanya membawa pulang 2 pingat emas, 4 pingat perak dan 8 pingat
gangsa untuk berkesudahan di kedudukan ke-12 pada SUKMA yang julung kalinya
dianjurkan secara tahunan itu, Afandi yakin kontijen kali ini yang
mempertaruhkan 258 atlet mampu membawa pulang sekurang-kurangnya 10 pingat
emas.
Bukan
bercita-cita tinggi, tetapi Afandi berkata ia adalah sasaran realistik bagi
negeri Bumi Kenyalang yang suatu ketika dulu merupakan kuasa besar sukan tanah
air, malah masih lagi tergolong di kalangan kontijen terbaik setiap kali SUKMA
dilangsungkan.
“Sarawak sinonim
sebagai kuasa besar sukan negara, pernah lahirkan ramai atlet. Daniel Bego,
Pandalela, Watson Nyambek mencipta nama mereka bermula di SUKMA. Kita
berkemampuan bukan sahaja dalam sukan-sukan yang utama, tetapi inilah peluang
untuk buktikan kita juga boleh menyerlah
dalam sukan kurang mendapat tumpuan.
“Muay thai
umpamanya dipertandingkan pertama kali, jadi semua pasukan memiliki peluang
sama rata, tiada yang boleh dikatakan pilihan. Kita ada potensi menerusi sukan
seperti gimnastik, bina badan, bola tampar, silambam dan ping pong. Maka tidak
lah keterlaluan jika kami sasarkan 10 pingat emas untuk dibawa pulang,” kata
Afandi.
Kontijen Sarawak
akan mengambil bahagian dalam 15 daripada 20 jenis sukan yang akan dipertandingkan
di SUKMA KL 2013 yang akan bermula pada 28 Jun depan iaitu bina badan, bola
tampar, ragbi, kabbadi, sofbol, silambam, gimnastik artistik, futsal, handball, bola keranjang, muay thai,
lawan pedang, ping pong, kriket dan judo.
Untuk rekod,
Sarawak pernah muncul juara SUKMA selama tiga edisi berturut-turut pada 1990,
1992 dan 1994 sebelum Selangor dan kemudiannya Terengganu mengambil alih
dominasi sebagai kuasa besar arena sukan tempatan – Selangor muncul juara enam
kali berturut-turut dari 1996 – 2006, manakala Terengganu sebanyak 4 kali
berturut-turut bermula 2008 hinggalah yang terbaru, tahun lalu.
No comments:
Post a Comment