Tuesday, May 28, 2013

Farah Ann optimis pertahan emas

Borak-borak dengan adik manis nie tempoh hari, here is share perkembangan terkininya.. 

Sebut sahaja nama Farah Ann Abdul Hadi, siapa yang tidak kenal ratu gimnastik negara ini yang bukan sahaja dikenali dek kelincahan aksi di atas gelanggang tetapi juga raut wajah manis yang sentiasa menjadi tumpuan pengemar sukan tanah air.

Bereputasi tinggi sebagai gimnas senior kebangsaan yang pernah meraih pingat perak di Sukan Sea Indonesia pada 2011, Farah tidak memandang enteng temasya Sukan Malaysia yang dijadual berlangsung pada hujung bulan Jun dan berazam mempertahankan pingat emas yang dimenangi tahun lalu di Pahang.

Gimnas berusia 19 tahun berasal dari Subang Jaya ini ketika ini dalam persiapan bersama skuad kebangsaan untuk menyertai pertandingan di Singapura yang bermula pada 6 Jun dan sekembalinya ke tanah air, Farah akan mengalihkan fokusnya untuk melakukan yang terbaik di SUKMA.



“Balik dari Singapura nanti, tiada istilah berehat kerana saya perlu bekerja keras untuk mengekalkan tahap kecergasan dan mempersiapkan diri sebaik mungkin bagi SUKMA. Latihan akan diteruskan macam biasa di kem kebangsaan, kami semua hanya akan menyertai kontijen negeri ketika pertandingan berlangsung,” katanya yang akan mewakili Selangor.

Temasya di Kuala Lumpur 2013 ini akan menjadi temasya SUKMA kelima disertai Farah selepas penyertaan sulung pada 2004 diikuti 2008, 2010 serta 2012 : “Bagi saya, SUKMA adalah satu-satunya platform untuk para gimnas menyerlahkan potensi mereka dan diberi pendedahan.

“Tidak banyak kejohanan peringkat kebangsaan untuk sukan seperti gimnastik, jadi sudah tentu peluang yang ada ini perlu dimanfaatkan. SUKMA juga dalam masa sama boleh meningkatkan profil sukan ini, peminat sukan tahu, nampak bahawasanya sukan gimnastik ini wujud dan tidak terpinggir,” ujar Farah yang merupakan produk Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Tahun lalu, Farah yang pakar dalam acara senam lantai meraih dua pingat emas menerusi acara berpasukan dan individu senam lantai, serta pingat gangsa individu keseluruhan apabila dikecewakan dua rakan dari kem kebangsaan, Tan Ing Yueh (emas) dan Tracie Ang (perak).


Satu-satunya pertandingan disertai Farah tahun ini adalah Kejohanan Dunia di Qatar pada bulan Mac lalu dan dia percaya masih banyak yang boleh dipertingkatkannya selepas ini : “Walaupun gagal ke peringkat akhir, tetapi mengambil kira ia kejohanan bertaraf dunia dan kejohanan pertama untuk tahun ini, saya tetap berpuas hati.

“Cuma, saya merasakan saya boleh buat lebih baik dan boleh meningkatkan lagi prestasi. Memang itu azam saya, sentiasa melihat ruang untuk meningkatkan prestasi serta kemahiran. Dengan bantuan jurulatih dan latihan yang berterusan, saya percaya saya boleh bertambah baik,” katanya menutup perbualan.

No comments: