Saturday, November 15, 2014

Mazatech A juarai sirkit pertama STL

Kehadiran pemain berpengalaman ternyata memberi kelebihan kepada pasukan Mazatech ‘A’ apabila muncul juara pusingan pertama SepakTakraw League (STL) di Stadium Tertutup Negeri.

Regu bimbingan Bakari Semah yang diperkuatkan dua pemain kebangsaan, Izurin Refin dan Kamal Alfiza Shafie serta pemain sepak takraw negeri, Muzhaffar Zamir, mengetepikan tentangan ATM ‘A’ pada aksi akhir dengan keputusan 21-15, 21-19 untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 serta tiket automatik untuk beraksi di pusingan Grand Finals di Kuala Lumpur pada Januari nanti.

ATM ‘A’ yang membariskan bekas ‘killer’ kebangsaan, Sazali Saat, Hairul Hazizi dan Saiful Bajuri berpuas hati dengan hadiah wang tunai RM3,000 selain layak untuk beraksi di pusingan play-off bagi merebut tiket beraksi di pusingan Grand Finals.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Dato’ Haji Ahmad Ismail yang hadir menyaksikan perlawanan bersama-sama timbalannya Akramudin Abdul Aziz dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Abdul Rashid Jusoh.

Mazatech ‘A’ yang membawa nama Terengganu, mendapat sokongan padu hampir 500 peminat dan tidak berdepan masalah untuk membuktikan kelas mereka dengan aksi bertenaga sepanjang pertandingan selama dua hari itu.


“Pemain saya telah menunjukkan aksi cukup bertenaga, mungkin sedikit kelebihan kepada regu saya kerana menurunkan dua pemain kebangsaan, tetapi kita tidak memandang rendah keupayaan lawan. Kami menunjukkan komitmen penuh dari perlawanan pertama hingga ke perlawanan akhir“, kata Bakari.

Tambahnya, “Menerusi STL kita berharap jurang yang wujud antara pemain-pemain amatur dan bertaraf kebangsaan akan lebih kecil selepas ini. Saya melihat STL sebagai satu kejayaan.”  

Jurulatih ATM, Aswadi Abdullah, pula berkata ATM memandang serius penganjuran STL dan berpendapat STL akan berjaya dalam usahanya untuk memartabatkan semula sukan sepak takraw.

 “STL membawa satu dimensi baru, ini adalah apa yang kita perlukan sejak sekian lama. Bagi pihak ATM, kami mahu mencabar secara serius di semua sirkit berlangsungnya STL. Sejauh mana pencapaian kami di STL adalah perkara kedua yang penting platform kini sudah tersedia untuk pemain-pemain. Kami mempunyai beberapa regu yang dibarisi bekas pemain senior dan pelapis kebangsaan dan saya gembira melihat mereka beraksi cemerlang sehingga ke final,” katanya.

Terdahulu pada peringkat separuh akhir yang berlangsung di sebelah petang, Mazatech menewaskan ATM ‘C’ 21-6, 21-8 manakala ATM ‘A’ menyingkirkan Gastak ‘B’ 21-14, 21-14.

Sementara itu, ATM ‘C’ menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Gastak ‘B’ 14-21, 21-15, 21-19 dalam aksi sengit penentuan tempat ketiga yang berlangsung hampir 70 minit. Kemenangan membolehkan satu lagi regu bimbingan Aswadi itu meraih hadiah wang tunai RM1,000 dan layak beraksi di pusingan play-off.

STL yang diperkenalkan buat julang kalinya sebagai usaha merevolusikan arena sepak takraw tempatan dilancarkan secara rasminya oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada 7 November lalu. Selepas dua pusingan awal di Kuala Terengganu, pusingan seterusnya akan berlangsung di Kedah, Johor dan Melaka sebelum Grand Finals berlangsung di Kuala Lumpur.

KEPUTUSAN STL (Peringkat kalah mati):  

Suku Akhir: ATM ‘C’ mng Mazatech ‘B’ 2-1 (21-11, 19-21, 21-14); Mazatech ‘A’ mng Pasta ‘B’ 2-0 (21-13, 21-13); ATM ‘A’ mng Gastak ‘A’ 2-0 (21-16, 21-18) dan Gastak ‘B’ mng ATM ‘B’ 2-0 (21-15, 21-12)

Separuh Akhir: Mazatech ‘A’ mng ATM ‘C’ 2-0 (21-6, 21-8) dan ATM ‘A’ mng Gastak ‘B’ 2-0 (21-14, 21-14)

Tempat ketiga : ATM ‘C’ mng GASTAK ‘B’ 2-1 (14-21, 21-15, 21-19)


Akhir : MAZATECH ‘A’ mng ATM ‘A’ 2-0 (21-15, 21-19)

No comments: