Pautan Suara Sukan

Sunday, July 7, 2013

Hazizi mahu sarung jersi negara

Impian mahu menyarung jersi negara terus membara dalam diri Hazizi Mansor meskipun gagal membantu pasukannya, Selangor merealisasikan sasaran mara setidak-tidaknya ke final pertandingan futsal Sukan Malaysia ke-16.

Anak muda berusia 19 tahun yang berasal dari Sentul ini adalah antara nama yang kian meningkat naik dalam dunia futsal tanah air setelah mula mencipta nama dengan mewakili Felda KSR Cempaka dalam saingan Liga Futsal Kebangsaan Felda (LFK) 2011.


Sepertimana pemain lain, Hazizi tidak mahu bakat yang ada padanya sekadar menghiasi arena futsal tempatan sebaliknya bertekad memikat hati jurulatih skuad kebangsaan, Maizal Hairi Marzuki agar dia turut beroleh peluang untuk mempamer bisanya di pentas antarabangsa kelak.

“Ketika mula aktif bermain futsal sekitar usia 16 tahun saya cuma anggap ia sebagai aktiviti riadah yang sihat. Tetapi bila sudah beraksi dalam Liga Futsal Kebangsaan, mula didedahkan kepada pertandingan-pertandingan kompetitif, jurulatih kesan bakat yang ada pada saya, memberi saya galakkan, secara tidak langsung saya semakin serius untuk berjinak dengan sukan ini.

“Saya mula beraksi dengan KSR Cempaka yang beraksi dalam Liga Futsal dua tahun lalu, tahun ini saya akan mewakili MPSJ. Sebelum ini pernah dipanggil untuk skuad SUKMA Selangor pada 2011, tetapi sekadar berada dalam senarai menunggu. Hanya pada tahun ini, saya pergi pemilihan dan melekat di dalam skuad SUKMA.


“Jadi apabila sudah sampai tahap ini, beraksi di LFK, SUKMA, saya tidak mahu perjalanan saya sebagai pemain futsal terhenti di sini. Pastinya saya berharap dapat terus menunjukkan peningkatan dan berjaya untuk memikat panel kejurulatihan skuad kebangsaan. Itu adalah harapan saya dan pastinya sangat teruja jika ia menjadi kenyataan,” kata Hazizi yang menuntut dalam bidang pengurusan sukan di UNISEL Shah Alam.

Pada SUKMA ke-16 di Kuala Lumpur tahun ini, Hazizi dilabel sebagai pemain tonggak oleh jurulatihnya, Noraidiazhar Sulaiman yang menyifatkan Hazizi sebagai pemain yang mempunyai prospek untuk lebih menyerlah di masa akan datang.  

Mengenai perancangan masa depan, Hazizi yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik berkata dia bercita-cita menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya.

Saturday, July 6, 2013

Pulau Pinang kejutkan Wilayah untuk raih emas

Pulau Pinang menoktahkan lakaran kejutan yang dicipta mereka di Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 dengan penuh bergaya apabila merangkul pingat emas pertandingan futsal lelaki dengan menewaskan pasukan pilihan, Wilayah Persekutuan 5-1 pada aksi final.

Selepas mengejutkan Selangor menerusi tendangan penalti pada suku akhir, Pulau Pinang meneruskan langkahan mereka ke final dengan menjadikan Pahang pula sebagai mangsa namun kemenangan ke atas Wilayah nyata sama sekali di luar dugaan apatah lagi Wilayah yang membariskan beberapa bekas pemain kebangsaan turun sebagai pilihan utama.

Foto : DuniaFutsal.my

Pulau Pinang bimbingan Abdul Ghaffar Hoosein nyata bukan pasukan sama yang diratah 3-7 pada aksi peringkat kumpulan tempoh hari sebaliknya menampilkan perwatakan garang yang jelas memerangkap percaturan jurulatih Wilayah, Qusmaini Nor Rusli.

Terdahulu pada aksi penentuan tempat ketiga, Pahang menewaskan Johor 10-5 untuk merangkul pingat gangsa.    

Kekalahan skuad lelaki Wilayah juga bermakna mereka gagal mengulangi pencapaian skuad wanita yang cemerlang merangkul emas dengan tampil garang membelasah Sabah 6-2 untuk menebus hampa sekadar meraih pingat perak pada 2011.

Aksi sengit yang dijangka nyata meleset apabila anak buah Mohd Faizul Abdul Ghaffar mendominasi perlawanan dari sepak mula dan mudah mendahului 4-0 pada babak pertama menerusi jaringan Siti Asnidah Zamri, Hanis Farhana Shamsul dan dua gol jaringan Farahiyah Ridzuan.

Foto : DuniaFutsal.my
Meskipun menjaringkan satu gol menerusi Usliza Usman, Sabah tidak berupaya menterjemahkan kebangkitan sebaliknya Wilayah terus selesa dengan menambah dua lagi gol menerusi Hanani Adriana Shamsul dan Zurain Kamarudin untuk kedudukan 6-1 – gol jaringan Ji Felicia Clarita sekadar menjadi gol saguhati buat pasukan dari borneo itu.


