Thursday, May 2, 2013

8 perlawanan ibarat final, penentu buat ATM


Harajah the Woosioo..menyumbang artikel ini.

BERBAKI lapan perlawanan sebelum tirai Liga Super berlabuh, saingan kian terbuka buat sekurang-kurangnya  lima pasukan dalam buruan kejuaraan liga domestik terulung tanah air.

Dipisahkan dengan pendahulu, Lions XII dengan empat mata, Angkatan Tentera Malaysia kini dilihat memiliki peluang realistik untuk menjulang gelaran liga utama buat pertama kali dalam sejarahnya, menyusul selepas kejayaan merangkul Liga Perdana musim lalu.

Foto : Media ATM
Namun, mereka seharusnya tidak mensia-siakan baki perlawanan yang bakal mendatang, seandainya tidak mahu membuka ruang buat Johor, Selangor dan Pahang untuk memintas pada saat terakhir.

Daripada empat lawan tersebut, hanya Lions XII yang sudah ditempuhi dalam kekalahan 1-3 di Stadium Jalan Besar dengan perhitungan tiga pasukan ini menjadi penentu terhadap misi untuk melengkapkan koleksi gelaran liga.

Justeru, tiada sebarang mata seharusnya dilepaskan mulai saat ini dengan pertembungan menentang T-Team, esok di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu (4.45 petang) dalam meneruskan kemaraan ke puncak Liga Super.

Beraksi tanpa beberapa pemain tonggak disebabkan penggantungan, ia sekadar menyemarakkan the Gladiators yang tewas kepada Lions XII di atas padang sintetik Stadium Jalan Besar manakala merekodkan kemenangan 3-1 ke atas juara treble, Kelantan di tempat lawan disusuli kejayaan 3-0 ke atas PKNS minggu lalu.
Menewaskan Kelantan. Foto : MediaATM
Dengan jentera serangan yang diterajui Marlon Alex James mengganas dengan 14 gol setakat ini, ditambah dengan berita baik ketua pasukan, Hairuddin Omar yang sudah kembali menemui sentuhan berbisanya dengan meledakkan dua gol sejak menamatkan kemaraunya di Kota Bharu selepas 12 perlawanan.

“Tempoh lapan perlawanan ini adalah penting kerana ia akan menentukan kejuaraan liga. T-Team bermain dengan baik sejak kebelakangan ini dan kami perlu berhati-hati dengan mereka,” kata pengendali, B.Sathiananthan.

“Pemain kami kesemuanya sudah bebas penggantungan dengan Fitri Omar sudah boleh kembali beraksi selepas menjalani penggantungan empat perlawanan.

Fitri kembali. Foto : MediaATM
“Namun, saya tidak pasti akan menurunkannya dengan kami turut memiliki Safwan Hashim yang mengisi tempatnya di pertahanan kiri yang dinaikkan keskuad utama pada tempoh perpindahan. Tiada siapa yang kini pasti akan tempatnya dalam kesebelasan utama dengan kami memiliki pengganti dalam setiap posisi,” tambahnya.

No comments: