Dengan kerjasama Sports247, dipersembahkan berita mengenai Sukan Malaysia.
Ketua Pengarah
Majlis Sukan Negara, Dato’ Seri Zolkples Embong percaya penganjuran temasya
Sukan Malaysia (SUKMA) tahun ini, yang mana akan berlangsung dari 28 Jun – 7
Julai depan adalah lebih berkredibiliti dan memberi jaminan bahawa beberapa
ralat yang berlaku dalam penganjuran SUKMA yang lepas dapat diatasi.
Bercakap kepada
pemberita selepas Majlis Pelancaran Laman Web dan Detik 50 Hari SUKMA ke-16 di
Bukit Jalil, Zolkples berkata : “Buat pertama kalinya kita akan mengadakan Delegation Registration Meeting (DRM) sebelum
temasya bermula.
“DRM lazimnya
untuk temasya peringkat dunia seperti Komanwel dan Olimpik tetapi untuk
permudahkan perjalanan kejohanan, kita bersetuju mengadakannya di peringkat
SUKMA. MSN peka dengan beberapa masalah yang sering kali timbul seperti masalah
pertukaran atau pertindihan masa membabitkan atlet kontijen yang bertanding.
“Kita mahu
jimatkan tenaga, jimatkan masa. Jadi, dengan adanya DRM, masalah-masalah ini
kita yakin akan diatasi dan penganjuran juga lebih efektif,” jelas Zolkples
mengenai DRM yang dijadual diadakan pada 3 hingga 6 Jun depan membabitkan semua
kontijen yang bertanding.
Hampir 5,000
pegawai pasukan dan atlet dijangka membanjiri perkampungan sukan di Universiti
Putra Malaysia bagi menjayakan kejohanan yang pernah melahirkan ramai jagoan
sukan dunia dari Malaysia seperti Dato’ Lee Chong Wei, Dato’ Nicol David, Khoo
Cai Lin, Azizul Hasni Awang dan Azlan Iskandar.
Terengganu yang
bakal turun untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan buat kali kelima berturut-turut
menyertai 17 daripada 20 acara sukan yang dipertandingkan manakala hanya dua
kontijen – Selangor dan Wilayah Persekutuan – yang menghantar penyertaan bagi
kesemua 20 sukan tersebut.
Tanpa ‘ibu’ segala sukan, bolasepak, yang tidak
dipertandingkan, sukan Ragbi menjadi satu-satunya sukan disertai oleh kesemua
14 kontijen yang mengambil bahagian di temasya yang dianjurkan dengan kos tidak
melebihi RM9 juta ini.
No comments:
Post a Comment