Pingat gangsa pula menjadi milik Kedah yang menewaskan Perak 3-1 pada penentuan tempat ketiga. 

Pahang, Kedah raih gangsa futsal

Pahang meraih pingat gangsa pertandingan futsal lelaki Sukan Malaysia ke-16 setelah menewaskan Johor pada aksi penentuan tempat ketiga tatkala Johor berputih mata gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu.

Setelah disingkirkan Wilayah Persekutuan dengan jaringan tipis 2-3 di peringkat separuh akhir, hanya pingat gangsa dilihat menjadi penawar kecewa buat Johor namun menentang Pahang yang tewas kepada Pulau Pinang, mereka gagal memperlihatkan aksi mantap terutamanya di barisan pertahanan apabila tewas dengan jaringan 5-10.

Foto : DuniaFutsal.my
Skuad tok gajah tidak mengulangi kesilapan sama sepertimana ketika menentang Pulau Pinang di mana beberapa kesilapan mudah dimanfaatkan sebaiknya pasukan dari utara tanah air itu untuk menjaringkan gol dan mara ke final, sebaliknya beraksi dengan lebih tenang serta gerak permainan lebih tersusun.  

“Bukan rezeki kita untuk mara ke final, pemain saya sudah melakukan yang terbaik, berjuang habis-habisan dan saya tidak boleh menyalahkan mereka di atas kegagalan ini. Untuk mara ke separuh akhir sudah cukup bagus dan kita akhiri pertandingan dengan pingat gangsa. Ia satu pencapaian cukup baik bagi sebuah pasukan yang tidak diletakkan harapan langsung dan kami akan kembali dengan lebih mantap selepas ini,” kata jurulatih Pahang, Mohd Yazeed Hamzah.

Sementara itu, pingat gangsa futsal wanita pula menjadi milik Kedah yang menewaskan Perak 3-1 – keputusan sama ketika kedua-dua pasukan bertemu di peringkat kumpulan sebelum ini.

Foto : DuniaFutsal.my
Gol-gol Kedah dijaringkan Nur Madihah Nadzri, Nur Faizah Akhir dan Fatin Shafiqah Abdullah sekaligus membantu skuad kenari memperbaiki pencapaian menduduki tempat keempat pada 2011.

Friday, July 5, 2013

Pahang semakin bernafsu, Johor tampil berbeza

Pahang membuktikan mereka adalah pasukan yang perlu diberi perhatian pada pertandingan futsal Sukan Malaysia kali ini apabila menempah pertemuan separuh akhir menentang Pulau Pinang hasil kemenangan 5-4 mengatasi Perlis dalam aksi suku akhir mendebarkan di KSL Sports Puchong.

Meskipun kehilangan khidmat penjaga gol, Safwan Abdullah seawal minit ketiga akibat layangan kad merah, barisan pemain bimbingan Mohd Yazeed Hamzah tidak mudah menyerah kalah sebaliknya tiga kali bangkit sebelum muncul pemenang pada perlawanan itu.

Foto : DuniaFutsal.my
“Pemain-pemain tidak hilang fokus walaupun kita hilang penjaga gol seawal minit ketiga. Mereka mempamer aksi bersemangat dan kesungguhan yang sama sepertimana dua perlawanan lalu. Mereka berjuang ke titisan peluh terakhir. Pemain saya membuktikan mental mereka cukup kuat dan mereka mempunyai kriteria yang diperlukan untuk mara lebih jauh,” katanya.

Mengenai pertemuan menentang Pulau Pinang, Yazeed berkata pada tahap ini semua pasukan akan beraksi habis-habisan dan tidak mahu pemainnya memandang enteng cabaran lawan yang mara selepas menyingkirkan Selangor.

“Kemenangan Penang membuktikan apabila sampai tahap ini, semangat semua pasukan adalah luar biasa hebat. Tiada yang mahu mengalah dengan mudah, lihatlah bagaimana Selangor yang menang kesemua tiga perlawanan, disebut sebagai pilihan tetapi akhirnya kecundang di suku akhir. Kami perlu berhati-hati dan saya mempunyai cara saya sendiri bagaimana mahu menangani Penang nanti.”

Sementara itu, Johor yang bermula dengan goyah dalam misi mempertahankan pingat emas kini tanpa diduga kembali dalam persaingan apabila mengesahkan slot separuh akhir terakhir menjadi milik mereka dengan menyingkirkan lawan dari Pantai Timur, Terengganu dengan keputusan 5-4.

Foto : DuniaFutsal.my
Terengganu yang turun tanpa tiga tonggak iaitu Fuad Mamat, Putera Muhamad Faris Anuar dan Muhammad Shafiq Hashim yang digantung perlawanan nyata berdepan laluan sukar menentang Johor yang tampil sebagai pasukan jauh berbeza berbanding aksi peringkat kumpulan.

