Impian mahu menyarung jersi negara
terus membara dalam diri Hazizi Mansor meskipun gagal membantu pasukannya,
Selangor merealisasikan sasaran mara setidak-tidaknya ke final pertandingan
futsal Sukan Malaysia ke-16.
Anak muda berusia 19 tahun yang
berasal dari Sentul ini adalah antara nama yang kian meningkat naik dalam dunia
futsal tanah air setelah mula mencipta nama dengan mewakili Felda KSR Cempaka
dalam saingan Liga Futsal Kebangsaan Felda (LFK) 2011.
Sepertimana pemain lain, Hazizi tidak
mahu bakat yang ada padanya sekadar menghiasi arena futsal tempatan sebaliknya
bertekad memikat hati jurulatih skuad kebangsaan, Maizal Hairi Marzuki agar dia
turut beroleh peluang untuk mempamer bisanya di pentas antarabangsa kelak.
“Ketika mula aktif bermain futsal
sekitar usia 16 tahun saya cuma anggap ia sebagai aktiviti riadah yang sihat.
Tetapi bila sudah beraksi dalam Liga Futsal Kebangsaan, mula didedahkan kepada
pertandingan-pertandingan kompetitif, jurulatih kesan bakat yang ada pada saya,
memberi saya galakkan, secara tidak langsung saya semakin serius untuk berjinak
dengan sukan ini.
“Saya mula beraksi dengan KSR Cempaka
yang beraksi dalam Liga Futsal dua tahun lalu, tahun ini saya akan mewakili
MPSJ. Sebelum ini pernah dipanggil untuk skuad SUKMA Selangor pada 2011, tetapi
sekadar berada dalam senarai menunggu. Hanya pada tahun ini, saya pergi pemilihan
dan melekat di dalam skuad SUKMA.
“Jadi apabila sudah sampai tahap ini,
beraksi di LFK, SUKMA, saya tidak mahu perjalanan saya sebagai pemain futsal
terhenti di sini. Pastinya saya berharap dapat terus menunjukkan peningkatan
dan berjaya untuk memikat panel kejurulatihan skuad kebangsaan. Itu adalah
harapan saya dan pastinya sangat teruja jika ia menjadi kenyataan,” kata Hazizi
yang menuntut dalam bidang pengurusan sukan di UNISEL Shah Alam.
Pada
SUKMA ke-16 di Kuala Lumpur tahun ini, Hazizi dilabel sebagai pemain tonggak
oleh jurulatihnya, Noraidiazhar Sulaiman yang menyifatkan Hazizi sebagai pemain
yang mempunyai prospek untuk lebih menyerlah di masa akan datang.
Mengenai
perancangan masa depan, Hazizi yang merupakan anak keenam daripada tujuh
beradik berkata dia bercita-cita menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya.
No comments:
Post a Comment