Dengan kerjasama Sports247, dipersembahkan berita mengenai Sukan Malaysia.
Bahang semakin
terasa tatkala tinggal hanya 50 hari sahaja lagi sebelum peminat sukan tanah
air disajikan dengan kehangatan temasya Sukan Malaysia ke-16 yang akan
berlangsung bermula 28 Jun hingga 7 Julai depan.
Temasya yang
seringkali menjadi medium terbaik mencungkil bakat-bakat muda berpotensi besar
ini tidak pernah sepi dari sambutan meriah dan begitu jugalah ceritanya tahun
ini apabila dilaporkan hampir 500 atlet dari seluruh negara bakal turun
berentap memburu pengiktirafan.
Ketua Pengarah
Majlis Sukan Negara (MSN), Dato’ Seri Zolkples Embong berkata segala persiapan
pra-kejohanan berjalan lancar dan yakin pihak sekretariat akan menyediakan
khidmat terbaik agar maklumat-maklumat terkini dapat disampaikan dengan tepat
dan pantas kepada orang ramai.
“Kita telah
membuat persiapan sejak tahun lepas lagi, selepas berakhir SUKMA di Pahang dan
saya bersyukur kerana pilihanraya yang telah berlangsung juga tidak menjejaskan
sedikitpun kelancaran persiapan. Ini bukti betapa sukan tidak dipengaruhi oleh
mana-mana faktor luar.
“Hari ini, kita
melancarkan laman web rasmi temasya, menunjukkan betapa kita serius untuk mengangkat
martabat sukan negara tanpa mengira tahap kompetitifnya,” kata Zolkples pada
Majlis Pelancaran Laman Web & Detik 50 Hari Sukan Malaysia ke-16 Kuala
Lumpur.
Tambah beliau
lagi : “Kualitinya mungkin rendah, tidak seperti web yang dibangunkan dengan
kos berjuta-juta, tetapi apa yang penting adalah menyampaikan maklumat yang
dikemaskini. Apa yang kita tekankan adalah menyediakan sebuah kejohanan yang
tinggi mutunya, kita mahu lahirkan lebih ramai atlet berkelas tinggi dan mahu
lihat lebih ramai atlet pecahkan rekod kebangsaan.”
Temasya SUKMA
yang lazimnya diadakan setiap dua tahun mula dijadikan sebagai kejohanan
tahunan sejak 2011 dengan Terengganu muncul juara edisi lalu menerusi pungutan
62 emas, 24 perak dan 31 gangsa sekaligus mempertahankan kejuaraan buat kali
keempat berturut-turut sejak pertama kali muncul juara pada 2008.
Untuk edisi kali
ini, sebanyak 20 acara sukan akan dipertandingkan antaranya bolasepak, ping
pong, ragbi, gimnastik, akuatik dan bina badan manakala sukan seperti
muay-thai, woodball dan bolasepak pantai pertama kali dipertandingkan.
Upacara
perasmian dan penutupan kejohanan dijadual berlangsung di Stadium Mini MSN,
Bukit Jalil sementara venue pertandingan pula akan membabitkan beberapa lokasi
sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
No comments:
Post a Comment