Johor akan menentang Wilayah Persekutuan dalam aksi separuh akhir pada Sabtu dan pemenang akan bertemu sama ada Pahang atau Pulau Pinang dalam aksi final yang dijadual berlangsung pada 8 malam hari yang sama.

Aksi separuh akhir (Sabtu) :
9 pagi : Pulau Pinang lwn Pahang
10.15 pagi : Johor lawan Wilayah Persekutuan


Akhir  (Sabtu) : 8 malam  

Kejutan Pulau Pinang

Pulau Pinang mencipta kejutan terbesar di pertandingan futsal lelaki Sukan Malaysia yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur apabila menyingkirkan pasukan pilihan, Selangor, 3-2 menerusi tendangan penalti pada aksi suku akhir yang berlangsung pada Jumaat.

Turun dengan status pasukan pilihan, Selangor yang mengutip 9 mata maksima dan menjaringkan 15 gol dalam laluan ke kelompok lapan terakhir mendapati ianya terlalu sukar untuk menembusi kekebalan pertahanan Pulau Pinang yang dapat mematahkan setiap serangan yang diatur skuad merah kuning.

Foto : DuniaFutsal.my
Ia nyata tamparan hebat buat Selangor apatah lagi mereka bukan sahaja gagal merealisasikan sasaran mara ke final tetapi lebih malang gagal untuk mengulangi pencapaian mara ke separuh akhir pada 2011 – jurulatih Noraidiazhar Sulaiman bagaimanapun menolak dakwaan bahawa pasukannya terlalu memandang rendah keupayaan lawan mereka sebaliknya menganggap nasib tidak berpihak kepada Selangor.

“Kita bukan memandang rendah Pulau Pinang, kita tahu kekuatan mereka. Tidak tepat juga jika dikatakan pemain saya over-confident tetapi nasib bukan milik kita. Kita menguasai permainan, melancarkan banyak serangan, tetapi Pulau Pinang dapat baca permainan kita. Mereka mengawal ketat pemain kita dan lebih banyak bermain secara defensif.

“Mereka hanya tunggu kita lancarkan serangan dan ini menyukarkan kita. Saya akui mereka telah study game kita dengan baik,” kata Noraidiazhar.

Pada perlawanan itu, Selangor mendahului 1-0 menerusi jaringan Syukery Mohamad tetapi sedikit kelalaian membolehkan Pulau Pinang bangkit menjaringkan dua gol menerusi Hafeez Ramli dan Farhan Fauzi seterusnya mendahului 2-1.

Foto : DuniaFutsal.my
Gol jaringan Izzat Zarin memastikan kedua-dua pasukan menamatkan perlawanan dengan keputusan 2-2 sebelum pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti dan tuah penalti menjadi milik Pulau Pinang dengan keputusan 3-2.

Tersingkirnya Selangor bermakna tinggal hanya Wilayah Persekutuan menggalas status sebagai pasukan pilihan – Wilayah tidak bermasalah untuk menyingkirkan Kedah dengan jaringan 4-1 menerusi jaringan Yazid Kamaruzuan, Sofian Karianshah, Azri Rahman dan Abdul Rahman Satuki. 

Sabah mahu lunas hutang lama

Gelaran juara pertandingan futsal wanita Sukan Malaysia akan ditentukan oleh Sabah dan Wilayah Persekutuan selepas kedua-dua pasukan melepasi halangan separuh akhir pada Jumaat.

Sabah, bimbingan Laini Ahing mengejutkan Kedah 4-2 pada aksi yang berlangsung sebelah pagi dan terpaksa menunggu hampir 4 jam untuk mengetahui siapakah lawan mereka di pentas akhir – sejurus Wilayah mengesahkan kemenangan 7-0 ke atas Perak, Laini berkata ini adalah pertemuan final yang diidamkan skuadnya.

Sabah tewaskan Kedah. Foto : DuniaFutsal.my
“Memang kami harapkan untuk jumpa Wilayah. Kami ada hutang mahu dibayar. Dua tahun lalu kami disingkirkan Wilayah di peringkat separuh akhir dan kami juga tewas perlawanan peringkat kumpulan tiga hari lalu. Kali ini kami lebih bersedia, pemain semuanya optimis, peluang terbuka sama rata dan kami tidak gentar dengan mereka,” kata Laini.

Pada aksi separuh akhir, Sabah yang turun dengan status underdog dua kali mendahului Kedah yang sebelum ini garang menguasai Kumpulan A dengan rekod bersih empat kemenangan menerusi jaringan Ji Fedalliah Clarita dan Usliza Usman.

Kedah bangkit mengikat kedudukan 2-2 namun gagal menterjemahkan sentuhan jaringan sama yang menyaksikan mereka meledak 31 gol di peringkat kumpulan sebaliknya Sabah yang menyerang menerusi serangan balas menambah dua lagi jaringan menerusi Fedalliah dan Levella Julia Jelus.

“Kedah membuktikan kehebatan mereka apabila membelasah semua lawan di peringkat kumpulan. Mereka menewaskan juara bertahan Selangor 6-1, jadi memang kita tunjukkan rasa hormat tetapi bukan rasa gentar. Kita menyekat dominasi mereka dengan kelajuan dan fizikal pemain kami yang lebih bagus seterusnya menjaringkan gol menerusi serangan balas.”

Dalam satu lagi aksi, Wilayah bersahaja membenam cabaran naib juara Kumpulan A, Perak 7-0 sekaligus kekal sebagai satu-satunya pasukan belum tewas di SUKMA ke-16 ini dan mengulangi pencapaian muncul finalis pada 2011.

Wilayah 7-0 Perak. Foto : DuniaFutsal.my
Pada 2011, Wilayah berputih mata di pentas final apabila gagal menandingi kehebatan Selangor yang gah mencatat kemenangan 3-0 seterusnya memenangi pingat emas justeru kali ini mereka mendapat peluang untuk menebus hampa lalu. 

Thursday, July 4, 2013

Pahang gegar Terengganu, Johor bernasib baik

Pahang menempah tiket ke suku akhir pertandingan futsal lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 dengan penuh bergaya apabila empat gol jaringan Mohd Azrol Hairun membantu skuad Tok Gajah membelasah seteru Pantai Timur, Terengganu, 8-1 sekaligus menjuarai Kumpulan C.

Jurulatih Pahang, Mohd Yazeed Hamzah berkata : “Sudah saya katakan, saya kenal pemain saya dan saya tahu mereka akan lakukan apa yang patut pada hari ini. Walaupun saya tahu kami boleh mencatat kemenangan, saya tidak jangka kami akan menang sampai 8 gol kerana Terengganu bukan calang-calan pasukan. Apa yang saya pesan pada mereka, main seperti biasa, sudahkan setiap peluang.

Foto : DuniaFutsal.my
Pahang akan bertemu naib juara Kumpulan B, Perlis pada aksi suku akhir – Perlis mengesahkan kemaraan setelah mencatat kemenangan dramatik 6-5 ke atas Pulau Pinang.

“Kini tumpuan kami adalah menentang Perlis di suku akhir. Perlis adalah pasukan yang sukar diduga kekuatan mereka jadi saya berharap pemain akan meneruskan prestasi cemerlang sepertimana ditunjukkan hari ini,” kata Yazeed.   

Dalam pada itu, kekalahan besar bagaimanapun tidak menjejaskan slot suku akhir buat Terengganu yang turut perlu berterima kasih kepada Kedah yang menewaskan Sarawak 5-3 apatah lagi tiket ke suku akhir dari Kumpulan C sebelum ini menjadi pertarungan tiga penjuru membabitkan Terengganu, Pahang dan Sarawak.

Namun, jurulatih Sang Penyu, Zulharisam Awang sedikit terkilan dengan keputusan pengadil yang melayangkan kad merah kepada tiga pemainnya – Putera Muhammad Faris Anuar, Fuad Mamat dan Muhammad Shafiq Hashim seterusnya bakal terlepas aksi menentang Johor di suku akhir.

“Kad yang dilayangkan semuanya tanpa amaran, foul je terus layang kad merah. Sepatutnya pengadil beri amaran lisan terlebih dahulu. Ini sedikit menjejaskan prestasi pasukan, moral jatuh dan kini saya perlu mencatur strategi lain untuk aksi suku akhir.

Pengadil cetus kontroversi. Fotop : DuniaFutsal.my
“Begitupun, saya percaya barisan pemain yang kita bawa ke SUKMA boleh galas tanggungawab dengan baik. Kita tidak akan menjadikan ini alasan untuk mengalah, menentang Johor kita masih dengan misi sama menempah tiket ke separuh akhir. Ia memang bukan laluan mudah, tetapi bukannya mustahil,” kata Zulharisam.

Terdahulu, Johor yang hadir dengan status juara bertahan dibelasah Selangor 4-0 namun kegagalan Sabah menewaskan Perak membolehkan skuad dari selatan tanah air itu bernasib baik untuk meneruskan  kemaraan dan menghidupkan misi mempertahankan emas.

Selangor menjuarai Kumpulan A dengan maksima 9 mata dari 3 perlawanan, manakala Wilayah Persekutuan membelasah Negeri Sembilan 5-1 untuk muncul juara Kumpulan B – dua lagi slot suku akhir dilengkapkan Pulau Pinang dan Kedah yang mara atas kapasiti sebagai dua pasukan tangga ketiga terbaik.

