Setelah menjinakkan Kedah 5-2
pada aksi pertama, skuad Terengganu ibarat terbang di awangan dan mahu
melakukan sebaik mungkin untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa
dari sukan futsal Sukan Malaysia ke-16 di Kuala Lumpur.
Pengurus pasukan, Mohamad
Sekanther Abdul Halim berkata kemenangan yang dirakam ke atas Kedah merupakan
satu kejutan besar apatah lagi pemain-pemain yang membarisi skuad sang penyu
semuanya pemain yang diserap dari akademi selain mengambil kira kekuatan
pasukan sama yang pernah menewaskan mereka dengan jaringan 6-2 sebelum ini.
Foto : DuniaFutsal.my |
“Gembira dengan anak buah saya,
mereka bermain dengan begitu baik, dan saya berharap mereka akan tunjuk
semangat yang sama seperti ini apabila menentang Sarawak pada esok. Kita tahu
Sarawak juga pasukan yang kuat tetapi kita punyai peluang 50-50.
“Saya tidak mahu pemain beraksi
dalam tekanan, masih ada beberapa kelemahan yang perlu kita perbaiki dan jika
pemain fokus, menunjukkan komitmen maka kami mampu melangkah lebih jauh
seterusnya merealisasikan hasrat membawa pulang satu pingat tanpa mengira
warna, malah mungkin juga layak ke final,” katanya.
Pada perlawanan itu, Terengganu
meledak lima gol menerusi dua jaringan masing-masing Mohd Areef Shazriq Zaidi
dan Wan Nasaruddin Wan Ismail sementara Mohd Fuad Mamat menyumbang satu gol
untuk meletakkan Terengganu mendahului Kumpulan B dengan perbezaan jaringan
mengatasi Sarawak.
Sementara itu, jurulatih
Terengganu yang juga bekas pemain pertahanan skuad Liga Super pasukan negeri,
Zulharisam Awang berkata skuad ini memiliki masa depan yang cerah dan potensi
besar untuk terus menyerlah di masa akan datang – dengan syarat, mereka diberi
pendedahan berterusan.
“Pemain-pemain yang ada semuanya
baru, mereka masih muda, banyak lagi boleh belajar, tetapi dari apa yang saya
lihat, mereka ada kesungguhan dan perlu bekerja keras. Sia-sia sahaja kalau
bakat yang ada ini setakat tahap ini saja kemajuan mereka, mereka boleh pergi
jauh tetapi ia memerlukan kerjasama dari semua pihak dan saya percaya kita di
Terengganu memang di landasan baik untuk melakukannya,” ujar Zulharisam.
No comments:
Post a Comment