Selangor dan Wilayah Persekutuan
muncul dua pasukan pertama menempah tiket beraksi di suku akhir pertandingan
futsal Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 selepas mudah membelasah lawan
masing-masing pada perlawanan kedua di KSL Sports Puchong.
Selangor membenam cabaran Sabah
dengan keputusan 8-1 sebagai susulan kepada kejayaan menewaskan Perak 3-0 pada
hari pertama untuk menerajui Kumpulan A, tatkala Wilayah Persekutuan bergaya
membelasah Perlis 10-0 untuk unggul sebagai pendahulu Kumpulan B.
Jurulatih Selangor, Noraidiazhar
Sulaiman tidak mahu pemainnya terbuai dengan pencapaian cemerlang yang
ditunjukkan setakat ini sebaliknya kekal fokus menjelang pertemuan menentang
Johor pada perlawanan terakhir kumpulan, pada Khamis.
Foto : DuniaFutsal.my |
“Kemenangan ini memang satu kemenangan besar, tetapi saya
tidak melihat ia alasan untuk kita mendabik dada. Walaupun kita menampilkan
permainan lebih impresif berbanding semalam, kita perlu ingat perjalanan masih
jauh, kita baru layak ke suku akhir dan pemain perlu kekalkan konsentrasi.
“Gol yang kita lepaskan boleh
dielak jika pemain tidak leka pada saat akhir, jadi saya tidak mahu kesilapan
ini berulang ketika menentang Johor dan berharap semua pemain menunjukkan
komitmen tinggi sehinggalah perjuangan kita selesai,” katanya.
Meskipun berjaya mengikat juara
bertahan, Johor 3-3 pada perlawanan pembukaan, Sabah nyata tiada jawapan kepada
aksi mantap, kemas dan tersusun skuad merah kuning yang memperlihatkan
perwatakan garang untuk mendahului 8-0 menerusi jaringan Hazizi Mansor, Muhamad
Effiezal Kamarudin, Azrin Hezry Zainol, Zulfadzli Zainal Azam, Lim Hsien Wei
dan Daniel Raj Dhairianathan.
Gol jaringan Ridzwan Bakri
sekadar saguhati buat mereka dan kini mereka berdepan misi wajib menang ke atas
Perak pada Khamis selain mengharapkan Johor akan tewas di tangan Selangor jika
mahu mara ke kelompok lapan terakhir.
“Peluang masih ada, saya yakin
saingan masih terbuka walaupun ia mungkin di tangan kami. Kami tetap perlu
berharap keputusan satu lagi perlawanan menyebelahi kami selain kami sendiri
perlu mencatat kemenangan besar. Kita akan lakukan terbaik dan
sekurang-kurangnya boleh mara selaku salah satu pasukan tangga ketiga terbaik,”
ujar jurulatih Sabah, Rosli Hassan.
Bagi Wilayah Persekutuan pula,
kemenangan 10-0 ke atas Perlis adalah kemenangan kedua selepas terdahulu mereka
membelasah Pulau Pinang 7-3 pada Selasa sekaligus menepati ramalan sebagai
salah sebuah pasukan yang perlu diberi perhatian pada edisi kali ini.
Foto : DuniaFutsal.my |
No comments:
Post a Comment