Jadual suku akhir pada Jumaat :
9 pagi : Kedah lwn Selangor
10.15 pagi : Pulau Pinang lwn Wilayah Persekutuan
4.15 ptg : Perlis lwn Pahang

5.30 ptg : Terengganu lwn Johor

Perak, Sabah mara, Selangor gigit jari

Pertandingan futsal wanita Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 di Kuala Lumpur bakal menyaksikan juara baru apabila penyandang pingat emas, Selangor ditunjukkan jalan keluar tatkala Perak dan Sabah mengisi dua slot terakhir separuh akhir bagi mengiringi Kedah dan Wilayah Persekutuan. 

Perak yang hanya memerlukan satu mata sahaja untuk menyingkirkan Selangor yang sudahpun beraksi kesemua empat perlawanan, beraksi garang untuk merakamkan kemenangan 11-1 ke atas Pulau Pinang dan mara sebagai naib juara Kumpulan A dengan mengutip 9 mata.

Pada aksi separuh akhir yang dijadual berlangsung pada Jumaat, Perak akan bertemu juara Kumpulan B, Wilayah Persekutuan dan Pengerusi Futsal Negeri Perak, Datuk Muhd Yadzan Muhammad optimis pasukannya boleh melangkah lebih jauh jika mengekalkan momentum dan prestasi yang ditunjukkan pada aksi peringkat kumpulan.

“Kita datang ke sini dengan sasaran membawa pulang gangsa, tetapi melihat kepada prestasi dan komitmen pemain sepanjang 4 perlawanan, tidak mustahil kita boleh menukar warna pingat kepada perak atau emas. Kekalahan kepada Kedah tidak perlu dibimbangkan kerana kita telahpun layak, sebaliknya kita pandang ke depan dan tewaskan Wilayah adalah sasaran kita seterusnya,” katanya yang hadir memberikan sokongan kepada pemain di KSL Sports Puchong.

Tambahnya lagi : “Pasukan Perak ini tiada nama besar atau kelibat pemain bintang, kita buat pemilihan dan pasukan yang dibentuk ini adalah ditapis daripada sejumlah 80 pemain pada awalnya. Pasukan seperti Selangor yang mempunyai pemain kebangsaan lambat membawa masuk pemain mereka dan saya boleh kata rezeki memihak pada kita.”

Kedah muncul juara Kumpulan A setelah menundukkan Perak 3-1 pada aksi terakhir sekaligus mencatat rekod bersih menang kesemua empat perlawanan awal dan kini disebut-sebut sebagai pilihan utama untuk muncul juara – pada aksi separuh akhir, mereka akan menentang skuad dari Borneo, Sabah.

Foto : DuniaFutsal.my
Sementara itu, Sabah pula mengetepikan tentangan sengit Johor dengan kemenangan 2-1 sebelum mengesahkan kemaraan – terima kasih kepada jaringan Ji Fedallia Clarita Jaimin dan Lovella Julia Jelus yang membolehkan mereka mengutip 9 mata untuk muncul naib juara Kumpulan B di belakang Wilayah.

Jurulatih Sabah, Laini Ahing berkata : “Semangat untuk layak ke semi itu cukup tinggi di kalangan pemain, dan mereka beraksi habis-habisan. Mereka memberikan segalanya untuk memastikan kemenangan ini dan saya perlu memberi kredit kepada pemain saya.

“Menentang Kedah di semi, saya merasakan peluang adalah 50-50. Kita tidak gentar dengan reputasi mereka yang menang semua empat perlawanan dan akan berikan saingan yang sengit.”

Terdahulu pada Rabu, Wilayah Persekutuan mara ke separuh akhir setelah mengutip 10 mata sekaligus meninggalkan satu sahaja slot untuk direbut antara Johor dan Sabah – kelebihan awal memihak kepada Johor apabila mereka membelasah Pahang 8-0 dan melonjak ke tangga kedua, namun berputih mata meskipun hanya memerlukan seri menentang Sabah. 

Wednesday, July 3, 2013

Kedah, Wilayah ke separuh akhir (wanita)

Kedah dan Wilayah Persekutuan mengulangi pencapaian 2011 apabila ke separuh akhir pertandingan futsal wanita Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 tatkala juara bertahan, Selangor semakin hampir ditunjukkan jalan keluar meskipun mempamer kebangkitan lewat untuk mencatat dua kemenangan besar ke atas Terengganu dan Pulau Pinang.

Kedah yang membenam Selangor 6-1 diikuti kemenangan bergaya 10-0 ke atas Pulau Pinang pada hari pertama, meneruskan rentak garang mereka apabila menjadikan Terengganu sebagai mangsa dengan merakamkan kemenangan 12-1 untuk mendahului Kumpulan A dengan maksima 9 mata dari 3 perlawanan.

Jurulatih Kedah, Khatul Anuar berkata ketajaman sentuhan penyudah pasukannya yang menjaringkan 28 gol dalam 3 perlawanan adalah cukup menakjubkan dan kini sudah berkira-kira merehatkan beberapa pemain utama menjelang perlawanan terakhir menentang Perak pada Khamis.

