Friday, March 20, 2015

Liga FAM : Katang sedia meledak!

Setelah meledak jaringan pertamanya musim ini untuk Real Mulia FC, keyakinan Wan Mohd Aliff Wan Jasmi untuk mengembalikan sentuhan jaringan seterusnya bergelar penyerang prolifik saingan Piala FAM semakin memuncak.

Wan Aliff atau lebih popular dengan panggilan Katang, menolak masuk hantaran Haikal Nazri pada perlawanan menentang Hanelang FC yang berkesudahan 1-1 pada 15 Mac lalu selepas berputih mata mensesiakan beberapa perlawanan peluang keemasan pada perlawanan pembuka tirai menentang Sungai Ara FC seminggu sebelumnya.

Katang membuka akaun jaringan musim ini ketika menentang Hanelang


Walaupun ketajaman sentuhan penyudahnya belum di tahap terbaik, Wan Aliff yang membawa bersama pengalaman beraksi bersama dua pasukan dari negeri kelahirannya – Terengganu dan T-Team serta beberapa pasukan lain seperti Sabah, Perlis, Melaka dan PBAPP semakin membara untuk membuktikan betapa dia masih relevan untuk dilabel peneraju jentera serangan.

“Saya tidak mengharungi musim yang baik sejak beberapa tahun lalu, naik turun prestasi adalah lumrah bagi seorang pemain bolasepak. Saya percaya RMFC sudah menyediakan satu laluan yang baik untuk saya dan saya perlu bekerja keras untuk membalas kepercayaan diberi. Ianya adalah dengan menjaringkan gol pada setiap perlawanan dan saya berharap gol pertama tempoh hari akan menjadi permulaan untuk mencapai hasrat itu,” jelas Wan Aliff.

Wan Aliff adalah produk Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu yang meraih hatrik pingat emas pada 2006 (Kedah), 2008 (Terengganu) dan Melaka (2010) selain membarisi skuad Piala Presiden Terengganu yang muncul juara pada 2006.

Katang produk SUKMA Terengganu. 


Bakat besarnya turut mendapat perhatian Datuk K.Rajagobal (pengendali skuad remaja kebangsaan) yang memanggilnya membarisi skuad B-20 kebangsaan pada 2005 – 2007.

Perjalanan Wan Aliff dalam Liga Malaysia bermula bersama PKNS FC pada 2007 sebelum dia kembali menabur bakti bersama skuad Liga Super Terengganu bimbingan Irfan Bakti dan merasai nikmat bergelar juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia 2011.

Nama : Wan Mohd Aliff Wan Jasmi
Asal : Felda Bukit Bading, Ajil, Terengganu
Tarikh lahir : 9 Januari 1988
Posisi : Penyerang
Status : Berkahwin (2 anak)
Perjalanan karier :
Piala Presiden Terengganu (2006)
SUKMA Terengganu (2006, 2008, 2010)
PKNS FC (2007/08)
Terengganu (2009 – 2011)
T-Team (2012)
Sabah (2013)

PBAPP (2014)

No comments: