Artikel yang saya nukil untuk Media ATM sebagai membantu rakan saya, Harris Rajahdin yang sedikit sibuk minggu ini.
Kapten The
Gladiators, Hairuddin Omar berkata adalah silap jika menganggap pertemuan
menentang pasukan di kedudukan tiga tercorot, Felda United petang esok sebagai
perlawanan yang mudah justeru menggesa rakan sepasukannya agar tidak hilang
tumpuan dalam memastikan tiga mata menjadi milik mutlak ATM.
“Di atas kertas
mungkin nampak mudah, tetapi saya tetap berpendapat ia perlawanan yang sukar.
Prestasi semasa Felda tidak boleh dijadikan ukuran kerana mereka tentunya
memberi tentangan sengit untuk keluar dari zon penyingkiran. Ia silap besar
yang mungkin akan makan diri jika kita memandang enteng keupayaan mereka.
“Lagipun kita
perlu berhati-hati kerana perlawanan esok berlangsung pada waktu petang, itu satu
lagi kekangan bagi kita kerana keputusan kita tak berapa bagus apabila beraksi
pada waktu petang. Kita juga akan turun tanpa Afizze Faizal, K.Reuben dan
Christie Jayaseelan yang digantung perlawanan, jadi saya percaya kami akan
dikerah bekerja keras,” ujar pemain kelahiran Setiu itu.
ATM ketika ini
berada di tahap prestasi terbaik mereka selepas mencatat empat kemenangan dalam
lima perlawanan terakhir, terbaru kemenangan 2-0 ke atas pasukan berbelanja
besar, Johor Darul Takzim pada Selasa lalu namun berdepan kebimbangan tidak
dapat menurunkan ayam tambatan yang juga penjaring terbanyak, Marlon Alex James
akibat kecederaan.
“Saya tidak
pasti tentang situasi Marlon, sehingga semalam selepas latihan dia mengalami
kecederaan lutut dan mungkin tidak diturunkan. Saya juga tidak berada pada
tahap kecergasan 100% tetapi ATM mempunyai barisan pemain simpanan yang tahap
mereka sama dengan pemain di kesebelasan utama. Itu kelebihan kita,” tambah
Hairuddin lagi.
Dengan 30 mata
daripada 16 perlawanan, ATM ketika ini di tangga kedua, ketinggalan satu mata
di belakang Lions XII yang beraksi kurang satu perlawanan dan lima mata
meninggalkan dua pasukan yang mengekori di belakang, Selangor dan JDT,
masing-masing 25 mata.
Ini meletakkan
anak buah B.Sathianathan sebagai pencabar utama kejuaraan Liga Super pada musim
pertama mereka di pentas elit bolasepak negara ini setelah juara sejak dua
edisi lalu, Kelantan mengalami kemerosotan prestasi dan terperosok di tangga
ketujuh ketika saingan hanya berbaki 6 perlawanan untuk ditamatkan.
Tambah Hairuddin
: “Kita sudah berada di laluan yang terbaik, kita ada kemampuan untuk mencabar
kejuaraan. Apa yang penting saya dan rakan sepasukan perlu memberi yang terbaik
untuk memastikan kita mencatat keputusan baik pada baki 6 perlawanan akan
datang. Tidak mustahil kita boleh mencipta kejutan dengan muncul juara
sekiranya prestasi ini dikekalkan hingga akhir musim.”
No comments:
Post a Comment