“Ia pencapaian yang sangat baik melangkah ke separuh akhir selepas hanya tiga perlawanan. Tetapi jangan cepat berpuas hati kerana kita perlu menamatkan aksi kumpulan sebagai juara. Pemain-pemain kesemuanya boleh menjaringkan gol, kita tidak sandarkan pada seorang atau dua pemain semata-mata, jadi saya mungkin boleh merehatkan pemain tertentu dan mencuba gandingan baru nanti.

“Sasaran awal kami apabila datang ke sini adalah menang pingat gangsa dan memperbaiki pencapaian lalu. Kini sudah berada di separuh akhir, saya yakin sasaran itu boleh direalisasikan jika pemain menunjukkan semangat yang sama sehingga akhir,” ujar Khatul.

Foto :DuniaFutsal.my
Perak dan Selangor masing-masing mengutip 6 mata untuk mengekori Kedah di belakang, tetapi kelebihan nyata milik Perak ketika ini di mana mereka masih memiliki dua perlawanan dalam tangan dan hanya perlu satu mata sahaja untuk mengiringi Kedah ke separuh akhir, sedangkan Selangor sudahpun beraksi kesemua empat perlawanan.

Selangor tewas kedua-dua perlawanan pertama mereka namun bangkit membelasah Pulau Pinang 5-0 diikuti kemenangan 4-0 ke atas Terengganu manakala Perak pula menang dua perlawanan pertama apabila mencatat kemenangan 6-3 ke atas Terengganu dan 4-3 ke atas Selangor.

Bagi aksi Kumpulan B, Wilayah Persekutuan yang merupakan finalis dua tahun lalu mencatat dua kemenangan hari ini selepas mengutip empat mata pada hari pertama – mereka menewaskan Pahang 8-1 dan kemudiannya meneruskan kecemerlangan dengan menewaskan Negeri Sembilan 3-1.

Dengan kutipan 10 mata, Wilayah Persekutuan mara selaku juara kumpulan manakala satu lagi slot menjadi rebutan antara Johor dan Sabah.

Pertarungan tiga penjuru Terengganu, Pahang, Sarawak

Terengganu beraksi garang untuk membelasah penyandang pingat gangsa, Sarawak 8-2 untuk mengungguli saingan Kumpulan C dengan maksima 6 mata namun anak buah Zulharisam Awang terpaksa menanti sehingga perlawanan terakhir menentang Pahang pada Khamis untuk mengesahkan kemaraan ke suku akhir.

Ironinya, Terengganu mungkin sudah memastikan kemaraan ke suku akhir jika tidak kerana kebangkitan menakjubkan ditunjukkan Pahang untuk menewaskan Sarawak 6-5 sekaligus menyaksikan pertarungan dramatik tiga penjuru antara Terengganu, Sarawak dan Pahang untuk merebut dua slot automatik ke suku akhir.

Foto : DuniaFutsal.my
Jurulatih Pahang, Mohd Yazeed Hamzah percaya anak buahnya tidak gentar menentang Terengganu yang meledak 13 gol sepanjang dua perlawanan lalu sebaliknya melaungkan keyakinan betapa skuad Tok Gajah mempunyai rencah yang diperlukan untuk menjinakkan sang penyu.

“Hari ini pemain-pemain saya lambat panas, kita bangkit semula dari ketinggalan 4-1 pada satu ketika dan menjaringkan 4 gol dalam tempoh 3 minit terakhir. Ia memang permainan yang gila dan saya tidak pernah berada dalam situasi ini sebelum ini. Usaha keras pemain membuahkan hasil dan kita masih di landasan untuk mara ke suku akhir.

“Pemain-pemain saya sebelum ini beraksi di bawah tahap sebenar dan kini telah menemui rentak tepat pada waktunya. Menentang Terengganu saya yakin kita boleh tewaskan mereka, semangat dan kesungguhan di kalangan pemain membara dan mereka sudah bersedia menunjukkan aksi terbaik. Kita akan pastikan slot suku akhir milik Pahang,” kata Yazeed.

Foto : DuniaFutsal.My
Begitupun, jurulatih Terengganu, Zulharisam Awang berkata pasukannya yang hanya memerlukan seri untuk mengesahkan kemaraan seterusnya muncul juara Kumpulan C tidak akan memberi laluan mudah kepada seteru pantai timur itu.

“Memang di atas kertas, dilihat kelebihan milik kita. Tetapi saya tidak mahu pemain terlalu yakin setelah dua kemenangan besar sebelum ini. Lain pasukan, lain strategi tetapi apa yang boleh saya janjikan, pasukan saya tidak akan beri laluan mudah. Kita tengok pada hari perlawanan siapa yang lebih hebat. Tekanan di pihak mereka kerana mereka perlu menang kami pula hanya perlu seri,” kata Zulharisam.

Pertemuan dua pasukan berjiran ini umpama aksi hidup mati dan pastinya menarik untuk disaksikan di mana andai Pahang menewaskan Terengganu, manakala Sarawak pula mencatat kemenangan ke atas Kedah, kesemua tiga pasukan akan terikat dengan 6 mata – bermakna, juara dan naib juara akan dipisahkan menerusi beza jaringan.

Selangor, Wilayah ke suku akhir

Selangor dan Wilayah Persekutuan muncul dua pasukan pertama menempah tiket beraksi di suku akhir pertandingan futsal Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 selepas mudah membelasah lawan masing-masing pada perlawanan kedua di KSL Sports Puchong.

Selangor membenam cabaran Sabah dengan keputusan 8-1 sebagai susulan kepada kejayaan menewaskan Perak 3-0 pada hari pertama untuk menerajui Kumpulan A, tatkala Wilayah Persekutuan bergaya membelasah Perlis 10-0 untuk unggul sebagai pendahulu Kumpulan B.

Jurulatih Selangor, Noraidiazhar Sulaiman tidak mahu pemainnya terbuai dengan pencapaian cemerlang yang ditunjukkan setakat ini sebaliknya kekal fokus menjelang pertemuan menentang Johor pada perlawanan terakhir kumpulan, pada Khamis.

Foto : DuniaFutsal.my
“Kemenangan ini  memang satu kemenangan besar, tetapi saya tidak melihat ia alasan untuk kita mendabik dada. Walaupun kita menampilkan permainan lebih impresif berbanding semalam, kita perlu ingat perjalanan masih jauh, kita baru layak ke suku akhir dan pemain perlu kekalkan konsentrasi.

“Gol yang kita lepaskan boleh dielak jika pemain tidak leka pada saat akhir, jadi saya tidak mahu kesilapan ini berulang ketika menentang Johor dan berharap semua pemain menunjukkan komitmen tinggi sehinggalah perjuangan kita selesai,” katanya. 

Meskipun berjaya mengikat juara bertahan, Johor 3-3 pada perlawanan pembukaan, Sabah nyata tiada jawapan kepada aksi mantap, kemas dan tersusun skuad merah kuning yang memperlihatkan perwatakan garang untuk mendahului 8-0 menerusi jaringan Hazizi Mansor, Muhamad Effiezal Kamarudin, Azrin Hezry Zainol, Zulfadzli Zainal Azam, Lim Hsien Wei dan Daniel Raj Dhairianathan.  

Gol jaringan Ridzwan Bakri sekadar saguhati buat mereka dan kini mereka berdepan misi wajib menang ke atas Perak pada Khamis selain mengharapkan Johor akan tewas di tangan Selangor jika mahu mara ke kelompok lapan terakhir.

“Peluang masih ada, saya yakin saingan masih terbuka walaupun ia mungkin di tangan kami. Kami tetap perlu berharap keputusan satu lagi perlawanan menyebelahi kami selain kami sendiri perlu mencatat kemenangan besar. Kita akan lakukan terbaik dan sekurang-kurangnya boleh mara selaku salah satu pasukan tangga ketiga terbaik,” ujar jurulatih Sabah, Rosli Hassan.

Bagi Wilayah Persekutuan pula, kemenangan 10-0 ke atas Perlis adalah kemenangan kedua selepas terdahulu mereka membelasah Pulau Pinang 7-3 pada Selasa sekaligus menepati ramalan sebagai salah sebuah pasukan yang perlu diberi perhatian pada edisi kali ini.

Foto : DuniaFutsal.my
Jurulatih Wilayah, Qusmaini Nor memuji kerjasama sepasukan yang ditunjukkan pemainnya : “Pendekatan kita adalah dari satu perlawanan ke satu perlawanan, kekuatan utama pasukan saya mereka menunjukkan kerjasama sepasukan tinggi. Tiada pemain yang tamak atau mahu menunjukkan skil individu, persefahaman sangat baik. Saya harap momentum ini akan kekal di sepanjang pertandingan berlangsung.”

Wilayah hanya perlu seri menentang Negeri Sembilan yang tewas kedua-dua perlawanan pada Khamis untuk mengesahkan kedudukan sebagai juara Kumpulan B.

Tuesday, July 2, 2013

Terengganu terbang di awangan

Setelah menjinakkan Kedah 5-2 pada aksi pertama, skuad Terengganu ibarat terbang di awangan dan mahu melakukan sebaik mungkin untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa dari sukan futsal Sukan Malaysia ke-16 di Kuala Lumpur.

Pengurus pasukan, Mohamad Sekanther Abdul Halim berkata kemenangan yang dirakam ke atas Kedah merupakan satu kejutan besar apatah lagi pemain-pemain yang membarisi skuad sang penyu semuanya pemain yang diserap dari akademi selain mengambil kira kekuatan pasukan sama yang pernah menewaskan mereka dengan jaringan 6-2 sebelum ini.

Foto : DuniaFutsal.my
“Gembira dengan anak buah saya, mereka bermain dengan begitu baik, dan saya berharap mereka akan tunjuk semangat yang sama seperti ini apabila menentang Sarawak pada esok. Kita tahu Sarawak juga pasukan yang kuat tetapi kita punyai peluang 50-50.

“Saya tidak mahu pemain beraksi dalam tekanan, masih ada beberapa kelemahan yang perlu kita perbaiki dan jika pemain fokus, menunjukkan komitmen maka kami mampu melangkah lebih jauh seterusnya merealisasikan hasrat membawa pulang satu pingat tanpa mengira warna, malah mungkin juga layak ke final,” katanya.

Pada perlawanan itu, Terengganu meledak lima gol menerusi dua jaringan masing-masing Mohd Areef Shazriq Zaidi dan Wan Nasaruddin Wan Ismail sementara Mohd Fuad Mamat menyumbang satu gol untuk meletakkan Terengganu mendahului Kumpulan B dengan perbezaan jaringan mengatasi Sarawak.

Sementara itu, jurulatih Terengganu yang juga bekas pemain pertahanan skuad Liga Super pasukan negeri, Zulharisam Awang berkata skuad ini memiliki masa depan yang cerah dan potensi besar untuk terus menyerlah di masa akan datang – dengan syarat, mereka diberi pendedahan berterusan.


“Pemain-pemain yang ada semuanya baru, mereka masih muda, banyak lagi boleh belajar, tetapi dari apa yang saya lihat, mereka ada kesungguhan dan perlu bekerja keras. Sia-sia sahaja kalau bakat yang ada ini setakat tahap ini saja kemajuan mereka, mereka boleh pergi jauh tetapi ia memerlukan kerjasama dari semua pihak dan saya percaya kita di Terengganu memang di landasan baik untuk melakukannya,” ujar Zulharisam. 

Futsal : Pesta gol pada hari pertama

Hari pembuka tirai pertandingan Futsal Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 di Kuala Lumpur menyaksikan kenduri gol apabila sebanyak 89 gol terhasil daripada keseluruhan 13 perlawanan membabitkan kategori lelaki dan wanita yang berlangsung di KSL Sports, Puchong.  

Dalam aksi kategori lelaki, Johor memulakan misi mempertahankan pingat emas dengan rentak goyah apabila diikat 3-3 oleh lawan dari Borneo, Sabah tatkala seteru utama, Selangor melaungkan amaran awal dengan kemenangan mudah 3-0 mengatasi Perak.  

Johor 3-3 Sabah. Foto : DuniaFutsal.my
Bagi jurulatih Selangor, Noraidiazhar Sulaiman, kemenangan pada hari ini adalah tonik terbaik sebelum turun menentang Sabah pada Rabu dan memuji pemainnya yang mempamer aksi komited.

“Ia adalah permulaan yang baik, ianya bagus untuk bermula dengan 3 mata. Pemain menunjukkan semangat tinggi dan bermain mengikut arahan yang telah diberi. Kita tiada seorangpun pemain dari skuad dua tahun lepas, tetapi sasaran kita tetap sama iaitu mara ke final.

“Kita akan turun menentang Sabah dengan motivasi yang sama, saya yakin pemain dalam mood yang baik selepas kemenangan tadi. Saya tidak lihat kami sebagai pasukan yang kuat atau pilihan, sebaliknya kekuatan semua pasukan adalah sama. Apa yang menjadi pemisah adalah taktikal dan prestasi pada hari perlawanan,” ujar Noraidiazhar.

Aksi Kumpulan B pula, 17 gol dijaringkan dalam dua perlawanan – finalis 2011, Negeri Sembilan dikejutkan dengan kekalahan besar 1-6 kepada Perlis manakala Pulau Pinang dibelasah Wilayah Persekutuan 7-3.

Sementara dalam saingan Kumpulan C, penyandang pingat gangsa, Sarawak mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Pahang sementara Terengganu membelasah Kedah 5-2.

Bagi kategori wanita pula, harapan Selangor untuk mempertahankan pingat emas sedikit kabur apabila tewas kedua-dua perlawanan pada hari ini – mereka tewas 1-6 kepada Kedah pada aksi pertama dan kemudiannya tewas 3-4 kepada Perak dalam aksi Kumpulan A.

Kedah 6-1 Selangor. Foto : DuniaFutsal,my
Pada sebelah petang, Kedah kemudiannya garang membelasah Pulau Pinang 10-0 manakala Perak terdahulu menewaskan Terengganu 6-3 sekaligus kedua-dua pasukan ketika ini di landasan terbaik untuk melangkah ke separuh akhir apabila mengutip 6 mata.

Aksi Kumpulan B pula diterajui Johor dan Wilayah Persekutuan yang masing-masing mengutip 4 mata – Johor menewaskan Negeri Sembilan 7-3 pada perlawanan pertama sebelum mengikat Wilayah Persekutuan 2-2 pada perlawanan kedua.

Wilayah Persekutuan pula menewaskan Sabah 3-1 pada perlawanan pertama yang berlangsung di sebelah pagi.